REDMI Headphones Neo, Buds 8 dan Watch 6 Kini di Malaysia, Harga Bermula dari RM239
Selain melancarkan siri Xiaomi 17T, Xiaomi Malaysia turut memperkenalkan tiga aksesori baharu di bawah jenama REDMI iaitu REDMI Headphones Neo, REDMI Buds 8 dan REDMI Watch 6. Ketiga-tiganya menyasarkan pengguna yang mahukan aksesori audio dan wearable dengan ciri premium tanpa perlu berbelanja terlalu tinggi.
REDMI Headphones Neo: Fon Kepala Pertama REDMI

Daripada ketiga-tiga produk yang diumumkan, REDMI Headphones Neo mungkin antara yang paling dinanti-nantikan kerana ia merupakan fon kepala over-ear pertama REDMI untuk pasaran Malaysia.
Ia hadir dengan Active Noise Cancellation (ANC) sehingga 42dB yang mampu menyesuaikan tahap pembatalan bunyi mengikut persekitaran pengguna. Xiaomi turut melengkapkannya dengan sistem tiga mikrofon untuk panggilan yang lebih jelas serta pensijilan Hi-Res Audio bagi pengalaman audio berkualiti tinggi.
Bagi mereka yang gemar mendengar muzik dalam tempoh yang lama, REDMI Headphones Neo menawarkan hayat bateri sehingga 72 jam dengan sekali cas. Ia juga menyokong Google Fast Pair dan sambungan kepada dua peranti secara serentak.
REDMI Buds 8: Fokus Kepada ANC dan Ketahanan Bateri

Bagi kategori TWS pula, REDMI Buds 8 menawarkan Active Noise Cancellation sehingga 50dB serta sistem tiga mikrofon dengan AI Noise Reduction untuk panggilan suara yang lebih jelas.
Ia menggunakan pemacu audio 11mm dan turut menyokong audio spatial 360 darjah serta tetapan EQ yang boleh disesuaikan mengikut citarasa pengguna.
Dari segi ketahanan bateri, REDMI Buds 8 mampu menawarkan sehingga 44 jam penggunaan bersama bekas pengecas. Cas pantas selama 10 minit pula boleh memberikan sehingga 4 jam masa pendengaran.
REDMI Watch 6: Skrin AMOLED Lebih Besar
Untuk kategori jam pintar pula, REDMI Watch 6 hadir dengan skrin AMOLED 2.07 inci yang menawarkan kecerahan sehingga 2,000 nits. Ini memudahkan paparan dilihat dengan lebih jelas, termasuk ketika digunakan di bawah cahaya matahari.
Jam pintar ini turut menggunakan kerangka aluminium setebal 9.9mm dengan rekaan yang lebih kemas untuk kegunaan harian. Ia juga menyokong paparan Always-On Display berwarna bagi memberikan pengalaman jam pintar yang lebih moden.
Dari segi ketahanan bateri, REDMI Watch 6 dibekalkan bateri 550mAh yang menurut Xiaomi mampu bertahan sehingga 24 hari. Ia juga dilengkapi ciri pemantauan kadar denyutan jantung, pengesanan aktiviti sukan serta sistem kedudukan lebih tepat menerusi antena dwi-L1.
Harga dan Ketersediaan REDMI Headphones Neo, Buds 8 dan Watch 6 di Malaysia

Bersempena pelancarannya, Xiaomi menawarkan harga promosi untuk ketiga-tiga produk tersebut:
- REDMI Headphones Neo – RM239 (harga asal RM399)
- REDMI Buds 8 – RM249 (harga asal RM289)
- REDMI Watch 6 – RM369 (harga asal RM469)
Semua produk boleh didapati melalui Xiaomi Store, laman web rasmi Xiaomi serta kedai rasmi Xiaomi di Shopee, Lazada dan TikTok Shop. Namun, REDMI Buds 8 akan mula dijual di Malaysia bermula 5 Jun 2026.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads


