Rakyat Malaysia kini boleh mengakses pelbagai peluang pembelajaran kemahiran digital menerusi satu platform, selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi Negara AI menjelang 2030.
Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, melancarkan portal baharu Rakyat Digital sempena acara Malaysia AI Takeover 2026 (AIMTO_26) di The Campus, Ampang. Pelancaran itu menyusuli pengumuman YAB Perdana Menteri ketika pelancaran AI Malaysia Berhad pada 28 Julai 2026 sebagai satu inisiatif memperkukuh usaha Kerajaan MADANI untuk mempersiapkan rakyat menghadapi masa depan yang semakin dipacu oleh teknologi AI.
Dibawakan oleh Kementerian Digital dan dijayakan oleh MyDIGITAL Corporation, Rakyat Digital bertindak sebagai Hab Pembelajaran Digital Malaysia yang menyatukan pelbagai inisiatif digital ke dalam satu akaun tunggal. Pendekatannya turut bersifat inklusif, merangkumi komuniti luar bandar, warga emas, belia, komuniti kelainan upaya serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) supaya tiada golongan yang terpinggir.
Bagi rakyat yang ingin memanfaatkan portal ini sepenuhnya, dua tawaran percuma menjadi tarikan utama:
- Akses AI Generatif Percuma: Seramai 100,000 belia berusia 18 hingga 30 tahun yang menyempurnakan modul pembelajaran terpilih bakal menerima akses percuma selama tiga bulan kepada aplikasi AI generatif terkemuka, bermula 31 Ogos 2026. Modul wajib merangkumi Keselamatan AI, CyberSAFE untuk Rakyat, Generatif AI, Agentic AI, Cloud untuk Rakyat serta modul nilai dan prinsip Malaysia MADANI.
- Pas Pembelajaran Global Coursera: Akses percuma selama tiga bulan bagi platform Coursera ditawarkan kepada 100,000 rakyat Malaysia menerusi empat kohort. Kohort pertama yang melibatkan 25,000 peserta akan bermula pada 16 September 2026, dengan pendaftaran kini dibuka.
Portal ini digerakkan menerusi pendekatan 3A — Kesedaran (Awareness) melalui Hab Literasi Digital, Akses (Access) menerusi Hab Kemahiran Digital dan Pas Pembelajaran Global, serta Penerimagunaan (Adoption) melalui Hab Pembina AI, Hab Alat Digital dan program penilaian keupayaan. Inisiatif ini menyokong Teras 4 (Bakat Digital) dan Teras 5 (Masyarakat Digital) di bawah Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030), yang menyasarkan 80% populasi celik digital, 700,000 pekerja dilatih semula serta 5,000 usahawan digital luar bandar.
Sebagai sebahagian daripada AIMTO_26, program AI Learn-a-thon turut berlangsung pada 12 Ogos 2026, dan dijangka mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Records bagi kategori AI Learn-a-thon Terbesar. Rakyat Malaysia boleh melayari www.rakyatdigital.gov.my sekarang untuk memulakan perjalanan pembelajaran digital masing-masing.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

HUAWEI MatePad Air Tiba di Malaysia, Gabungkan Produktiviti AI dan Kreativiti dalam Rekaan Nipis
Google Bawa Lyria 3.5 ke Gemini, Kini Boleh Cipta Lagu AI Terus dalam Aplikasi
vivo V80 Lite 5G Kini di Malaysia dengan Bateri 10,000mAh dan Paparan 6.83 Inci, Bermula RM1,499
Siri REDMI Note 17 Rasmi di Malaysia, Diterajui Note 17 Pro Max 5G dengan Bateri 10,000mAh
Bila Waktu Terbaik Untuk Tukar Telefon? Ini Perkara Yang Perlu Anda Pertimbangkan
Program AI Untuk Rakyat Bakal Perkasa 100,000 Belia dengan Akses Teknologi AI Percuma