Menu

Kerajaan Kekalkan Had Umur Persaraan Penjawat Awam Pada 60 Tahun

Alyaa 21 hours ago

Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan had umur persaraan wajib penjawat awam pada 60 tahun kerana tidak melihat keperluan untuk menaikkannya buat masa ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti perkara berkenaan, sekali gus mengekalkan had umur persaraan sedia ada.

“Kerajaan telah memutuskan bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan peningkatan had umur persaraan buat masa ini. Oleh yang demikian, had umur persaraan bagi penjawat awam kekal pada umur 60 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu, 8 Julai.

Ketika ini, umur persaraan wajib bagi penjawat awam di Malaysia ditetapkan pada 60 tahun, yang juga merupakan umur persaraan minimum bagi pekerja sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012. Bagaimanapun, penjawat awam masih boleh memohon persaraan pilihan lebih awal pada usia 55, 56 atau 58 tahun, tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan had umur persaraan wajib penjawat awam akan dikaji semula dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), selaras dengan peralihan Malaysia ke arah sebuah negara menua. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengumumkan perkara itu ketika membentangkan RMK-13 di Dewan Rakyat.

Cadangan untuk menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun turut pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun kerajaan kini mengesahkan tiada perubahan akan dilaksanakan buat masa ini.

Untuk rekod, had umur persaraan ini dinaikkan secara berperingkat dari 55 tahun kepada 56 tahun pada 2001, kemudian kepada 58 tahun pada 2008, sebelum akhirnya dinaikkan kepada 60 tahun mulai Januari 2012 sehingga kini.

Sumber: Bernama


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –