Menu

Jalan Raja Ditutup Hampir Seminggu, Ini Senarai Jalan Yang Terlibat Sempena Citrawarna 2026

Alyaa 4 days ago

Pengguna jalan raya yang merancang untuk melalui pusat bandar Kuala Lumpur minggu ini dinasihatkan supaya bersedia menghadapi gangguan trafik susulan beberapa penutupan jalan sempena penganjuran Citrawarna 2026. Jalan Raja yang terletak di hadapan Dataran Merdeka akan ditutup sepenuhnya bermula jam 12 tengah hari pada 21 Julai sehingga jam 5 pagi pada 27 Julai 2026.

Penutupan selama hampir seminggu itu dibuat bagi memberi laluan kepada kerja-kerja persiapan, operasi acara serta proses membuka semula struktur dan kelengkapan selepas festival berakhir.

Selain penutupan Jalan Raja, beberapa jalan utama di sekitar Dataran Merdeka turut akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada Colours of Parade, iaitu perarakan kebudayaan yang menjadi antara acara utama Citrawarna 2026.

Penutupan jalan tambahan akan dilaksanakan pada waktu berikut:

Raptai: Jumaat, 24 Julai 2026, dari jam 9 malam hingga 2 pagi
Hari perarakan: Sabtu, 25 Julai 2026, dari jam 6 petang hingga 11 malam

Sepanjang tempoh tersebut, laluan perarakan akan ditutup sepenuhnya melibatkan kawasan berikut:

  • Bulatan Dato’ Onn menuju ke Jalan Parlimen
  • Jalan Raja Laut
  • Jalan Esfahan
  • Jalan Tuanku Abdul Rahman
  • Jalan Tun Perak
  • Jalan masuk dari Jalan Kinabalu menuju ke Jalan Sultan Hishamuddin

Bagi mereka yang mahu menghadiri Citrawarna 2026, penggunaan pengangkutan awam lebih digalakkan berbanding memandu sendiri kerana beberapa laluan utama di sekitar Dataran Merdeka akan ditutup sepanjang tempoh acara.

Citrawarna 2026 akan berlangsung dari 24 hingga 26 Julai 2026 di Dataran Merdeka sebagai sebahagian daripada kempen Visit Malaysia 2026. Festival ini bakal mengetengahkan pelbagai elemen seni, budaya, warisan dan gastronomi Malaysia menerusi persembahan, perarakan serta aktiviti yang disediakan untuk pengunjung.

Bagi menggalakkan pengunjung menggunakan perkhidmatan e-hailing, Grab akan menawarkan potongan RM3 kepada 1,000 pengguna terawal setiap hari sepanjang festival berlangsung dari 24 hingga 26 Julai. Sebanyak 3,000 baucar bernilai keseluruhan RM9,000 akan disediakan sepanjang tempoh tiga hari tersebut. Kod promosi serta cara penebusan dijangka diumumkan lebih dekat dengan tarikh acara menerusi saluran rasmi Citrawarna.

Pengguna jalan raya yang bercadang untuk berada di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur pada hujung minggu tersebut disarankan supaya menyemak perkembangan trafik terkini sebelum memulakan perjalanan kerana kesesakan dijangka berlaku di sekitar Dataran Merdeka sepanjang festival berlangsung.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –