TikTok Shop Malaysia bakal mengenakan Cukai Perkhidmatan (SST) sebanyak 6% ke atas caj penghantaran selaras dengan pertukaran entiti logistiknya daripada Tokgistics Pte Ltd kepada TikTok Shop (Malaysia) Sdn Bhd mulai 1 September 2026. Bagi para penjual, perubahan ini bermakna sedikit kos tambahan perlu diambil kira apabila cukai tersebut mula dikenakan.
Bagi menjelaskan cara pelaksanaannya, TikTok Shop menegaskan bahawa pihaknya tidak menaikkan Caj Penghantaran Penjual (Seller Shipping Fee). Sebaliknya, SST 6% akan ditambah ke atas Caj Penghantaran Sebenar (Actual Shipping Fee). Sebagai contoh, caj penghantaran sebanyak RM3 akan menjadi RM3.18 selepas cukai dikenakan.
Walaupun SST ini secara teknikalnya berkuat kuasa mulai 1 September, TikTok Shop akan menanggung cukai tersebut bagi pihak penjual untuk pesanan yang dibuat antara 1 hingga 6 September. Ini bermakna penjual hanya akan mula menanggung kos tambahan berkenaan bagi pesanan yang dibuat mulai 7 September.
Selain itu, SST akan dikira berdasarkan tarikh pesanan dibuat dan bukannya tarikh penghantaran. Oleh itu, pesanan yang dibuat sebelum atau pada 31 Ogos tidak akan terjejas, walaupun penghantarannya hanya dilakukan pada bulan September.
Perlu diambil perhatian bahawa cukai ini tidak terhad kepada penghantaran biasa sahaja. Ia turut meliputi perkhidmatan logistik berkaitan, termasuk penghantaran, pengagihan dan pengangkutan menerusi TikTok Shop. SST juga boleh dikenakan ke atas kedua-dua Caj Penghantaran Pergi (Forward Shipping Fee) dan Caj Penghantaran Pemulangan (Return Shipping Fee) bagi pesanan yang gagal diselesaikan.
Bagi para penjual, perubahan ini menambah satu lagi kos dalam menjalankan perniagaan di TikTok Shop. Pada Februari lalu, platform tersebut turut memperkenalkan Yuran Sokongan Platform (Platform Support Fee) sebanyak RM0.50 bagi setiap pesanan yang berjaya dihantar. Dengan pelaksanaan SST ini, penjual mungkin perlu mengambil kira kos tambahan tersebut ketika menetapkan harga dan mengira keuntungan.
Bagaimanapun, bagi anda yang hanya membeli-belah di TikTok Shop, perubahan ini tidak bermakna caj SST 6% berasingan akan ditambah semasa membuat pembayaran. Berdasarkan penjelasan TikTok Shop setakat ini, cukai berkenaan dikenakan ke atas kos penghantaran yang akan ditanggung penjual dan bukannya secara langsung kepada pembeli.
Nak dapatkan berita, maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

Netflix Naikkan Harga Langganan di Malaysia, Kini RM19.90 hingga RM69.90 Sebulan
Harga Minyak 10–16 September 2026: RON97, RON95 dan Diesel Melonjak 25 Sen, Brent Cecah AS$97.31
Harga Minyak 3–9 September 2026: RON97, RON95 dan Diesel Turun 5 Sen, Had BUDI Dinaikkan Ke 300 Liter
Permohonan Sukarelawan Formula 1 di Sepang Dibuka dengan 500 Kekosongan untuk Diisi
Program AI Untuk Rakyat Bakal Perkasa 100,000 Belia dengan Akses Teknologi AI Percuma
Yobe Malaysia Lancar Konsep Baharu Yobe Crafted, Tawar Koleksi Eksklusif untuk Peminat ALPHA