Menu

Azeem Fahmi Sahkan Gelaran ‘Raja Pecut’ Asia B-23 Selepas Rangkul Emas 100m Di Ordos

Alyaa 2 hours ago

Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi, membuktikan kemampuannya sebagai antara pelari terbaik Asia apabila meraih pingat emas acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun (B-23) Asia 2026, pada Khamis.

Atlet berusia 22 tahun itu mempamerkan larian bertenaga dalam aksi final untuk muncul juara dengan catatan 10.17 saat (s), menewaskan wakil Iraq, Falah Hassan Al-Khazaali, yang meraih pingat perak selepas mencatatkan 10.21s. Pingat gangsa pula menjadi milik wakil Qatar, Salah Al-Yunis, dengan catatan masa 10.23s.

Sebelum itu, pemegang rekod kebangsaan 10.09s berkenaan sudah memberikan petanda awal mengenai prestasinya apabila mencatatkan masa terpantas dalam saringan pertama separuh akhir menerusi larian 10.15s.

Kemenangan di peringkat B-23 Asia itu menjadi suntikan semangat terbaik buat Azeem dalam persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya di Jepun pada September ini. Beliau kini menyasarkan untuk mempertahankan atau memperbaiki pencapaian pingat gangsa yang diraihnya pada Sukan Asia Hangzhou di China sebelum ini.

Bagaimanapun, saingan Azeem di Ordos masih belum berakhir. Selain acara 100m, beliau turut dijadualkan beraksi dalam acara 200m serta membantu skuad negara dalam acara 4x100m berganti-ganti. Dalam acara tersebut, Azeem bakal bergandingan dengan Reeve Kua Man Hong, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Muhammad Armin Zahryl.

Gambar utama: Olahraga Malaysia / Malaysia Athletics


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –