Menu

U Mobile Perkenal ULTRA Tourist Plan, Gabungkan 100GB Data Bersama Grab Travel Pass Pada Harga RM15

Alyaa 2 days ago

U Mobile memperkenalkan pelan prabayar baharu khas untuk pelancong ke Malaysia, iaitu ULTRA Tourist Plan. Pelan ini menawarkan 100GB data berkelajuan tinggi yang sah selama 7 hari pada harga RM15, serta disertakan dengan Grab Visit Malaysia 2026 Travel Pass secara percuma.

Menurut U Mobile, ini merupakan pelan mudah alih pelancong pertama di Malaysia yang menggabungkan pas perjalanan Grab dalam satu pakej. Inisiatif ini diperkenalkan bersempena Visit Malaysia Year 2026, sekali gus bertujuan memudahkan pelancong antarabangsa untuk kekal berhubung, bergerak dan menikmati pelbagai perkhidmatan sepanjang berada di Malaysia.

Gambar: U Mobile

Pelancaran ULTRA Tourist Plan ini juga hadir susulan sambutan menggalakkan terhadap ULTRA Tourist 24 Hour Trial yang diperkenalkan pada Februari 2026. Melalui pelan prabayar 7 hari ini, pelancong boleh menikmati 100GB data dengan kelajuan tanpa had, pada harga serendah RM15. Pelan ini juga boleh digunakan untuk hotspot, menjadikannya lebih praktikal untuk pelancong yang membawa lebih daripada satu peranti atau melancong bersama keluarga dan rakan.

Bagi melengkapkan pengalaman pelancong antarabangsa, U Mobile bekerjasama dengan Grab Malaysia untuk menawarkan Grab Visit Malaysia 2026 Travel Pass secara percuma bersama pelan ini. Pas bernilai sehingga RM186 itu merangkumi 22 baucar dalam beberapa kategori, termasuk perjalanan, makanan dan beli-belah.

Gambar: U Mobile

Untuk kategori perjalanan, pelancong boleh menikmati diskaun RM20 bagi Advance Booking, selain tawaran untuk tambang lapangan terbang, EV rides, GrabRent dan GrabExec. Bagi kategori makanan pula, pas ini menawarkan diskaun 20% untuk GrabFood terpilih dan Grab Dine Out, manakala kategori beli-belah merangkumi diskaun 10% untuk pesanan GrabMart terpilih.

ULTRA Tourist Plan terbuka kepada semua pemegang pasport bukan warganegara Malaysia dan tersedia dalam dua pilihan, iaitu SIM fizikal dan eSIM. SIM fizikal boleh didapati di 32 kedai U Mobile, dealer sah terpilih serta outlet 7-Eleven di semua lapangan terbang antarabangsa Malaysia.

Bagi pilihan eSIM pula, pelancong boleh membelinya terus melalui laman web U Mobile atau aplikasi MyUMobile. Pilihan ini membolehkan pelancong mengaktifkan sambungan lebih awal sebelum tiba di Malaysia, sekali gus menjadikan proses penggunaan lebih mudah dan cepat sebaik sahaja mendarat.

Gambar: U Mobile

Selain itu, pengaktifan perkhidmatan dan pembelian pas data tambahan juga boleh dilakukan melalui aplikasi MyUMobile. Ini memberi lebih fleksibiliti kepada pelancong sekiranya mereka memerlukan data tambahan sepanjang tempoh perjalanan.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –