Menu

HUAWEI MatePad Air Tiba di Malaysia, Gabungkan Produktiviti AI dan Kreativiti dalam Rekaan Nipis

Alyaa 5 hours ago

HUAWEI telah memperkenalkan HUAWEI MatePad Air, sebuah tablet nipis yang menggabungkan pengalaman seperti PC dengan kuasa WPS Office berteraskan AI. Diperkenalkan pada bulan kebangsaan, peranti ini direka untuk membantu pengguna bekerja dengan lebih pintar di samping meneroka kreativiti mereka.

Buat pengguna yang kerap bergerak, MatePad Air memang direka untuk pengalaman mudah alih. Ia hanya mempunyai ketebalan 5.3mm dengan berat 509g, dan boleh digandingkan dengan HUAWEI Smart Magnetic Keyboard serta M-Pencil Pro untuk persediaan seperti PC. Ini menjadikannya mudah dibawa ke pejabat, kelas, kafe atau ke mana sahaja anda pergi.

Dari segi spesifikasi, pengalaman ini turut diperkukuh dengan paparan OLED PaperMatte 12 inci beresolusi 2.8K yang menyokong kadar segar semula sehingga 144Hz. Ia turut dilengkapi bateri berkapasiti 10,100mAh dengan pengecasan pantas 66W HUAWEI SuperCharge, sokongan Wi-Fi 7 untuk sambungan yang lebih pantas, serta sistem enam pembesar suara HUAWEI Sound untuk pengalaman audio yang lebih mantap.

WPS AI menjadi salah satu ciri yang menyokong produktiviti pada peranti ini, dengan fungsi yang direka untuk membantu pengguna menyelesaikan tugasan harian dengan lebih efisien. Ia merangkumi Smart Create yang menjana draf awal daripada arahan (prompt) ringkas, serta Smart Edit yang memperhalusi kandungan dan melaraskan nada penulisan.

Selain itu, terdapat juga AI Summarizer yang meringkaskan laporan panjang kepada poin utama, di samping AI Generate Slides dan AI Sheet Assistant yang membantu menghasilkan slaid, menganalisis data serta menjana carta. Ringkasnya, daripada menyediakan slaid mesyuarat sehingga menyemak laporan dan menguruskan data, kesemuanya boleh dilakukan menerusi satu peranti sahaja, sesuai buat pelajar mahupun golongan profesional.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, musim ini turut menjadi peringatan tentang sejauh mana negara telah berkembang, termasuk dalam cara kita bekerja, belajar dan berkarya. Selari dengan semangat kreativiti ini, HUAWEI menjemput para artis dan pencipta kandungan untuk menyertai HUAWEI GoPaint Worldwide Creating Activity 2026, yang berlangsung dari 2 September 2026 hingga 31 Januari 2027.

Menerusi aplikasi GoPaint, peserta boleh mempamerkan kreativiti mereka dalam empat kategori, iaitu Digital Watercolor & Ink, Sci-Fi Art, Cutting Edge Paintings dan Narrative Art. Digandingkan dengan HUAWEI M-Pencil Pro dan paparan PaperMatte, MatePad Air menawarkan pengalaman melukis yang lebih semula jadi seperti di atas kertas, memberikan artis ketepatan yang lebih baik serta kanvas yang lebih intuitif untuk menghidupkan idea mereka.

Buat yang berminat, ganjarannya juga cukup lumayan. Sebanyak 20 pemenang Honourable Mention masing-masing bakal menerima hadiah wang tunai USD 1,000, di samping peluang pendedahan di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai platform dan pameran HUAWEI.

Harga dan Ketersediaan di Malaysia

HUAWEI MatePad Air kini rasmi ditawarkan di Malaysia pada harga RM3,999. Namun, dari sekarang sehingga 30 September 2026, pelanggan boleh menikmati tawaran pelancaran bernilai sehingga RM4,503.

Tawaran ini merangkumi rebat RM500 yang menjadikan harganya RM3,499, selain HUAWEI Smart Magnetic Keyboard, HUAWEI M-Pencil Pro, HUAWEI Wireless Mouse, WPS Office berkuasa AI dengan langganan WPS AI selama setahun, HUAWEI Notes berkuasa AI serta HUAWEI Premium Service.

Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati tawaran eksklusif Purchase-With-Purchase (PWP) bagi HUAWEI FreeClip Series (RRP: dari RM749), yang boleh ditambah bermula serendah RM349 sahaja.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi HUAWEI atau ikuti halaman media sosial rasmi mereka.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –