Menu

Program AI Untuk Rakyat Bakal Perkasa 100,000 Belia dengan Akses Teknologi AI Percuma

Alyaa 6 days ago

Kerajaan telah memperkenalkan Program AI untuk Rakyat, sebuah inisiatif yang menawarkan akses percuma kepada teknologi AI, disasarkan kepada 100,000 belia berusia 18 hingga 30 tahun sehingga tahun 2027.

Program ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sebagai salah satu daripada enam ikhtiar untuk rakyat bagi membuka lebih banyak peluang digital kepada belia, sempena Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Bermula 31 Ogos 2026, program ini dilaksanakan menerusi portal pembelajaran digital negara, iaitu Rakyat Digital secara berfasa. Inisiatif Kementerian Digital yang diterajui MyDIGITAL Corporation ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk memperluas akses kepada teknologi AI, sekali gus membina pengetahuan, kemahiran dan keyakinan belia dalam memanfaatkan AI secara bertanggungjawab.

Program ini ditawarkan secara percuma kepada warganegara Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun, tertakluk kepada penyelesaian modul yang ditetapkan. Antara modul yang perlu diselesaikan adalah:

  1. AI Nation 2030: Pendekatan MADANI
  2. CYBERSAFE untuk Rakyat
  3. AI Generatif
  4. Keselamatan AI
  5. Agentik AI untuk Semua
  6. Cloud untuk Rakyat

Peserta yang berjaya menyempurnakan dan lulus kesemua modul kursus akan menikmati langganan percuma selama tiga bulan bagi pelbagai aplikasi dan perisian AI terpilih.

Sebagai permulaan, peserta yang layak akan diberikan akses khas kepada alatan AI daripada penyedia teknologi tempatan dan antarabangsa, iaitu:

  • YTL AI Labs – IlmuChat
  • Alibaba – Wonderclip dan MuleRun
  • Google – Gemini Enterprise

Menariknya, pelbagai lagi perisian dan alatan AI daripada syarikat teknologi lain turut akan ditambah secara berperingkat dari semasa ke semasa. Ini membuka ruang kepada belia untuk meneroka teknologi canggih secara praktikal, sekali gus meningkatkan kreativiti, produktiviti dan kemahiran digital mereka.

Buat belia yang berminat, anda boleh mendaftar dan memulakan perjalanan AI anda menerusi portal Rakyat Digital di rakyatdigital.gov.my.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –