Ulasan realme C100 Malaysia: Telefon Bajet Praktikal Untuk Hari Yang Panjang
realme C100 hadir dengan satu keutamaan yang cukup jelas: hayat bateri. Ia dilengkapi bateri besar berkapasiti 7,000mAh, bersama sambungan 5G, paparan 144Hz dan penarafan kalis debu serta percikan air IP64.
Selepas menggunakan realme C100 selama hampir dua minggu, saya menjangkakan baterinya akan menjadi tarikan utama. Memang benar, tetapi saya juga mula menghargai binaannya yang kukuh, paparan yang mudah dilihat di bawah cahaya matahari dan kamera utama yang sebenarnya cukup baik apabila digunakan dalam pencahayaan mencukupi.
Jadi, adakah bateri besar dan binaan lebih tahan lasak sudah cukup untuk menjadikan realme C100 pilihan berbaloi? Sebenarnya, telefon ini menawarkan lebih daripada yang saya jangkakan.
Binaan Yang Mengejutkan Untuk Telefon Bajet

Sebaik sahaja dikeluarkan dari kotak, perkara pertama yang menarik perhatian saya bukanlah baterinya, tetapi bagaimana telefon ini terasa di tangan.
Unit yang kami diterima hadir dalam warna Blooming Purple, dengan corak berinspirasikan bunga pada panel belakang. Ia memberi sedikit identiti tanpa kelihatan terlalu menonjol, sementara kemasan matte bertekstur terasa selesa dipegang dan membantu mengurangkan kesan cap jari.

Sudah tentu, ini masih sebuah telefon dengan binaan plastik. Namun, rangkanya terasa kukuh dan panel belakang bertekstur memberikan cengkaman yang baik. Saya mempunyai tangan yang agak kecil, tetapi realme C100 masih cukup selesa untuk dipegang walaupun tanpa sarung pelindung yang disertakan.
Dalam kotak, realme turut menyertakan sarung pelindung, pengecas dan kabel USB-C. Dengan semakin banyak jenama mengurangkan aksesori dalam kotak, ini masih satu kelebihan yang praktikal.

Dari segi paparan pula, realme C100 menggunakan panel LCD HD+ bersaiz 6.8 inci dengan kadar segar semula sehingga 144Hz. Tidak semua aplikasi akan berjalan pada kadar penuh 144Hz, tetapi pengalaman menatal media sosial dan menggunakan antaramuka terasa lancar untuk kegunaan harian.
Satu perkara yang saya hargai ialah tahap keterlihatan di luar bangunan. Dengan kecerahan sehingga 900 nits dalam mod High Brightness, saya tidak menghadapi masalah menggunakan Google Maps, membalas mesej atau mengambil gambar di bawah cahaya matahari petang. Resolusi HD+ sememangnya satu kompromi, tetapi untuk media sosial, YouTube dan navigasi, ia cukup memadai.
Bateri Untuk Mereka Yang Sentiasa Berada di Luar

Di sinilah realme C100 benar-benar menyerlah. Dengan bateri 7,000mAh, ketahanan baterinya memang menjadi kelebihan utama.
Penggunaan harian saya kebanyakannya melibatkan media sosial, YouTube dan mengambil gambar sepanjang hari. Dengan corak penggunaan seperti itu, realme C100 mampu bertahan sekitar dua hari sebelum perlu dicas semula. Penggunaan lebih berat seperti navigasi berterusan, data mudah alih atau permainan video memang akan menggunakan bateri dengan lebih cepat, tetapi untuk rutin harian biasa, ketahanannya memang boleh dirasai.
Telefon ini turut menyokong pengecasan 45W, walaupun pengecas yang disertakan dalam kotak ialah pengecas 15W. Ia bukan pengecasan terpantas dalam pasaran, tetapi memandangkan baterinya tahan lama, ia masih memadai untuk pengecasan ringkas sebelum keluar rumah.
realme juga menyertakan fungsi Bypass Charging, yang membolehkan telefon mengambil kuasa terus daripada pengecas ketika bermain permainan video tanpa membebankan bateri secara berterusan. Ia mungkin bukan sebab utama untuk membeli telefon ini, tetapi tetap berguna untuk sesi permainan yang lebih panjang.
Prestasi Yang Mencukupi Untuk Kegunaan Harian

realme C100 dikuasakan cip MediaTek Dimensity 6300, dipadankan dengan 6GB RAM dan storan 128GB pada unit ulasan kami. Ia hadir dengan Android 16 serta realme UI 7.0.
Dari segi prestasi, telefon ini mencukupi untuk tugasan harian seperti media sosial, penstriman video, navigasi dan mesej. Ia tidak terasa begitu pantas, dan pengguna yang datang daripada telefon kelas lebih tinggi mungkin akan menyedari aplikasi mengambil sedikit masa untuk dibuka.
Apabila beberapa aplikasi berat digunakan serentak, ada aplikasi yang dimuat semula selepas dibiarkan di latar belakang. Sesetengah aplikasi juga mengambil masa lebih lama untuk dilancarkan. Ia tidak merosakkan pengalaman keseluruhan, tetapi pada harga ini, perkara tersebut wajar disebut.

Prestasi permainan pula lebih baik daripada jangkaan saya. PUBG Mobile boleh dimainkan dengan agak baik pada tetapan grafik yang lebih tinggi untuk sesi pendek, dan telefon tidak menjadi terlalu panas apabila digunakan di dalam bangunan. Terdapat juga GT Mode untuk memberikan sedikit peningkatan prestasi ketika bermain.
Namun, saya tidak akan mengesyorkan realme C100 sebagai telefon utama untuk pemain tegar. Ia boleh mengendalikan permainan kasual, tetapi fokus utamanya jelas lebih kepada ketahanan bateri berbanding prestasi.

Pembesar suaranya juga cukup kuat, dengan sokongan peningkatan kelantangan sehingga 300%. Kualiti audio bukanlah yang paling terperinci, tetapi untuk arahan navigasi, video pendek atau panggilan di kawasan bising, ia berfungsi dengan baik.

Selain itu, realme masih mengekalkan bicu audio 3.5mm dan slot kad microSD. Kedua-dua ciri ini semakin jarang ditemui, jadi pilihan untuk menggunakan fon telinga berwayar atau menambah storan masih sangat berguna.
Kamera Yang Lebih Sesuai Digunakan Pada Waktu Siang

Dari segi kamera, realme C100 menggunakan kamera utama 50MP di belakang dan kamera swafoto 5MP di hadapan.
Kamera utama ini sebenarnya cukup memuaskan apabila digunakan dalam pencahayaan yang baik. Gambar landskap dan subjek pada waktu siang kelihatan menarik, dengan warna yang terang, perincian yang munasabah dan autofokus yang lebih pantas daripada jangkaan saya.


Ia sesuai untuk gambar media sosial, makanan atau rakaman harian ketika berada di luar. Dalam konteks itu, saya tidak mempunyai banyak aduan.
Kekurangannya lebih jelas apabila digunakan di dalam bangunan atau pada waktu malam. Gambar menjadi lebih berbutir, perincian halus berkurangan dan Night Mode kadangkala menghasilkan imej yang kelihatan terlalu diproses. Ia masih boleh digunakan untuk rakaman ringkas, tetapi bukan pilihan terbaik jika fotografi cahaya rendah penting untuk anda.
Kamera swafoto 5MP pula memadai untuk panggilan video, swafoto kasual dan kandungan media sosial asas dalam pencahayaan yang baik.
Rakaman video merupakan bahagian paling lemah pada sistem kamera ini. Penstabilan yang terhad menyebabkan rakaman tangan kelihatan agak bergoyang. Untuk rakaman asas, ia masih boleh digunakan, tetapi pencipta kandungan mungkin mahukan sesuatu yang lebih baik.
Pilihan Praktikal Untuk Pengguna Tertentu

Secara keseluruhannya, realme C100 berjaya menarik perhatian saya kerana ia memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar praktikal. Bateri 7,000mAh yang tahan lama, binaan kukuh, pembesar suara kuat dan kehadiran bicu audio menjadikannya terasa seperti telefon yang direka untuk kegunaan harian yang lasak.
Namun pada harga RM1,099 untuk varian 6GB RAM dan 128GB storan, beberapa kompromi tetap perlu diterima. Paparan HD+ tidak begitu tajam untuk julat harga ini, prestasinya sederhana dan kamera lebih sesuai digunakan pada waktu siang.
Ini menjadikan realme C100 sebuah telefon untuk pengguna yang agak spesifik. Ia mungkin bukan pilihan pertama untuk mereka yang mencari telefon serba boleh terbaik pada harga RM1,099. Tetapi bagi penghantar makanan, pemandu e-hailing atau sesiapa yang memerlukan telefon dengan bateri tahan lama dan boleh diharapkan sepanjang hari, realme C100 sememangnya wajar dipertimbangkan.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads
