Xiaomi secara rasmi telah melancarkan siri REDMI Note 17 di Malaysia, yang terdiri daripada empat model iaitu REDMI Note 17, REDMI Note 17 5G, REDMI Note 17 Pro 5G dan REDMI Note 17 Pro Max 5G. Siri ini menyasarkan pengguna yang mahukan keseimbangan antara ketahanan bateri, prestasi dan ciri moden untuk kegunaan harian.
Model yang paling mencuri perhatian sudah tentu REDMI Note 17 Pro Max 5G, yang hadir dengan bateri berkapasiti besar sehingga 10,000mAh, antara yang terbesar pernah digunakan Xiaomi pada telefon pintar mereka. Sementara model standard lebih menumpukan kepada fungsi praktikal, varian Pro dan Pro Max pula menawarkan spesifikasi serta prestasi yang lebih tinggi.
Spesifikasi Siri REDMI Note 17
REDMI Note 17 Pro Max 5G

Sebagai model paling premium dalam siri ini, REDMI Note 17 Pro Max 5G menjadikan bateri berkapasiti 10,000mAh sebagai tarikan utamanya. Menurut Xiaomi, bateri ini mampu bertahan sehingga tiga hari penggunaan. Ia turut menyokong pengecasan pantas berwayar 100W HyperCharge serta pengecasan terbalik 27W untuk mengecas aksesori atau peranti lain.
Untuk paparan, ia dilengkapi skrin AMOLED 6.83 inci beresolusi 2772 x 1280 dengan kadar segar semula sehingga 120Hz, kecerahan puncak 3,500 nits, liputan penuh gamut warna DCI-P3 serta sokongan HDR10+ dan Dolby Vision. Skrin ini turut dilindungi Corning Gorilla Glass Victus 2.

Peranti ini dikuasakan cip Snapdragon 6 Gen 5 berasaskan 4nm, dipadankan dengan sehingga 12GB RAM LPDDR5X dan storan sehingga 512GB UFS 4.1. Ia menjalankan Android 16 dengan antaramuka HyperOS 3.
Untuk fotografi, REDMI Note 17 Pro Max 5G dilengkapi kamera utama 50MP f/1.5 dengan OIS, kamera ultra lebar 8MP f/2.2 serta kamera swafoto 32MP f/2.2.
Antara ciri lain yang ditawarkan termasuk pembesar suara stereo dengan peningkatan kelantangan sehingga 400% dan sokongan Dolby Atmos, pengimbas cap jari dalam paparan, WiFi 6, Bluetooth 6.0 serta penarafan ketahanan habuk dan air IP66, IP68, IP69 dan IP69K.
REDMI Note 17 Pro 5G

REDMI Note 17 Pro 5G pula tampil dengan paparan AMOLED 6.83 inci beresolusi 2772 x 1280, kadar segar semula sehingga 120Hz, kecerahan puncak 3,500 nits serta liputan penuh gamut warna DCI-P3. Paparan ini turut dilindungi Corning Gorilla Glass Victus 2.
Model ini dikuasakan cip Snapdragon 6s Gen 4 berasaskan proses 4nm, dipadankan dengan sehingga 12GB RAM LPDDR4X dan storan sehingga 512GB UFS 3.1. Ia juga menjalankan Android 16 dengan HyperOS 3.

Sistem kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP f/1.8 dan kamera ultra lebar 8MP f/2.2, manakala kamera hadapan pula menggunakan sensor 16MP f/2.4.
Baterinya berkapasiti 8,340mAh dan didakwa mampu bertahan lebih dua hari penggunaan. Ia menyokong pengecasan 67W HyperCharge serta pengecasan terbalik 22.5W.
Ciri lain termasuk pengimbas cap jari dalam paparan, pembesar suara stereo dengan peningkatan kelantangan sehingga 300% serta penarafan ketahanan IP66, IP68, IP69 dan IP69K.
REDMI Note 17 dan REDMI Note 17 5G

Untuk pilihan yang lebih mampu milik, REDMI Note 17 dan REDMI Note 17 5G berkongsi kebanyakan spesifikasi yang sama. Kedua-duanya hadir dengan paparan AMOLED 6.99 inci FHD+ yang lebih besar, kadar segar semula sehingga 120Hz, kecerahan puncak 1,800 nits serta liputan penuh gamut warna DCI-P3.
Perbezaan utama antara kedua-duanya terletak pada cip pemproses. REDMI Note 17 menggunakan Snapdragon 6s 4G Gen 2 berasaskan proses 6nm, manakala REDMI Note 17 5G pula dilengkapi Snapdragon 4 Gen 4 berasaskan proses 4nm dengan sokongan rangkaian 5G.
Kedua-dua model menawarkan sehingga 8GB RAM LPDDR4X dan storan sehingga 256GB UFS 2.2, selain menjalankan Android 16 dengan HyperOS 3.

Dari segi kamera, walaupun kedua-duanya kelihatan mempunyai dua lensa di bahagian belakang, hanya satu kamera yang digunakan untuk fotografi, iaitu kamera utama 50MP f/1.8. Di hadapan pula terdapat kamera swafoto 16MP f/2.5.
Kedua-duanya dibekalkan bateri berkapasiti 7,700mAh dengan sokongan pengecasan 45W serta pengecasan terbalik 22.5W. Ciri lain termasuk pengimbas cap jari dalam paparan, pembesar suara tunggal dengan peningkatan kelantangan sehingga 200% serta penarafan ketahanan IP65.
Harga dan Ketersediaan di Malaysia


Kesemua model dalam siri REDMI Note 17 akan mula dijual di Malaysia bermula 5 hingga 30 September 2026 menerusi Xiaomi Stores, mi.com serta Xiaomi Official Store di Shopee, Lazada dan TikTok Shop. Sepanjang tempoh tersebut, Xiaomi menawarkan harga promosi seperti berikut:
- REDMI Note 17 Pro Max 5G (8GB + 256GB) – RM1,999, harga promosi RM1,799
- REDMI Note 17 Pro Max 5G (8GB + 512GB) – RM2,299, harga promosi RM2,099
- REDMI Note 17 Pro 5G (8GB + 256GB) – RM1,599, harga promosi RM1,499
- REDMI Note 17 Pro 5G (8GB + 512GB) – RM1,899, harga promosi RM1,799
- REDMI Note 17 Pro 5G (6GB + 128GB) – RM1,099, harga promosi RM999, eksklusif dalam talian
- REDMI Note 17 5G (8GB + 256GB) – RM1,299, harga promosi RM1,199
- REDMI Note 17 5G (6GB + 128GB) – RM1,099, harga promosi RM999
- REDMI Note 17 (4GB + 128GB) – RM849, harga promosi RM749
Sepanjang tempoh promosi, pembeli REDMI Note 17 5G akan menerima Xiaomi Smart Band 9 Active secara percuma, manakala pembelian REDMI Note 17 Pro 5G dan REDMI Note 17 Pro Max 5G pula disertakan dengan REDMI Headphones Neo.
Selain itu, REDMI Note 17 dan Note 17 5G hadir dengan waranti bateri selama empat tahun, perlindungan skrin dan penutup belakang selama dua tahun serta waranti kualiti selama dua tahun. Bagi model Pro 5G dan Pro Max 5G pula, Xiaomi menawarkan waranti bateri selama lima tahun, perlindungan skrin selama tiga tahun, perlindungan kerosakan akibat cecair selama dua tahun, serta perlindungan penutup belakang dan waranti kualiti selama dua tahun.
Kesemua model turut disertakan dengan langganan YouTube Premium selama dua bulan dan Google One selama enam bulan.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tip dan trik dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di semua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Jangan Terburu-Buru Beli Kereta, Semak 6 Perkara Ini Sebelum Membuat Keputusan
Google Bawa Lyria 3.5 ke Gemini, Kini Boleh Cipta Lagu AI Terus dalam Aplikasi
vivo V80 Lite 5G Kini di Malaysia dengan Bateri 10,000mAh dan Paparan 6.83 Inci, Bermula RM1,499
Bila Waktu Terbaik Untuk Tukar Telefon? Ini Perkara Yang Perlu Anda Pertimbangkan
Program AI Untuk Rakyat Bakal Perkasa 100,000 Belia dengan Akses Teknologi AI Percuma
TNG eWallet Tambah FlexiCredit GXBank ke CashLoan dengan Had Kredit Sehingga RM150,000