Menu

Projek ECRL Kini 94% Siap, Perkhidmatan Penumpang Bakal Beroperasi Januari 2027

Alyaa 1 day ago

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini memasuki fasa akhir pembinaan, dengan perkhidmatan penumpang dijangka mula beroperasi pada Januari 2027, manakala perkhidmatan kargo pula dijadualkan bermula pada awal 2028.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Pelabuhan & Logistik ASEAN 2026. Menurut beliau, projek rel sepanjang 665km dengan 20 stesen itu merupakan antara projek infrastruktur paling penting negara yang bakal menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan pembangunan wilayah.

ECRL bermula di Kota Bharu, Kelantan, yang dirancang sebagai hab pengangkutan utama di wilayah timur laut negara. Seterusnya, laluan memasuki Terengganu dan melalui beberapa bandar utama di sepanjang pantai negeri itu. Kawasan-kawasan ini dijangka mendapat manfaat daripada mobiliti penumpang yang lebih baik serta pengangkutan barangan yang lebih cekap, khususnya untuk menyokong sektor pelancongan serta minyak dan gas Terengganu yang semakin berkembang.

Laluan kemudian bersambung ke Pahang menghubungkan kawasan perindustrian dan pertanian negeri itu. Sebelum tiba di Terminal Bersepadu Gombak, Selangor, ECRL turut merentasi Banjaran Titiwangsa menerusi rangkaian terowong dan jejambat yang direka khas.

Fasa 2 projek ini menyambungkan laluan dari Gombak ke Port Klang, melalui Serendah, Puncak Alam dan Kapar, seterusnya menghubungkan terus dengan salah satu pelabuhan tersibuk di Malaysia. Segmen ini penting untuk pengangkutan kargo membolehkan barangan dari Pantai Timur dihantar atau diagihkan terus menerusi hab logistik Port Klang.

Selain menyambungkan dua pantai, ECRL turut dilihat sebagai pemangkin kepada rangkaian pelbagai mod pengangkutan Asean. Loke menjelaskan projek ini akan mempertingkatkan hubungan darat-laut serta daya tahan rantaian bekalan, khususnya laluan antara pelabuhan-pelabuhan China dengan Pelabuhan Kuantan.

Setakat ini, ECRL telah mencapai tahap penyiapan 94 peratus. Laluan Kota Bharu–Gombak sepanjang 519km pula dijangka siap sepenuhnya tahun ini, sebelum perkhidmatan penumpang bermula rasmi pada Januari 2027.

Gambar utama: Malaysia Rail Link


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –