Siri Honor 600 Kini Di Malaysia Dengan Snapdragon 7 Gen 4, Kamera 200MP dan Harga Bermula RM2,599
Honor terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen flagship mampu milik menerusi pelancaran Siri Honor 600 di Malaysia. Diperkenalkan dalam dua varian iaitu versi Pro dan standard, siri ini membawa peningkatan besar dari segi prestasi, kamera serta integrasi AI.
Malaysia Jadi Lokasi Debut Global Siri Honor 600

Pelancaran ini turut mencatat satu pencapaian penting apabila Malaysia menjadi negara pertama untuk debut global Siri Honor 600.
Antara tarikan utama siri ini ialah sistem kameranya. Siri Honor 600 dilengkapi kamera utama 200MP dengan sensor 1/1.4 inci yang lebih besar dalam kelasnya untuk hasil gambar lebih jelas dan terperinci. Bagi model Pro, ia hadir dengan lensa telefoto 50MP yang menyokong zum sehingga 120x serta penstabilan imej CIPA 6.5, manakala model standard pula menawarkan keupayaan zum sehingga 30x.

Honor turut mengetengahkan teknologi AI Image to Video 2.0 yang membolehkan pengguna menukar imej kepada video pendek dengan lebih mudah. Pengguna boleh menggabungkan sehingga tiga imej dan menghasilkan video 3 hingga 5 saat hanya dengan arahan ringkas, selain menggunakan pelbagai templat kreatif tanpa memerlukan aplikasi tambahan.
Prestasi Flagship, Bateri Besar dan Ketahanan Lebih Tinggi

Dari segi prestasi, Honor 600 Pro dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite, menjadikannya model pertama dalam Siri N yang menggunakan cip bertaraf flagship. Ia menawarkan peningkatan ketara untuk aplikasi berat, multitugas dan permainan. Model Honor 600 pula menggunakan Snapdragon 7 Gen 4 yang masih memberikan prestasi mantap untuk kegunaan harian.
Siri ini turut menampilkan paparan 6.57 inci dengan kadar segar semula 120Hz serta kecerahan puncak sehingga 8,000 nits. Pada masa yang sama, kedua-dua model dilengkapi bateri silikon karbon 7,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 80W, sementara versi Pro turut menyokong pengecasan tanpa wayar 50W.

Dari sudut ketahanan pula, Siri Honor 600 hadir dengan penarafan IP69K selain IP68 dan IP69, bersama pensijilan SGS 5 bintang untuk ketahanan jatuh dan remuk. Ini menjadikannya lebih meyakinkan untuk kegunaan harian dalam pelbagai situasi.
Harga dan Ketersediaan Siri Honor 600 di Malaysia


Di Malaysia, Siri Honor 600 ditawarkan seperti berikut:
- Honor 600 (12GB+512GB) – RM2,599
- Honor 600 Pro (12GB+256GB) – RM3,099
- Honor 600 Pro (12GB+512GB) – RM3,299
Pratempahan kini dibuka sehingga 29 April 2026 dengan rebat segera RM200 serta hadiah percuma bergantung kepada model yang dipilih.
Bagi Honor 600 Pro, pembeli akan menerima Fujifilm Instax Mini LiPlay+ percuma, perlindungan retak hadapan dan belakang selama 365 hari, waranti lanjutan satu tahun serta waranti perlindungan kerosakan cecair selama satu tahun, dengan jumlah nilai keseluruhan sehingga RM1,935.
Untuk Honor 600 pula, pratempahan didatangkan dengan Honor Choice Watch 2 Epic percuma, bersama perlindungan retak hadapan dan belakang selama 365 hari, waranti lanjutan satu tahun serta waranti perlindungan kerosakan cecair selama satu tahun, dengan nilai keseluruhan sehingga RM1,496.
Siri ini akan mula tersedia di pasaran bermula 30 April 2026 menerusi Honor Experience Store, kedai dalam talian rasmi, Shopee, Lazada, TikTok Shop dan pengedar sah terpilih.
Nak dapatkan berita, maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
