May 15, 2026

vivo X300 Ultra dan X300 FE Kini Rasmi Di Malaysia, Harga Bermula RM3,299

vivo-x300-ultra

vivo Malaysia secara rasmi memperkenalkan dua model baharu di bawah siri X300 untuk pasaran Malaysia, iaitu vivo X300 Ultra dan vivo X300 FE (Fun Edition). Kedua-dua model ini membawa fokus kepada keupayaan pengimejan, khususnya untuk pengguna yang banyak merakam konsert, perjalanan dan kandungan harian.

Walaupun berada dalam siri yang sama, kedua-duanya hadir dengan sasaran pengguna yang berbeza. vivo X300 Ultra lebih tertumpu kepada pencipta kandungan dan pengguna yang mahukan sistem kamera mudah alih lebih profesional, manakala vivo X300 FE pula menawarkan pengalaman flagship yang lebih ringan, kompak dan praktikal untuk kegunaan harian.

vivo X300 Ultra Untuk Pengguna Yang Mahukan Kamera Lebih Serius

vivo X300 Ultra menjadi model Ultra pertama memasuki pasaran Malaysia, dengan menampilkan tiga lensa utama ZEISS pada jarak fokus 14mm, 35mm dan 85mm, merangkumi rakaman ultra lebar, dokumentari/potret dan telefoto.

Untuk rakaman jarak jauh, vivo X300 Ultra turut menyokong vivo ZEISS Telephoto Extender Gen 2 setara 200mm serta vivo ZEISS Telephoto Extender Gen 2 Ultra setara 400mm. Ini menjadikan model ini lebih sesuai untuk pengguna yang kerap merakam subjek dari jauh seperti konsert, sukan, hidupan liar atau acara langsung.

Antara tumpuan utama pada model Ultra ialah kamera telefoto ZEISS Gimbal-Grade APO 85mm dengan sensor 200MP, sokongan OIS tahap gimbal dan penjejakan AF sehingga 60fps dalam mod snapshot. 

Dari segi video, vivo X300 Ultra menyokong rakaman Multi-Focal 4K 120fps 10-bit Log Video dan Multi-Focal 4K 120fps Dolby Vision Video pada semua kamera belakang. Sokongan Log, 3D LUT tersuai dan aliran kerja ACES juga menjadikan model ini lebih menarik untuk pencipta kandungan yang mahu lebih kawalan dalam proses suntingan warna.

Selain itu, vivo turut memperkenalkan vivo SmallRig Pro Video Rig Kit untuk vivo X300 Ultra. Aksesori ini direka untuk pengguna yang mahukan pengalaman rakaman lebih stabil dan profesional, lengkap dengan rangka boleh kembang, pemegang dwi tangan, kawalan fizikal shutter dan zoom serta kipas penyejuk untuk rakaman intensiti tinggi.

vivo X300 FE Lebih Kompak, Tapi Masih Fokus Pada Pengimejan

Bagi vivo X300 FE pula, model ini membawa pendekatan yang lebih seimbang antara kamera, reka bentuk kompak dan penggunaan harian. Ia hadir dengan sistem kamera yang merangkumi 50MP ZEISS Super Telephoto Camera, kamera utama 50MP ZEISS dan kamera ultra lebar 110°.

Selain itu, ciri menarik pada X300 FE ialah sokongan vivo ZEISS Telephoto Extender Gen 2 setara 200mm, yang buat pertama kali dibawakan kepada siri FE. Aksesori ini turut menerima pengurangan berat daripada 210g kepada 153g, menjadikannya lebih mudah dibawa kemana-mana.

vivo X300 FE juga dilengkapi Stage Mode, yang dioptimumkan untuk konsert dan acara langsung. Mod ini menggabungkan perkakasan telefoto dengan penalaan algoritma bagi membantu merakam subjek di pentas dengan lebih jelas, terutamanya dalam keadaan pencahayaan yang kompleks.

Untuk pengguna yang suka merakam suasana harian, model ini turut menawarkan Street Photography Mode, ZEISS Multifocal Portrait dengan jarak fokus 23mm hingga 100mm, serta sokongan video sehingga 8K 30fps, selain 4K 60fps dan 4K 120fps.

Perbezaan Utama vivo X300 Ultra dan X300 FE

Perbezaan paling ketara antara kedua-dua model ini terletak pada tahap keupayaan kamera dan sasaran pengguna.

vivo X300 Ultra lebih sesuai untuk mereka yang benar-benar serius dalam penghasilan kandungan, terutamanya video dan fotografi jarak jauh. Ia hadir dengan sistem lensa yang lebih lengkap, sokongan telefoto sehingga 400mm melalui extender khas, rakaman Log, Dolby Vision dan aksesori video profesional.

vivo X300 FE pula lebih sesuai untuk pengguna yang mahukan telefon flagship yang lebih ringan, kompak dan mudah digunakan setiap hari, tetapi masih mahukan keupayaan kamera telefoto yang baik. Dengan berat 191g, ketebalan 7.99mm dan skrin rata 6.31 inci, ia lebih mudah dikendalikan berbanding model Ultra yang lebih besar.

Prestasi, Bateri dan Ketahanan

Dari segi prestasi, vivo X300 Ultra dikuasakan oleh Snapdragon 8 Elite Gen 5 bersama Pro Imaging Chip VS1+, manakala vivo X300 FE menggunakan Snapdragon 8 Gen 5. Kedua-duanya turut hadir dengan sistem penyejukan bagi memastikan prestasi lebih stabil ketika penggunaan berat.

Untuk bateri, vivo X300 Ultra dilengkapi bateri 6600mAh BlueVolt dengan sokongan 100W FlashCharge dan 40W Wireless FlashCharge. Sementara itu, vivo X300 FE menggunakan bateri 6500mAh BlueVolt dengan 90W FlashCharge dan 40W Wireless Charge.

Kedua-dua model juga hadir dengan penarafan IP68 dan IP69 untuk ketahanan terhadap habuk dan air, selain menjalankan OriginOS 6. vivo turut menjanjikan kemas kini OS selama 5 tahun dan penyelenggaraan keselamatan selama 7 tahun untuk kedua-dua model.

Harga Dan Ketersediaan di Malaysia

Di Malaysia, vivo X300 FE ditawarkan dalam dua pilihan storan, manakala vivo X300 Ultra pula hadir dalam dua varian utama serta pilihan Special Edition Photographer Kit untuk pengguna yang mahu set rakaman lebih lengkap.

Harga Pratempah vivo X300 FE:

  • vivo X300 FE (12GB + 256GB) – RM3,299
  • vivo X300 FE (12GB + 512GB) – RM3,899
  • vivo X300 FE Special Edition Photographer Kit (12GB + 256GB) – RM3,998 (Harga asal: RM4,298)
  • vivo X300 FE Special Edition Photographer Kit (12GB + 512GB) – RM4,598 (Harga asal: RM4,898)

Bagi vivo X300 FE, pelanggan yang membuat pra-tempahan akan menerima hadiah seperti pembesar suara JBL bernilai RM299 dan vivo Buds Pro bernilai RM199, bersama manfaat vivo Care yang merangkumi lanjutan waranti 1+1 tahun dan perlindungan kerosakan skrin selama 180 hari. Pelanggan juga boleh menikmati penjimatan RM300 untuk vivo ZEISS Telephoto Extender Gen 2 (RM999) melalui pakej bundle, selain pelan ansuran 0% sehingga 24 bulan, diskaun RM100 dengan rakan bank terpilih dan pilihan trade-in di vivo Concept Store.

Harga Pratempah vivo X300 Ultra:

  • vivo X300 Ultra (16GB + 512GB) – RM5,899 (Harga asal: RM6,799)
  • vivo X300 Ultra (16GB + 1TB) – RM6,899 (Harga asal: RM7,799)
  • vivo X300 Ultra Special Edition Photographer Kit (16GB + 1TB) – RM9,099 (Harga asal: RM9,999)

Untuk vivo X300 Ultra pula, promosi pra-tempahan merangkumi rebat tunai RM900, tripod COMAN Aluminium Photography bernilai RM299, manfaat vivo Care seperti lanjutan jaminan satu tahun dan perlindungan skrin retak selama 180 hari, serta diskaun 30% untuk vivo ZEISS Telephoto Extender Gen 2 (RM999) dan Gen 2 Ultra (RM1,599) bersama beg penyimpanan percuma bernilai RM159.

Kedua-dua model kini dibuka untuk pratempahan sehingga 22 Mei 2026 di semua vivo Concept Store serta secara dalam talian melalui laman web rasmi vivo Malaysia.


Nak dapatkan berita, maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads