May 19, 2026

Skim Lindung 24 Jam PERKESO Diperluas Mulai 1 Jun 2026, Pekerja Turut Dilindungi di Luar Waktu Kerja

perkeso-skim-lindung-24-jam

PERKESO akan memperluaskan pelaksanaan Skim Lindung 24 Jam mulai 1 Jun 2026, sebagai usaha memperkukuh perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja di Malaysia.

Berbeza dengan perlindungan sedia ada yang lebih tertumpu kepada kemalangan berkaitan pekerjaan, skim ini turut meliputi kemalangan bukan bencana kerja. Ini bermakna pekerja yang layak masih boleh mendapat perlindungan walaupun kemalangan berlaku di luar waktu bekerja, tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Apa Itu Skim Lindung 24 Jam?

Skim Lindung 24 Jam diperkenalkan untuk memberi liputan yang lebih menyeluruh kepada pekerja, khususnya bagi situasi kemalangan yang tidak berlaku semasa menjalankan tugas rasmi.

Melalui perluasan ini, perlindungan PERKESO tidak lagi hanya dilihat dalam konteks tempat kerja atau perjalanan berkaitan kerja, tetapi turut mengambil kira risiko kemalangan harian yang boleh berlaku di luar skop pekerjaan.

Menurut PERKESO, inisiatif ini selari dengan komitmen kerajaan untuk mengukuhkan jaringan keselamatan sosial pekerja, supaya mereka mempunyai perlindungan yang lebih luas apabila berdepan risiko kemalangan.

Semua Pekerja Di Bawah Akta 4 Wajib Dicarum

Semua pekerja yang dilindungi di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 atau Akta 4 wajib didaftarkan dan dicarumkan di bawah Skim Lindung 24 Jam.

Ini termasuk pekerja yang diambil bekerja di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisan, yang perlu didaftarkan dan dicarumkan oleh majikan kepada PERKESO.

Tiada had umur dikenakan bagi perlindungan Skim Lindung 24 Jam dan ianya bakal berterusan selagi pekerja masih bekerja, termasuk selepas umur 60 tahun.

Bagi pekerja baharu yang mula bekerja selepas tarikh kuat kuasa, majikan wajib membuat pendaftaran mengikut kaedah yang ditetapkan oleh PERKESO melalui Portal ASSIST 2.0.

Kadar Caruman Skim Lindung 24 Jam

Bagi Skim Lindung 24 Jam atau SKBBK, kadar caruman yang ditetapkan ialah sebanyak 0.75% dan ia ditanggung sepenuhnya oleh pekerja.

Caruman untuk skim ini berada di bawah caruman pekerja bagi kategori “Bukan Bencana Kerja”. Ini bermakna majikan perlu membuat potongan caruman daripada gaji pekerja dan membayarnya kepada PERKESO setiap bulan.

Sebagai perbandingan, kadar caruman PERKESO turut merangkumi komponen lain seperti Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan, bergantung kepada kategori caruman pekerja.

Caruman Dilaksanakan Secara Berfasa

Pelaksanaan kadar caruman pekerja bagi Skim Lindung 24 Jam juga akan dibuat secara berperingkat.

Kadar caruman yang dinyatakan adalah seperti berikut:

Fasa Pertama: 0.75%
Fasa Kedua: 1.00%
Fasa Ketiga: 1.25%

Namun, pelaksanaan bagi setiap fasa adalah tertakluk kepada ketetapan dan tarikh kuat kuasa yang ditentukan oleh PERKESO dari semasa ke semasa.

Apa Maksudnya Untuk Pekerja?

Secara ringkasnya, perluasan Skim Lindung 24 Jam ini memberi perlindungan tambahan kepada pekerja, khususnya bagi situasi kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja.

Walaupun caruman skim ini ditanggung oleh pekerja, ia memberi satu lapisan perlindungan tambahan yang boleh menjadi penting sekiranya berlaku kemalangan bukan bencana kerja.

Bagi majikan pula, pelaksanaan ini memerlukan pematuhan dari segi pendaftaran, potongan caruman dan bayaran bulanan kepada PERKESO bermula bulan caruman Jun 2026.

Orang ramai atau majikan yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi PERKESO melalui e-mel perkeso@perkeso.gov.my atau talian 1-300-22-8000.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads