Menu

Caruman LINDUNG 24 Jam PERKESO Tidak Lagi Wajib Untuk Pekerja, Berkuat Kuasa Serta-Merta

Alyaa 2 days ago

Kerajaan memutuskan bahawa caruman bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja, atau LINDUNG 24 Jam, di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak lagi diwajibkan. Sebaliknya, caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja itu kini dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta.

Menurut laporan Berita Harian, Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat susulan maklum balas yang diterima oleh Perdana Menteri berhubung pelaksanaan caruman tersebut.

“Justeru, Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bahawa caruman itu tidak lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, lebih sembilan juta pencarum menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dilindungi secara automatik daripada kesan kemalangan bukan bencana kerja, berkuat kuasa 1 Jun lalu. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, sebelum ini menjelaskan skim ini bertujuan memperluas jaringan perlindungan keselamatan sosial di Malaysia, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.

Caruman LINDUNG 24 Jam ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji RM6,000 bagi maksud caruman. Kadar permulaan ditetapkan pada 0.75 peratus daripada gaji bulanan, dengan majikan bertanggungjawab menguruskan potongan gaji dan melaksanakan pembayaran caruman kepada PERKESO setiap bulan.

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), pekerja tempatan kini boleh memilih sama ada ingin mencarum di bawah Skim LINDUNG 24 Jam, manakala caruman bagi pekerja asing kekal mandatori dan akan diteruskan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Mekanisme penyertaan secara sukarela bagi pekerja tempatan akan diumumkan oleh PERKESO dalam masa terdekat.

KESUMA turut memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti semula mekanisme pelaksanaan skim ini menjelang penghujung tahun bagi memastikan ia terus mampan dan memberi manfaat kepada rakyat.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –