Menu

Apple College Student Offer 2026: Gift Card Sehingga RM600 Untuk Pembelian MacBook Dan iPad Terpilih

Alyaa 1 week ago

Apple kembali membawakan kempen tahunan College Student Offer 2026 di Malaysia dengan menawarkan Apple Store Gift Card bernilai sehingga RM600 kepada pembeli yang layak menerusi pembelian MacBook atau iPad terpilih. Tawaran ini berlangsung dari 16 Julai hingga 27 Ogos 2026 dan boleh ditebus menerusi Apple Education Store secara dalam talian, Apple Store fizikal atau melalui talian Apple Malaysia.

Menerusi promosi ini, pembelian MacBook Air melayakkan pelanggan menerima Apple Store Gift Card bernilai RM400, manakala pembelian MacBook Pro disertakan Gift Card bernilai RM600. Bagi kategori tablet pula, pembeli iPad Air dan iPad Pro masing-masing akan menerima Apple Store Gift Card bernilai RM400.

Hanya empat model tersebut layak menerima Gift Card. Model lain seperti iPad mini, iPad model asas dan iMac tidak termasuk dalam promosi ini. Namun begitu, produk-produk tersebut masih ditawarkan pada harga pendidikan menerusi Apple Education Store. Antaranya ialah MacBook Neo bermula RM2,599, iPad bermula RM1,959, iPad mini bermula RM2,469, Mac mini bermula RM2,899 dan iMac bermula RM6,299. 

Sepanjang tempoh promosi, setiap pembeli yang layak hanya boleh menerima satu Gift Card bagi pembelian Mac dan satu Gift Card bagi pembelian iPad. Gift Card yang diterima boleh digunakan untuk pembelian akan datang di Apple Store, termasuk aksesori dan produk Apple lain. 

Promosi ini terbuka kepada pelajar yang sedang mengikuti pengajian atau baru diterima masuk ke universiti, politeknik, kolej vokasional atau kolej teknikal di Malaysia. Guru dan kakitangan institusi pendidikan awam atau swasta dari peringkat tadika hingga Tingkatan 5 turut layak, termasuk ahli lembaga pengarah sekolah dan ahli PIBG yang masih berkhidmat. Kelayakan turut diberikan kepada kakitangan universiti, politeknik, kolej vokasional dan kolej teknikal, selain ibu bapa yang membuat pembelian bagi pihak anak yang memenuhi syarat ditetapkan.

Bagi pembelian secara dalam talian, pembeli perlu mengesahkan status sebagai pelajar atau pendidik melalui UNiDAYS sebelum transaksi dapat diselesaikan. Untuk pembelian di Apple Store fizikal, ibu bapa yang membeli tanpa kehadiran anak perlu menunjukkan salinan kad pelajar atau surat tawaran kemasukan rasmi bersama dokumen pengenalan diri pelajar kepada kakitangan Apple.

College Student Offer merupakan kempen tahunan Apple yang diadakan menjelang musim kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Apple Malaysia menawarkan Apple Store Gift Card sebagai ganjaran pembelian, manakala sesetengah pasaran lain menawarkan hadiah fizikal seperti AirPods atau AirTag.

Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan terma promosi boleh dirujuk menerusi halaman rasmi Terma & Syarat Apple.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –