Selepas hampir sedekad meninggalkan kalendar Formula 1, nama Sepang kembali menjadi perhatian selepas dilaporkan antara calon untuk menjadi tuan rumah perlumbaan F1 pada tahun ini.
Menurut laporan Sky Sports F1, pihak Formula 1 kini sedang berbincang dengan penganjur Grand Prix Malaysia mengenai kemungkinan mengadakan perlumbaan di Sepang sebagai acara pengganti sekiranya slot yang kosong dalam kalendar musim 2026 perlu diisi.
Keperluan untuk mencari lokasi baharu timbul selepas Grand Prix Bahrain dan Arab Saudi dibatalkan susulan konflik melibatkan beberapa negara di Timur Tengah. Grand Prix Arab Saudi disahkan tidak akan kembali tahun ini, manakala rancangan untuk mengembalikan Bahrain pada awal Oktober dilaporkan semakin sukar direalisasikan berikutan ketidaktentuan keadaan di Timur Tengah.

Gambar: F1
Dalam senario tersebut, Malaysia dilihat antara pilihan untuk mengisi slot pada 4 Oktober, iaitu di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura.
Perkara itu turut mendapat perhatian kerajaan apabila Menteri Belia dan Sukan, Taufiq Johari, memaklumkan bahawa perbincangan dan penilaian kini sedang giat dijalankan oleh kementerian.
“Perdana Menteri dan kementerian telah menerima maklumat awal mengenai kemungkinan menganjurkan perlumbaan Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang bagi menggantikan perlumbaan Formula 1 Bahrain.
“Sehubungan itu, perbincangan dan penilaian oleh kementerian kini sedang giat dijalankan,” katanya kepada Timesport.
Dari sudut logistik, Sepang mempunyai beberapa kelebihan. Litar itu terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta berdekatan Singapura, sekali gus memudahkan urusan pengangkutan kargo dan persediaan dalam tempoh yang singkat.
Sepang juga masih memiliki pensijilan FIA Grade 1 dan terus menjadi tuan rumah MotoGP serta pelbagai kejohanan antarabangsa. Namun, cabaran terbesar kekal melibatkan kos penganjuran.

Gambar: F1
Untuk rekod, Malaysia kali terakhir menganjurkan Formula 1 pada 2017, dengan perlumbaan terakhir dimenangi oleh Max Verstappen. Sejak itu, Sepang kekal aktif menganjurkan MotoGP dan baru-baru ini memperbaharui kontrak penganjuran Grand Prix Malaysia sehingga 2031.
Buat masa ini, masih belum ada pengesahan rasmi daripada Formula 1 atau Sepang International Circuit (SIC) mengenai penganjuran perlumbaan tersebut dengan Portimão di Portugal dan Istanbul di Turkiye turut dilaporkan berada dalam senarai calon.
Sama ada F1 benar-benar kembali ke Sepang bergantung pada hasil penilaian kerajaan, perkembangan kalendar musim 2026 serta keputusan akhir pihak Formula 1 dalam tempoh terdekat.
Gambar utama: F1
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

Tirai Sukan Komanwel Glasgow 2026 Dibuka Secara Rasmi, 59 Atlet Galas Cabaran Malaysia
CelcomDigi Raikan 20 Juta Pelanggan Menerusi Mega Gegar 20 Juta – Hadiah RM20 Juta Menanti!
Japan Expo Malaysia 2026 Satukan Budaya, Pelancongan Dan Hiburan Jepun Di KLCC
Run For Tigers 2026: Sertai Larian 5KM dan 10KM Sambil Membantu Usaha Pemuliharaan Harimau Malaya
Jalan Raja Ditutup Hampir Seminggu, Ini Senarai Jalan Yang Terlibat Sempena Citrawarna 2026
Sepanyol Muncul Juara Piala Dunia 2026, Gol Ferran Torres Musnahkan Impian Argentina