Menu

Pasport Malaysia Baharu Dengan 94 Ciri Keselamatan Boleh Dimohon Mulai 1 Julai

Alyaa 2 months ago

Kerajaan hari ini melancarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dilengkapi 94 ciri keselamatan, hampir dua kali ganda berbanding 49 ciri pada versi terdahulu. Majlis pelancaran berlangsung di Dewan Rakyat dan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kehadiran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, serta Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), pengenalan PMA versi baharu ini merupakan langkah transformasi penting dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara, selain memberi lebih kemudahan dan nilai tambah kepada rakyat. Dari aspek keselamatan, pasport baharu ini dilengkapi teknologi seperti hologram, cetakan ultraungu (UV), latent image serta beberapa elemen perlindungan lain bagi mengurangkan risiko pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan dokumen perjalanan negara.

Gambar: Kementerian Dalam Negeri (KDN)/Facebook

Buat pertama kalinya juga, warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas boleh memilih tempoh sah laku pasport mengikut keperluan masing-masing. Bermula 1 Julai 2026, pemohon boleh memilih pasport lima tahun pada harga RM200 atau pasport 10 tahun pada harga RM350.

Menurut KDN, pengenalan pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun dijangka dapat mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport, menjimatkan masa pengguna serta memudahkan urusan perjalanan dalam dan luar negara. Pilihan ini juga membolehkan pemohon menjimatkan RM50 berbanding memperbaharui pasport lima tahun sebanyak dua kali dalam tempoh yang sama.

Gambar: Jabatan Imigresen Malaysia/Facebook

Pelaksanaan PMA versi baharu akan dibuat secara berperingkat di 71 pejabat pasport di seluruh negara mulai Julai ini bagi memastikan peralihan operasi berjalan lancar. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa menukar pasport sedia ada sekiranya dokumen tersebut masih sah, kerana pasport sedia ada masih boleh digunakan sehingga enam bulan sebelum tarikh tamat tempohnya.

Pada awal tahun ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengumumkan bahawa Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh aspek keselamatan data negara. Sebagai rekod, Pasport Malaysia Antarabangsa berada di tangga ketiga dunia dalam Passport Index 2025, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia.

Gambar utama: Kementerian Dalam Negeri (KDN)/Facebook


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –