April 29, 2026

REDMI Pad 2 9.7 Series Kini Di Malaysia Dengan Skrin 2K Dan Bateri 7600mAh, Harga Bermula RM569

REDMI Pad 2 9.7

Xiaomi memperkenalkan barisan tablet terbaharunya di Malaysia menerusi REDMI Pad 2 9.7 Series, yang hadir dalam dua pilihan iaitu REDMI Pad 2 9.7 dan REDMI Pad 2 9.7 4G.

Sebagai versi lebih kompak dengan badan setebal 7.4mm, tablet ini ditawarkan untuk pengguna yang mahukan peranti yang mudah dibawa, tetapi juga sesuai untuk hiburan harian.

Berbanding generasi sebelumnya, REDMI Pad 2 9.7 Series hadir dengan beberapa penambahbaikan termasuk paparan lebih besar, bateri berkapasiti tinggi, prestasi lebih baik serta rekaan yang lebih nipis.

Paparan 9.7 Inci Dengan Resolusi 2K Dan Kadar Segar Semula 120Hz

REDMI Pad 2 9.7 Series dilengkapi skrin bersaiz 9.7 inci dengan resolusi 2K yang turut menyokong paparan warna yang lebih luas bagi memberikan visual yang lebih jelas dan terang.

Tablet ini juga menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz, menjadikan pengalaman menatal kandungan, bertukar aplikasi dan melayari antara muka terasa lebih lancar.

Untuk penggunaan lebih lama, REDMI Pad 2 9.7 Series hadir dengan tiga pensijilan TÜV Rheinland untuk penjagaan mata. Selain itu, skrin tablet ini boleh mencapai kecerahan sehingga 600 nits menerusi Outdoor Mode.

Bateri 7600mAh Dan Cip Snapdragon 6s 4G Gen 2

Bagi menyokong penggunaan harian, REDMI Pad 2 9.7 Series dibekalkan bateri 7600mAh yang dikatakan mampu bertahan sehingga 1.7 hari, bergantung kepada corak penggunaan pengguna.

Tablet ini dikuasakan oleh Snapdragon 6s 4G Gen 2 Mobile Platform. Cip 6nm dengan CPU lapan teras ini dikatakan menawarkan peningkatan prestasi sehingga 34%, dengan skor AnTuTu melebihi 400,000.

Dengan kelajuan clock sehingga 2.9GHz serta penambahbaikan dari segi pelesapan haba, ia disasarkan untuk penggunaan hiburan yang lebih konsisten, termasuk sesi tontonan atau penggunaan aplikasi dalam tempoh lebih lama.

Harga REDMI Pad 2 9.7 Series Di Malaysia

REDMI Pad 2 9.7 Series tersedia dalam dua warna iaitu Graphite Gray and Silver.

Berikut ialah harga rasmi REDMI Pad 2 9.7 Series di Malaysia:

REDMI Pad 2 9.7”

  • 4GB + 64GB — RM569
  • 4GB + 128GB — RM599

REDMI Pad 2 9.7” 4G

  • 4GB + 64GB — RM649
  • 4GB + 128GB — RM699

REDMI Pad 2 9.7 Series kini tersedia di Malaysia menerusi semua Xiaomi Store seluruh negara, laman mi.com, serta kedai rasmi Xiaomi di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Setiap pembelian turut disertakan dengan REDMI Pad 2 9.7” Cover secara percuma, sementara stok masih tersedia.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di platform media sosial rasmi kami! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads