Menu

TNG eWallet Tambah FlexiCredit GXBank ke CashLoan dengan Had Kredit Sehingga RM150,000

Alyaa 3 minutes ago

TNG Digital terus memperluaskan pilihan pembiayaan yang tersedia menerusi TNG eWallet, kali ini dengan menambah GXBank FlexiCredit ke dalam ciri CashLoan. Menerusi kerjasama ini, pengguna TNG eWallet kini boleh mengakses satu lagi bentuk pembiayaan yang dikawal selia terus dalam aplikasi, tanpa perlu beralih ke platform perbankan yang berasingan.

FlexiCredit berbeza daripada pinjaman peribadi konvensional kerana ia menawarkan akses kepada talian kredit pusingan (revolving credit line), bukannya jumlah pinjaman tetap yang diberikan sekali gus. Selepas diluluskan, pengguna boleh mengeluarkan dana daripada had kredit sehingga RM150,000 pada bila-bila masa diperlukan, tanpa perlu menggunakan keseluruhan jumlah yang tersedia.

Menariknya, apabila anda membuat pembayaran balik, had tersebut akan diisi semula tanpa perlu memohon semula. Menurut GXBank, faedah hanya dikenakan ke atas jumlah yang benar-benar dikeluarkan, tanpa sebarang yuran tahunan atau yuran pemprosesan. Tempoh pembayaran balik pula antara 6 hingga 60 bulan, dengan kadar rata (flat rate) bermula 3.78% setahun, atau bersamaan kadar efektif 6.45% setahun.

Antara kelebihan utama untuk pengguna yang mengakses FlexiCredit menerusi TNG eWallet adalah mereka tidak perlu membuka akaun GXBank yang berasingan untuk memohon. Keseluruhan proses boleh diselesaikan dalam aplikasi dengan hanya pergi ke bahagian GOfinance dan memilih CashLoan.

Bagi anda yang tertanya-tanya tentang kelayakan, berikut adalah syarat asasnya:

  • Warganegara Malaysia berusia 18 hingga 64 tahun.
  • Memiliki akaun TNG eWallet yang telah disahkan sepenuhnya.
  • Berpendapatan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan (terbuka kepada pekerja bergaji tetap dan bekerja sendiri).

Bergantung pada situasi anda, dokumen sokongan seperti penyata KWSP atau penyata bank mungkin turut diperlukan semasa permohonan.

Walaupun kemudahan ini menawarkan akses pembiayaan yang lebih pantas dan fleksibel, pengguna dinasihatkan supaya mempertimbangkan kos faedah, tempoh pembayaran balik serta kemampuan membuat bayaran bulanan, seperti mana-mana kemudahan kredit lain, sebelum mengeluarkan dana daripada had yang tersedia.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman rasmi GOfinance.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –