May 26, 2026

PRISM+ Perluas Produk Rumah Pintar di Malaysia dengan TV AI, Robot Vakum dan Peralatan Rumah Baharu

prism+

    PRISM+ mengumumkan pelancaran terbesar mereka di Malaysia setakat ini dengan memperluaskan penawaran bukan sahaja dalam kategori televisyen, malah turut memasuki beberapa kategori peralatan rumah baharu.

    Antara yang menjadi fokus utama ialah siri PRISM+ AI TV 2026 dengan teknologi AI untuk pengalaman tontonan lebih pintar, selain produk rumah seperti vakum tanpa wayar, robot vakum, pam air, mini washer dryer dan penapis udara untuk pemilik haiwan peliharaan.

    Siri AI TV 2026 Lebih Pintar Dengan Pemprosesan Visual AI

    Terkenal sebagai pakar paparan, PRISM+ mengemaskini barisan televisyen mereka menerusi Siri AI TV 2026 yang dikuasakan oleh Al Visual Processor. Teknologi ini mampu mengoptimumkan kejelasan, kontras, dan warna secara masa nyata menggunakan pengesanan objek serta kedalaman. Ianya hadir dalam tiga pilihan siri utama:

    • Siri QD Mini LED: Pilihan paling premium dalam siri ini, dengan kawalan lampu latar lebih jitu, kecerahan tinggi dan warna hitam lebih pekat. Ia turut menyokong paparan 120Hz, HDMI 2.1, ALLM dan VRR untuk pengalaman gaming lebih lancar.
    • Siri Ultra QLED+: Pilihan untuk pengguna yang mahukan paparan warna lebih menyerlah dan kedalaman visual lebih baik, sambil masih mengekalkan ciri-ciri gaming.
    • Siri QE (4K UHD): Pilihan lebih mampu milik untuk kegunaan harian, dengan panel VA, kualiti gambar 4K seimbang dan ciri AI yang sama.

    Kesemua model ini menyokong integrasi Google TV, Al 4K Upscaling, serta teknologi sinematik Dolby Vision dan Dolby Atmos. Bagi setiap pembelian, PRISM+ menawarkan jaminan 2 tahun bersama langganan premium percuma 12 bulan bagi Viu, 3 bulan Durioo+ ,1 bulan iQiyi VIP serta papan kekunci Logitech K400 untuk model terpilih.

    Evolusi Pembersihan Rumah Menerusi EvoSonic dan NanoBot

    Bagi pengguna yang masih mahukan kawalan manual ketika membersihkan rumah, EvoSonic Ultra Detect ditawarkan sebagai vakum tanpa wayar dengan kuasa sedutan tinggi. Ia dilengkapi lampu LED hijau untuk membantu mendedahkan habuk halus, selain sensor Dirt Detection yang boleh melaras kuasa sedutan secara automatik mengikut tahap kotoran.

    Model ini juga hadir dengan berus PetMaster untuk membantu membersihkan bulu haiwan peliharaan, serta penggelek Wet & Dry Aquamarine yang membolehkan fungsi vakum dan mop dilakukan dalam satu masa.

    Untuk pembersihan yang lebih automatik, NanoBot Smart Robot Vacuum pula hadir dengan sistem navigasi pintar yang boleh memetakan ruang rumah bagi pembersihan lebih tersusun. Robot vakum ini turut menyokong fungsi vakum dan mop serentak, sesuai untuk rutin pembersihan harian tanpa perlu terlalu banyak kawalan manual.

    Ia juga boleh dikawal dari jauh menerusi aplikasi PRISM+ Connect, termasuk untuk menetapkan jadual pembersihan dan mengurus tetapan peranti.

    Produk Eksklusif Pasaran Malaysia – HydroThrust dan Arialum

    Menariknya, Jonathan Wong selaku CEO PRISM+ menyatakan, terdapat beberapa produk yang direka khas untuk menyelesaikan cabaran unik kediaman di Malaysia.

    Antaranya ialah HydroThrust Water Pump, sebuah pam air domestik berkuasa tinggi yang sangat senyap, hanya 29 desibel serta mampu menolak air sehingga ketinggian 36 meter. Ia dilindungi oleh sarung TropicalArmour Exterior bagi menghadapi cuaca panas dan hujan ekstrem luar rumah di Malaysia.

    Turut dilancarkan adalah penapis udara Arialum Pet Air Purifier dengan kadar CADR 425 m³/h bersama sistem penapisan 3-peringkat HEPA-13 dan Karbon Aktif bagi menyedut bulu serta meneutralkan bau haiwan peliharaan. Tidak ketinggalan, Spin Mini Wash & Dry turut diperkenalkan sebagai mesin basuh-pengering mini pertama seumpamanya di pasaran tempatan yang dilengkapi sistem pensterilan UV sehingga 99.99% untuk pakaian bayi atau fabrik lembut.

    Harga dan Ketersediaan di Malaysia

    Bagi memudahkan pengguna menaik taraf perkakas rumah, PRISM+ turut memperkenalkan program PRISM+ EasyOwn, sebuah pelan ansuran mudah sehingga 36 bulan dengan kerjasama bank utama seperti Maybank, Public Bank, RHB, dan OCBC.

    Berikut adalah senarai harga jualan rasmi dan tarikh ketersediaan di Malaysia:

    Kategori / Produk Varian / Saiz Harga Pra-Tempahan Jaminan Ketersediaan
    Siri QE AI TV 55″ / 65″ / 75″ RM 1,599 / RM 2,299 / RM 3,399 2 Tahun Akhir Jun 2026
    Siri Ultra AI TV 43″ / 55″ / 65″ / 75″ / 85″ RM 1,499 hingga RM 5,599 2 Tahun Akhir Jun 2026
    Siri QD Mini LED AI TV 55″ / 65″ RM 2,799 / RM 3,699 2 Tahun Akhir Jun 2026
    EvoSonic Ultra Detect Vakum Akumulator RM 449 1 Tahun Telah tersedia
    NanoBot Smart Robot Vacuum Robot Vakum RM 699 (Percuma pek aksesori RM169) 2 Tahun Akhir Julai 2026
    Pakej Kombo (Bundle) EvoSonic + NanoBot RM 1,029 Mengikut produk Mengikut ketersediaan stok
    HydroThrust Water Pump Pam Air Domestik RM 399 3 Tahun (Enjin & perkakasan) Awal Jun 2026
    Arialum Pet Air Purifier Penapis Udara RM 429 1 Tahun Akhir Julai 2026
    Spin Mini Wash & Dry Mesin Basuh Mini RM 849 1 Tahun Akhir Ogos 2026

    Perlu diingat, semua harga yang dinyatakan adalah selepas penggunaan baucar pra-tempahan.

    Pra-tempahan boleh dilakukan bermula 22 Mei 2026, melalui laman web rasmi PRISM+ Malaysia serta cawangan runcit mereka di seluruh negara. Kesemua perkhidmatan selepas jualan disokong penuh oleh khidmat pelanggan 24/7 dengan respons pantas live chat dalam masa 60 saat.


    Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

    Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads