Menu

GTA VI Kini Boleh Dipratempah di Malaysia, Harga Bermula RM339 Untuk Standard Edition

Alyaa 3 hours ago

Penantian panjang hampir berakhir apabila Grand Theft Auto VI kini boleh dipratempah di Malaysia menerusi PlayStation Store, dengan tarikh pelancaran rasmi ditetapkan pada 19 November 2026.

Bagi pengguna di Malaysia, PlayStation 5 dan PS5 Pro merupakan platform utama yang tersedia memandangkan Xbox tidak dijual secara rasmi di sini. Harga tempahan awal bermula pada RM339 untuk Standard Edition, manakala Ultimate Edition pula ditawarkan pada harga RM419.

Bagi yang membuat tempahan awal, terdapat beberapa bonus yang boleh dinantikan. Semua pembeli, tidak kira untuk Standard Edition atau Ultimate Edition, yang membuat tempahan sebelum 20 November akan menerima Vintage Vice City Pack. Pek ini merangkumi pakaian dan gaya rambut untuk watak Jason dan Lucia, sebuah kenderaan, garaj peribadi, serta corak senjata sebagai penghormatan kepada Tommy Vercetti, protagonis Vice City asal.

Menariknya, corak senjata tersebut disebut sebagai eksklusif, jadi ia tidak boleh diperoleh melalui perkembangan permainan biasa. Semua tempahan awal turut hadir dengan langganan GTA+ selama sebulan secara percuma, sesuai untuk mereka yang merancang untuk meneroka GTA Online apabila ia tersedia kelak.

Gambar: Rockstar Games

Ultimate Edition pula menawarkan lebih banyak kandungan tambahan, termasuk kosmetik tambahan untuk Jason dan Lucia, versi khas kenderaan, serta beberapa bonus eksklusif lain. Ini bermakna kandungan tersebut tidak boleh diperoleh melalui permainan biasa, menjadikannya pilihan yang mungkin berbaloi untuk peminat tegar yang mahukan koleksi lebih lengkap.

Satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah Rockstar Games meletakkan GTA VI sebagai pengalaman pemain tunggal pada peringkat awal. Ini bermakna GTA Online berkemungkinan belum tersedia semasa pelancaran, sama seperti yang berlaku ketika GTA V pertama kali dilancarkan pada 2013.

Bagi peminat yang lebih gemar versi fizikal, ada berita yang kurang menyenangkan. Tiada cakera disertakan dalam kotak, di mana pembeli hanya akan menerima kod muat turun digital, sekurang-kurangnya untuk pasaran Malaysia. Jadi, walaupun membeli versi fizikal, anda masih perlu memuat turun permainan sepenuhnya.

Bagi yang sudah membuat tempahan awal, muat turun awal boleh dilakukan mulai 12 November bagi memastikan permainan boleh dimainkan sebaik sahaja ia dilancarkan pada 19 November.

Untuk membuat tempahan awal GTA VI, anda boleh melayari laman web rasmi PlayStation Store sekarang.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –