May 8, 2026

Infinix GT 50 Pro Dilancarkan Di Malaysia Dengan Sistem Penyejukan Cecair, Harga Bermula RM1,899

infinix-gt-50-pro

Infinix Malaysia memperkenalkan Infinix GT 50 Pro secara rasmi untuk pasaran tempatan, dengan harga bermula RM1,899. Model ini hadir sebagai telefon gaming baharu di bawah ekosistem GT, dengan fokus kepada prestasi permainan yang lebih stabil untuk sesi penggunaan lebih lama.

Antara tarikan utama peranti ini ialah HydroFlow Liquid Cooling Architecture, iaitu sistem penyejukan cecair yang direka untuk membantu mengurangkan isu panas ketika bermain game, terutama dalam sesi yang lebih panjang.

Fokus Kepada Gaming Yang Lebih Stabil

Dari segi prestasi, Infinix GT 50 Pro dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 8400 Ultimate berasaskan binaan 4nm all-big-core. Menurut Infinix, telefon ini mampu mencapai skor AnTuTu melebihi 2,224,634, dengan peningkatan sekitar 26.45% berbanding GT 30 Pro.

Selain itu, peranti ini turut menyokong Native 144FPS untuk beberapa permainan e-sukan utama seperti Mobile Legends: Bang Bang, Free Fire dan Call of Duty: Mobile.

Bagi membantu prestasi kekal konsisten, Infinix GT 50 Pro boleh digunakan bersama GT MagCharge Cooler 2.0. Aksesori ini menyokong sistem wireless bypass charging, di mana kuasa disalurkan terus kepada cip berbanding bateri untuk membantu mengurangkan haba ketika penggunaan berat.

Hadir Dengan GT Trigger Untuk Kawalan Tambahan

Untuk pengalaman bermain yang lebih responsif, telefon ini dilengkapi dengan Open-Cut Pressure-Sense GT Trigger, iaitu butang trigger fizikal dengan sokongan tekanan ringan, tekanan kuat dan gerakan slide.

Ciri ini boleh digunakan untuk menetapkan kawalan dalam permainan, seperti menembak, menukar senjata atau melakukan aksi tertentu dengan lebih pantas. Setiap trigger turut menyokong sehingga empat titik mapping, 10 tahap tekanan dan latensi bawah 20ms.

Namun, fungsi GT Trigger ini bukan hanya terhad kepada gaming. Ia juga boleh digunakan sebagai shortcut untuk mengambil gambar, merakam skrin, membuka aplikasi, mengawal video dan mengakses pembantu AI Folax.

Kamera 50MP Dengan OIS, Bateri 6,500mAh Dan Dolby Atmos

Walaupun lebih memfokuskan kepada gaming, Infinix GT 50 Pro masih dilengkapi sistem kamera yang sesuai untuk kegunaan harian. Ia hadir dengan kamera utama 50MP yang menyokong OIS dan EIS, kamera ultra lebar 8MP, serta kamera hadapan 13MP.

Infinix turut menyertakan ciri AI RAW, AI Studio dan Live Photo bagi membantu hasil gambar kelihatan lebih kemas tanpa perlu banyak suntingan manual.

Untuk bateri pula, peranti ini hadir dengan kapasiti 6,500mAh, disokong pengecasan 45W berwayar, 30W tanpa wayar dan pengecasan berbalik berwayar sehingga 10W. Telefon ini juga dilengkapi sokongan audio Dolby Atmos dengan beberapa mod audio seperti Smart, Movie, Gaming dan Music.

Harga Dan Ketersediaan Infinix GT 50 Pro Di Malaysia

Infinix GT 50 Pro sudah mula dijual di Malaysia bermula 5 Mei 2026 menerusi Infinix Official Stores di Lazada, Shopee dan TikTok Shop, serta pengedar sah Infinix di seluruh negara.

Peranti ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna, iaitu Black Abyss, Red Blaze dan Silver Glacier.

Berikut adalah harga promosi pelancaran:

  • Infinix GT 50 Pro (12GB + 256GB)RM1,699 (Harga asal: RM1,899)
  • Infinix GT 50 Pro (12GB + 512GB)RM1,999 (Harga asal: RM2,199)

Promosi pelancaran dengan diskaun RM200 ditawarkan sehingga 10 Mei 2026, 11:59 malam, sementara stok masih ada.

Selain telefon, Infinix turut memperkenalkan beberapa aksesori dalam ekosistem GT, termasuk GTBUDS 5 dan GTWATCH 5 Pro. GTBUDS 5 hadir dengan sokongan Dolby Atmos, latency bawah 50ms dan 50dB hybrid active noise cancellation, manakala GTWATCH 5 Pro boleh berfungsi sebagai paparan kedua untuk notifikasi.

Kedua-dua aksesori ini turut menerima diskaun 10% apabila dibeli bersama Infinix GT 50 Pro.


Nak dapatkan berita, maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp