Spekulasi mengenai kepulangan Formula 1 ke Malaysia akhirnya terjawab apabila Formula 1 dan FIA mengesahkan Sepang sebagai lokasi perlumbaan pada 2 hingga 4 Oktober 2026. Meskipun berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), acara tersebut akan menggunakan nama Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix.
Menurut kenyataan rasmi, persetujuan ini dicapai antara Formula 1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia, membolehkan Grand Prix Bahrain yang asalnya berkemungkinan tidak dapat diteruskan dapat dikekalkan dalam kalendar. Walau bagaimanapun, penganjuran ini masih tertakluk kepada perjanjian akhir dan kelulusan rasmi, termasuk kelulusan Majlis Sukan Motor Dunia (WMSC).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, menzahirkan rasa gembira dengan pengesahan tersebut.
“Kami berbesar hati untuk mengesahkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain pada 2026. Sekali lagi, sukan ini telah membuktikan keupayaannya untuk menyesuaikan diri, mencari penyelesaian dan merealisasikannya, sekali gus mencipta detik yang mengujakan buat semua peminat Formula 1,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia.
“Kami berbesar hati untuk menyokong Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan FIA dalam menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang pada tahun ini.
“Kerjasama ini bukan sekadar penganjuran sebuah acara sukan bertaraf dunia. Ia mencerminkan persahabatan yang berkekalan, kepercayaan bersama serta hubungan erat antara Malaysia dan Kerajaan Bahrain, di samping menegaskan semula kesediaan dan keupayaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah acara-acara antarabangsa bertaraf dunia,” katanya.
Untuk rekod, Litar Antarabangsa Sepang mula menyertai kalendar Formula 1 pada 1999 dan sejak itu dikenali sebagai antara litar paling mencabar dalam kejohanan tersebut. Reka bentuk teknikalnya, keadaan cuaca tropika yang berubah-ubah serta sejarah perlumbaan dramatik menjadikan Sepang antara lokasi penting dalam era moden Formula 1.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

F1 Berpotensi Kembali ke Sepang Sebagai Perlumbaan Ganti Susulan Konflik Di Timur Tengah
Tirai Sukan Komanwel Glasgow 2026 Dibuka Secara Rasmi, 59 Atlet Galas Cabaran Malaysia
Khairul Aming Hantar Surat Tuntutan Kepada Maxis Susulan Kebocoran Data, JPDP Turut Buka Siasatan
Harga Minyak 23–29 Julai 2026: RON97 Dan RON95 Naik 20 Sen, Diesel Naik 35 Sen Minggu Ini
Apple Naikkan Harga Apple Music di Malaysia, Pelan Individu Kini RM17.90 Sebulan
Run For Tigers 2026: Sertai Larian 5KM dan 10KM Sambil Membantu Usaha Pemuliharaan Harimau Malaya