Menu

Harga Minyak 3–9 September 2026: RON97, RON95 dan Diesel Turun 5 Sen, Had BUDI Dinaikkan Ke 300 Liter

Alyaa 5 days ago

Harga runcit RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi mencatatkan penurunan minggu ini. Dalam masa sama, Kerajaan turut menaikkan semula had kelayakan bulanan bagi BUDI MADANI RON95 dan BUDI MADANI Diesel kepada 300 liter, berkuat kuasa mulai 1 September 2026.

Menerusi kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), harga RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia masing-masing diturunkan 5 sen seliter bagi tempoh 3 September hingga 9 September 2026, berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

Harga Runcit Petrol dan Diesel Bagi 3–9 September 2026

Bagi tempoh 3 September hingga 9 September 2026, harga runcit bahan api tanpa subsidi ditetapkan seperti berikut:

  • RON97: 🔻 RM4.25 seliter (turun 5 sen)
  • RON95: 🔻 RM3.77 seliter (turun 5 sen)
  • Diesel: 🔻 RM4.67 seliter (turun 5 sen)

Sementara itu, harga bahan api bersubsidi kekal seperti berikut:

  • RON95 Bersubsidi (BUDI95): ➡️ RM1.99 seliter
  • Petrol Bersubsidi (SKPS): ➡️ RM2.05 seliter
  • Diesel Bersubsidi (SKDS): ➡️ RM2.15 seliter
  • Diesel Bersubsidi (BUDI Diesel): ➡️ RM2.10 seliter

Pasaran Produk Bertapis Kekal Ketat

Menurut Kementerian Kewangan, penurunan harga minggu ini mencerminkan harga minyak mentah dunia yang diniagakan pada paras lebih rendah bagi sebahagian besar tempoh pengiraan harga APM. Namun, harga meningkat semula pada penghujung tempoh berikutan peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Walaupun harga minyak mentah Brent telah menyederhana daripada paras puncak konflik Asia Barat, pasaran produk petroleum bertapis dunia kekal ketat berikutan gangguan aliran petroleum melalui Selat Hormuz, penyusutan kapasiti penapisan di beberapa negara serta sekatan eksport bahan api. Faktor-faktor ini dijangka terus menyebabkan turun naik harga dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, China dilaporkan telah mula melonggarkan sekatan eksport produk petroleum bertapis yang diperkenalkan sejak Mac 2026. Walaupun eksport kembali meningkat mulai Julai, bekalan beberapa produk petroleum ke pasaran serantau masih belum kembali sepenuhnya ke paras sebelum konflik.

Had Kelayakan BUDI95 Dan BUDI Diesel Dinaikkan Semula Ke 300 Liter

Pada harga semasa, penerima BUDI95 terus menikmati harga RM1.99 seliter, berbanding RM3.77 seliter bagi RON95 tanpa subsidi. Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.78 bagi setiap liter, bersamaan kira-kira 47% daripada harga tanpa subsidi.

Bagi penerima BUDI Diesel pula, harga kekal pada RM2.10 seliter berbanding RM4.67 seliter bagi diesel tanpa subsidi. Perbezaan RM2.57 seliter itu ditanggung Kerajaan menerusi subsidi, bersamaan kira-kira 55% daripada harga tanpa subsidi.

Mulai 1 September 2026, had kelayakan asas bulanan BUDI95 dan BUDI Diesel telah dinaikkan semula kepada 300 liter. Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut menerima tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 400 liter sebulan.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –