TikTok Perkenal Yuran Sokongan Platform, Caj RM0.50 Untuk Setiap Pesanan Berjaya
TikTok Shop Malaysia mengumumkan pengenalan Yuran Sokongan Platform baharu sebanyak RM0.50 tidak termasuk SST (RM0.54 termasuk SST), bagi setiap pesanan yang berjaya dihantar. Caj ini akan berkuat kuasa mulai 15 Februari 2026, jam 12:00 tengah malam.
Menurut TikTok Shop, yuran ini akan dikenakan ke atas semua pesanan yang berjaya dihantar, tanpa mengira kuantiti produk atau jumlah nilai pesanan. Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan semula platform tersebut bagi mengukuhkan ekosistem e-dagangnya di Malaysia, susulan prestasi jualan yang mencatat rekod tertinggi pada tahun 2025.
Polisi Caj, Pulangan dan Potongan Automatik
TikTok Shop turut menjelaskan beberapa perkara penting berkaitan pelaksanaan yuran ini:
- Yuran hanya dikenakan untuk pesanan yang berjaya dihantar
- Sekiranya pelanggan membuat pemulangan atau permohonan bayaran balik selepas penghantaran, yuran RM0.54 tidak akan dipulangkan kepada penjual
- Caj ini akan dipotong secara automatik daripada jumlah penyelesaian bayaran (settlement) yang diterima oleh penjual
Polisi ini menjelaskan bagaimana yuran dikenakan, dikendalikan semasa pemulangan, dan dipotong secara automatik daripada bayaran penjual untuk setiap pesanan berjaya dihantar.
Sokongan Khas Untuk Perniagaan Kecil dan MSME
Bagi mengurangkan kesan terhadap penjual baharu dan perniagaan kecil, TikTok Shop memperkenalkan beberapa pengecualian yuran (waiver):
1. Pengecualian Penjual Baharu
Penjual yang menyenaraikan produk pertama dalam tempoh 120 hari akan dikecualikan yuran bagi bulan kalendar berikutnya.
2. Pengecualian Jumlah Pesanan Rendah
Penjual marketplace dengan 100 pesanan atau kurang dalam tempoh penilaian 30 hari layak menerima pengecualian.
3. Pengecualian GMV Rendah
Penjual dengan 101–200 pesanan dan jumlah GMV RM3,000 atau kurang turut layak dikecualikan.
4. Barangan Keperluan Asas
Pesanan yang mengandungi barangan keperluan seperti makanan segar dan sejuk beku, bahan bakeri dan buku teks KPM akan dikecualikan, dengan yuran dipulangkan semula pada awal setiap bulan.
Walaupun yuran baharu ini diperkenalkan, TikTok Shop menegaskan bahawa Marketplace Commission Fee dan Mall Commission Fee kekal tidak berubah bagi kebanyakan kategori. Penjual digalakkan untuk menyemak semula strategi harga dan senarai produk mereka sebelum pelaksanaan rasmi pada pertengahan Februari.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
