May 13, 2026

Ulasan boAt Nirvana Ion: Earbuds Mampu Milik Yang Lebih Praktikal Daripada Dijangka

boat-nirvana-ion-review

boAt bukanlah nama baharu dalam pasaran audio global, tetapi jenama dari India ini baru sahaja memasuki pasaran Malaysia secara rasmi pada Mac lalu. Kehadirannya agak menarik untuk dilihat, memandangkan boAt dikenali dengan produk audio peribadi yang mampu milik, bergaya dan tahan lasak.

Sebelum ini, saya telah melakukan unboxing untuk boAt Nirvana Ion, dan kali ini saya akan kongsikan pula pengalaman penggunaan earbuds ini dengan lebih dekat. Dalam kategori earbuds bajet, biasanya pengguna akan mencari beberapa perkara utama seperti bunyi yang memuaskan, bateri tahan lama, sambungan stabil dan keselesaan untuk dipakai setiap hari.

boAt Nirvana Ion nampaknya cuba menjawab keperluan tersebut melalui beberapa tarikan besar seperti jumlah playback sehingga 120 jam, Dual EQ Modes, BEAST Mode dengan latency 60ms, sokongan aplikasi boAt Hearables serta rekaan yang nampak moden. Atas kertas, pakej yang ditawarkan memang kelihatan menarik untuk sebuah earbuds mampu milik.

Tetapi persoalannya, pada harga RM139, adakah pengalaman sebenar boAt Nirvana Ion ini benar-benar berbaloi untuk pengguna di Malaysia?

Rekaan Ringkas dan Stabil Untuk Pergerakan Ringan

Dari segi rekaan, boAt Nirvana Ion tampil dengan gaya yang ringkas dan moden. Case pengecasnya hadir dengan bentuk seperti batu sungai, kemasan matte dan jalur plastik bersinar yang kelihatan seperti besi pada bahagian luar. Gabungan ini membuatkan ianya nampak lebih premium.

Saiz case pengecasnya mungkin terasa sedikit besar, tetapi disebabkan beratnya yang masih ringan, ia tidaklah terlalu menyusahkan untuk dibawa ke mana-mana.

Untuk earbuds pula, ia menggunakan rekaan in-ear dengan ear tip silikon. Saiz earbuds ini terasa agak bulky di telinga, namun tiga saiz ear tip yang disediakan di dalam kotak membantu anda mendapatkan padanan yang lebih kemas mengikut bentuk telinga masing-masing.

Untuk penggunaan yang melibatkan pergerakan ringan, earbuds ini juga terasa stabil dan tidak mudah longgar. Tambahan pula, ia hadir dengan penarafan IPX4, menjadikannya sesuai untuk anda yang mahu memakainya ketika workout atau aktiviti luar.

Bunyi Bass Lebih Menyerlah, Tapi Tiada ANC

Dari segi audio, boAt Nirvana Ion lebih sesuai untuk anda yang sukakan bunyi dengan karakter bass yang kuat. Profil bunyinya cenderung ke arah low dan mid yang lebih tebal, menjadikannya sesuai untuk genre seperti pop, hip-hop, EDM atau lagu yang banyak menggunakan beat.

Ia turut dilengkapi dengan Crystal Bionic Sound by Hi-Fi DSP 5 serta Dual EQ Modes, yang memberi sedikit ruang kepada anda untuk menyesuaikan pengalaman audio mengikut pilihan sendiri.

Namun, jika anda lebih sukakan bunyi yang sangat seimbang, vokal yang lebih ke hadapan atau treble yang lebih terperinci, earbuds ini mungkin tidak sepenuhnya memenuhi cita rasa tersebut. Pada penggunaan saya, bahagian treble kedengaran tidak sejelas sesetengah earbuds yang lebih fokus kepada audio neutral.

Ketiadaan Active Noise Cancellation pula mungkin menjadi kekurangan jika anda selalu berada di kawasan bising. Namun, passive isolation daripada rekaan in-ear masih membantu mengurangkan sebahagian bunyi luar. Ia tidak akan menenggelamkan bunyi persekitaran sepenuhnya, tetapi cukup untuk memberi pengalaman mendengar yang lebih fokus jika padanan ear tip sesuai dengan telinga.

Sambungan Stabil Dengan BEAST Mode Untuk Gaming Ringan

Untuk sambungan, boAt Nirvana Ion menggunakan Bluetooth 5.2. Sepanjang penggunaan saya, sambungannya terasa stabil dan tidak pernah terputus secara tiba-tiba.

Ia juga menyokong ciri quick pairing, di mana earbuds boleh terus bersambung semula dengan peranti yang pernah disambungkan sebaik sahaja case dibuka. Jadi, penggunaan harian menjadi lebih mudah tanpa perlu melalui proses pairing berulang kali.

Cuma satu perkara yang perlu diberi perhatian, anda tidak boleh menyambungkan earbuds ini kepada dua peranti secara serentak. Jika mahu bertukar ke peranti lain, anda perlu memutuskan sambungan daripada peranti yang sedang digunakan terlebih dahulu.

Untuk anda yang suka bermain game di telefon, boAt Nirvana Ion turut menawarkan BEAST Mode dengan latency serendah 60ms. Ciri ini membantu mengurangkan kelewatan audio ketika bermain game, terutama untuk permainan yang memerlukan respons bunyi lebih pantas seperti PUBG Mobile. 

In-Ear Detection, Kawalan Sentuh dan Sambungan Aplikasi

Satu lagi ciri menarik pada boAt Nirvana Ion ialah in-ear detection. Dengan fungsi ini, muzik boleh berhenti secara automatik apabila earbuds dikeluarkan daripada telinga, kemudian dimainkan semula apabila dipakai semula.

Earbuds ini juga menggunakan capacitive touch control di mana anda boleh mengawal muzik, menjawab panggilan, menukar lagu dan mengaktifkan pembantu suara tanpa perlu kerap memegang telefon. Namun, kawalan ini perlu ditetapkan terlebih dahulu mengikut pilihan anda melalui aplikasi boAt Hearables.

Dalam masa yang sama, kawalan sentuhnya mungkin terasa sedikit sensitif untuk sesetengah pengguna. Ada kalanya, ia mengesan sentuhan walaupun saya hanya membetulkan kedudukan earbuds di telinga, dan ini membuatkan pengalaman penggunaan sedikit terganggu.

Selain itu, earbuds ini boleh disambungkan dengan aplikasi boAt Hearables. Melalui aplikasi ini, anda boleh melihat status bateri earbuds dan case dengan lebih mudah, menukar tetapan EQ, mengaktifkan mod tertentu serta mendapatkan kemas kini jika tersedia. Kehadiran aplikasi ini membuatkan pengalaman penggunaan terasa lebih lengkap untuk sebuah earbuds bajet.

Bateri Tahan Lama, Tak Perlu Kerap Cas

Kelebihan lain pada boAt Nirvana Ion sudah tentu pada baterinya. Earbuds ini boleh digunakan sehingga 22 jam untuk aktiviti harian seperti mendengar muzik, menonton filem dan bermain game.

Berdasarkan pengalaman saya, penggunaan sekitar 3 hingga 4 jam hanya mengurangkan bateri sekitar 20%, manakala case pula boleh bertahan sehingga tiga hari sebelum perlu dicas semula. Baki bateri juga mudah dipantau melalui notifikasi pada telefon, jadi anda boleh tahu bila earbuds perlu dicas semula.

Dari segi kestabilan bateri kiri dan kanan, kedua-duanya kelihatan agak seimbang dalam penggunaan biasa. Cuma, perbezaan kecil masih boleh berlaku jika ada penggunaan yang lebih banyak melibatkan audio pada satu bahagian earbuds, yang mana ianya bergantung kepada audio yang anda dengar.

Case pengecasnya turut menggunakan port USB Type-C, dan tempoh pengecasan penuh mengambil masa kira-kira 1 jam 20 minit. Ini menjadikannya sesuai untuk anda yang selalu bergerak atau mahukan earbuds yang tidak perlu kerap dicas.

Sesuai Untuk Pengguna Yang Utamakan Bateri, Bass dan Nilai

Secara keseluruhan, boAt Nirvana Ion ialah TWS bajet yang menarik untuk pengguna yang mengutamakan bateri tahan lama, bunyi bass yang lebih menyerlah serta reka bentuk moden dan kemas.

Ia bukanlah earbuds paling lengkap kerana tidak dilengkapi ANC dan tidak menyokong multipoint connectivity. Namun, untuk kegunaan harian seperti mendengar muzik, menonton video, bermain game ringan dan membuat panggilan, pengalaman yang ditawarkan sangat memadai untuk harganya.

Dengan ciri tambahan seperti in-ear detection, sokongan aplikasi, low latency mode dan ketahanan bateri yang meyakinkan, boAt Nirvana Ion lebih sesuai untuk pengguna yang mahukan earbuds praktikal tanpa perlu berbelanja terlalu tinggi.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads