HONOR Magic V6 Kini di Malaysia: Bateri 6,660mAh, Integrasi Apple dan Harga Bermula RM7,699
HONOR Magic V6 kini rasmi dilancarkan di Malaysia sebagai telefon boleh lipat premium terbaharu HONOR. Peranti ini hadir dengan fokus kepada rekaan ultra nipis, ketahanan lebih lasak, bateri besar serta sokongan produktiviti untuk pengguna yang mahu menggunakan telefon boleh lipat sebagai peranti kerja harian.
Spesifikasi HONOR Magic V6

Dari segi rekaan, HONOR Magic V6 mempunyai ketebalan hanya 8.75mm apabila dilipat dan 4.0mm apabila dibuka, dengan berat sekitar 219g. Ia menggunakan Engsel Keluli Super HONOR dengan kekuatan tegangan 2,800MPa dan telah diuji sehingga 500,000 kali lipatan.
HONOR turut memberikan penarafan IP68 dan IP69 pada Magic V6, menjadikannya lebih tahan terhadap habuk, rendaman air dan semburan air bertekanan tinggi. Ini antara ciri yang menjadikan Magic V6 menonjol dalam kategori telefon boleh lipat premium.

Untuk paparan, Magic V6 menggunakan sistem dwi skrin dengan kadar segar semula adaptif 1-120Hz. Skrin luar menawarkan kecerahan puncak sehingga 6,000 nits, manakala skrin dalaman pula sehingga 5,000 nits. Paparan dalaman turut menggunakan Ultra-Tough Glass yang dikatakan mampu mengurangkan kesan lipatan sehingga 44% dan meningkatkan ketahanan hentakan sebanyak 33%.

Di bahagian prestasi, HONOR Magic V6 dikuasakan Snapdragon 8 Elite Gen 5 Mobile Platform, dipadankan dengan RAM 16GB dan storan sehingga 1TB. Ia juga menyokong ciri Multi-Flex yang membolehkan pengguna membuka sehingga tiga aplikasi secara serentak pada skrin besar.
HONOR turut menyertakan ciri AI Fast-Flex, yang membolehkan pengguna mengaktifkan Gemini dengan lipatan separa. Pembeli juga akan menerima akses Google AI Pro selama tiga bulan, bersama storan awan 5TB.
Untuk bateri, Magic V6 dilengkapi bateri silikon karbon 6,660mAh, yang dikatakan sebagai kapasiti terbesar pernah digunakan pada telefon boleh lipat. Ia menyokong pengecasan berwayar 80W HONOR SuperCharge, pengecasan tanpa wayar 66W serta pengecasan berbalik tanpa wayar.

Bagi kamera, Magic V6 dilengkapi kamera telefoto 64MP dengan penstabilan imej CIPA 6.5. Ia turut hadir dengan Portrait Engine dan ciri AI Magic Pose, yang memberi cadangan gaya secara masa nyata ketika mengambil gambar potret.
Satu lagi tarikan utama Magic V6 ialah integrasi dengan ekosistem Apple. Melalui HONOR Connect dan HONOR WorkStation, pengguna boleh memindahkan fail antara Magic V6 dengan iPhone atau MacBook, menggunakan Mac Screen Extension, mengakses iCloud, serta menyambungkan AirPods dengan sokongan pop-up pairing, kawalan hingar dan Find My.
Harga dan Ketersediaan HONOR Magic V6 di Malaysia

HONOR Magic V6 hadir dalam empat pilihan warna iaitu Ferghana Red, Sunrise Gold, Ivory White dan Classic Black.
Ia ditawarkan dalam dua konfigurasi:
- 16GB RAM + 512GB storan – RM7,699
- 16GB RAM + 1TB storan – RM8,899
HONOR Magic V6 kini dibuka untuk pra-tempahan sehingga 11 Jun 2026. Sepanjang tempoh ini, pembeli akan menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM3,797, termasuk Skyworth Google TV 43 inci, Jaminan Kualiti Tanpa Risau 2 Tahun dan Perlindungan Skrin Retak Tanpa Risau selama setahun.
Pra-tempahan boleh dibuat melalui HONOR Experience Store, laman web HONOR Malaysia, Shopee, Lazada, TikTok Shop serta rakan niaga seperti Harvey Norman, Senheng, SenQ dan Urban Republic.
Jualan rasmi HONOR Magic V6 di Malaysia bermula 12 Jun 2026.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads
