Menu

Google Kini Benarkan Watermark Gemini Dimatikan, Tapi Kandungan AI Masih Boleh Dikesan

Alyaa 7 days ago

Google kini membenarkan pengguna mematikan tera air (watermark) yang kelihatan pada imej, video dan juga lagu yang dihasilkan menerusi AI mereka. Sebelum ini, setiap kandungan yang dijana Gemini akan disertakan logo “sparkle” di penjuru imej sebagai tanda ia dihasilkan menggunakan AI. Kini, tanda tersebut boleh dimatikan sepenuhnya untuk memberikan hasil yang lebih bersih dan kemas.

Pengumuman ini dibuat oleh Naib Presiden Gemini, Josh Woodward, menerusi hantaran di platform X pada 14 Ogos lalu. Menurut Woodward, penetapan baharu ini terpakai untuk model penjanaan imej Nano Banana, model video Omni, serta model muzik Lyria. Buat masa ini, pilihan untuk mematikan tera air itu tersedia dalam aplikasi Gemini dan alat penyuntingan video Flow, manakala sokongan untuk Search dijangka menyusul tidak lama lagi.

Namun begitu, ada satu perkara penting yang perlu anda fahami. Walaupun logo yang kelihatan boleh dibuang, ia tidak bermakna kandungan tersebut akan menjadikannya tidak dapat dikesan sebagai hasil AI. Google mengekalkan dua lapisan keselamatan tersembunyi pada setiap fail, iaitu tera air digital SynthID dan metadata piawaian C2PA. Kedua-duanya kekal tertanam dalam fail dan boleh dikesan oleh sistem walaupun logo di penjuru telah dibuang.

Jika anda ingin mencubanya, caranya agak mudah. Di versi web, klik pada ikon tetapan di penjuru bawah kiri skrin, kemudian pilih bahagian “Media Watermark” dan tetapkan kepada Off. Perlu diingatkan juga, tetapan ini hanya terpakai untuk kandungan baharu sahaja, dan tidak akan mengubah fail lama yang telah dijana sebelum ini. Satu perkara lagi, pilihan ini tidak akan tersedia di negara-negara yang mewajibkan pelabelan AI secara jelas menerusi undang-undang tempatan. 


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –