Menu

Xiaomi Umum Meerqeen Sebagai Duta Siri REDMI Note 17 Menjelang Pelancaran Rasmi 2 September

Alyaa 3 months ago

Menjelang pelancaran salah satu telefon pintar paling dinanti tahun ini, Xiaomi telah mengumumkan pelakon muda Malaysia, Meerqeen, sebagai duta siri REDMI Note 17 Malaysia. Pelantikan ini menandakan permulaan kerjasama antara kedua-dua pihak, sekali gus membuka tirai kepada pelancaran rasmi siri REDMI Note 17 yang dijadualkan berlangsung pada 2 September 2026.

Menurut Xiaomi, pemilihan Meerqeen sebagai duta dilihat sejajar dengan gaya hidup dinamik pelakon tersebut serta komitmen REDMI dalam menghasilkan teknologi yang membolehkan pengguna terus produktif sepanjang hari. Kerjaya Meerqeen yang penuh kreativiti dan dedikasi digambarkan mencerminkan keyakinan serta semangat generasi baharu yang sentiasa aktif.

Gambar: Xiaomi

Sebagai gambaran awal, Xiaomi mendedahkan bahawa siri REDMI Note 17 akan hadir dengan bateri sehingga 10,000mAh serta sokongan pengecasan pantas 100W HyperCharge. Menerusi maklumat pada halaman pelancaran Xiaomi, siri ini akan menawarkan peningkatan dari segi ketahanan, termasuk perlindungan air dan debu sehingga IP66, IP68, IP69 dan IP69K serta ketahanan terhadap jatuhan dari ketinggian sehingga 3 meter pada model tertentu.

Antara ciri lain yang turut disenaraikan ialah skrin AMOLED 6.83 inci dengan resolusi 1.5K serta penggunaan cip Snapdragon 6 Gen 5. Bagaimanapun, Xiaomi masih belum memperincikan model yang akan menerima kesemua spesifikasi tersebut.

Gambar: Tabletowo

Untuk gambaran lebih lanjut, siri REDMI Note 17 sebenarnya telah diperkenalkan lebih awal di China dengan dua model, iaitu REDMI Note 17 dan REDMI Note 17 Pro. Versi asas menggunakan cip Snapdragon 4 Gen 4 bersama skrin AMOLED 7 inci 120Hz, manakala model Pro pula dilengkapi Snapdragon 6s Gen 4 dan skrin AMOLED 6.83 inci beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula 120Hz. REDMI Note 17 versi China hadir dengan bateri 8,000mAh, manakala REDMI Note 17 Pro meningkatkannya kepada 9,000mAh.

Selain dua model tersebut, barisan global dijangka turut diperluaskan dengan varian REDMI Note 17 Pro Max, di mana model ini turut akan ditawarkan di Malaysia. Sebagai varian tertinggi dalam siri ini, REDMI Note 17 Pro Max berkemungkinan menjadi model yang membawa bateri 10,000mAh serta beberapa ciri premium lain yang telah didedahkan Xiaomi menjelang pelancaran global. Bagaimanapun, spesifikasi penuh dan konfigurasi untuk pasaran Malaysia masih belum diperincikan.

Dengan bateri lebih besar, pengecasan pantas, peningkatan ketahanan serta perkakasan yang lebih berkuasa, siri REDMI Note 17 dilihat bakal meneruskan fokus REDMI dalam menawarkan ciri yang praktikal untuk kegunaan harian, khususnya bagi pengguna yang mahukan telefon pintar yang mampu bertahan lebih lama. Buat peminat Meerqeen dan pengikut setia siri REDMI Note, anda boleh menyaksikan siaran langsung pelancarannya pada 2 September menerusi saluran rasmi Xiaomi Malaysia untuk mengetahui senarai model, spesifikasi penuh serta harga jualannya di Malaysia.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –