Menu

MyKad Baharu Akan Diperkenalkan Mulai Jun, Dilengkapi 53 Ciri Keselamatan

Alyaa 2 months ago

MyKad versi baharu dijangka mula diperkenalkan bermula Jun ini dengan penambahbaikan besar dari segi struktur dan ciri keselamatan. Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), MyKad generasi baharu itu akan dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan, berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada.  

Penambahbaikan ini dibuat bagi memperkukuh sistem identiti nasional negara, terutamanya dalam menghadapi cabaran semasa seperti pemalsuan identiti, jenayah rentas sempadan dan penyalahgunaan teknologi digital.

MyKad Baharu Dengan Ciri Keselamatan Lebih Dipertingkat

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, antara ciri keselamatan baharu yang diperkenalkan termasuk turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro, kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan serta cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.  

Menurut beliau, JPN telah bersedia sepenuhnya untuk pelaksanaan MyKad baharu tersebut, manakala pengumuman rasmi berhubung pelancarannya akan dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). 

Pelaksanaan ini juga dilihat sebagai langkah kerajaan untuk memastikan dokumen pengenalan diri rakyat kekal relevan dan lebih selamat, seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

MyKad Sedia Ada Kekal Selamat

Dalam masa sama, JPN turut menegaskan bahawa sistem MyKad sedia ada kekal selamat dan tidak mudah diklon. Menurut Badrul Hisham, MyKad yang digunakan sebelum ini sudah dilengkapi ciri keselamatan tertentu, namun versi baharu akan hadir dengan penambahbaikan yang lebih menyeluruh.

Selain MyKad, versi baharu bagi MyTentera dan MyPoCA turut dijangka diperkenalkan, manakala tiada pembaharuan diumumkan bagi penggunaan MyKid.

Bagaimanapun, MyKad generasi baharu ini tidak lagi akan disertakan dengan fungsi Touch ‘n Go (TNG) seperti yang terdapat pada MyKad sedia ada.

Buat masa ini, orang ramai masih perlu menunggu maklumat lanjut daripada KDN dan JPN berhubung pelaksanaan rasmi MyKad baharu tersebut, termasuk kaedah permohonan atau pertukaran kad sekiranya diperlukan.

Sumber: Bernama


Nak dapatkan berita, maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads 

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –