Microsoft Turunkan Harga PC Game Pass Di Malaysia, Kini Berharga RM20 Sebulan
Microsoft menurunkan harga langganan perkhidmatan permainan mereka, termasuk PC Game Pass di
Malaysia. Perubahan ini menyaksikan harga langganan bulanan PC Game Pass turun daripada RM25 kepada RM20 sebulan, menjadikannya lebih murah berbanding sebelum ini.
PC Game Pass Kini Lebih Murah Di Malaysia

Bagi pengguna di Malaysia, penurunan ini memberi sedikit kelegaan kepada pemain PC yang melanggan Game Pass untuk akses kepada
pelbagai judul permainan. Selain harga tempatan yang turun kepada RM20 sebulan, Microsoft turut mengumumkan perubahan harga di pasaran lain termasuk Amerika Syarikat, dengan Xbox Game Pass Ultimate turun daripada USD29.99 kepada USD22.99 sebulan, manakala PC Game Pass pula turun daripada USD16.49 kepada USD13.99 sebulan.
Microsoft juga mengesahkan bahawa bermula tahun ini, judul Call of Duty baharu tidak lagi akan dimasukkan ke dalam Game Pass Ultimate atau PC Game Pass pada hari pelancaran. Sebaliknya, permainan Call of Duty baharu hanya akan ditambah ke dalam perkhidmatan ini pada musim cuti penghujung tahun berikutnya, iaitu kira-kira setahun kemudian. Namun begitu, judul Call of Duty sedia ada yang sudah berada dalam pustaka Game Pass akan terus kekal tersedia buat masa ini.
Langkah Baharu Untuk Jadikan Game Pass Lebih Menarik

Perubahan ini menunjukkan Microsoft sedang menyesuaikan semula strategi Game Pass, selepas sebelum ini penambahan Call of Duty menjadi antara faktor kenaikan harga langganan.
Dengan harga yang kini lebih rendah, PC Game Pass mungkin kembali menjadi pilihan yang lebih menarik untuk pemain yang mahukan akses kepada pustaka permainan yang besar tanpa perlu berbelanja terlalu banyak setiap bulan. Pada masa sama, langkah untuk tidak lagi memasukkan judul Call of Duty baharu pada hari pertama juga menunjukkan Microsoft cuba mencari keseimbangan antara nilai langganan dan strategi komersial mereka sendiri.
Nak dapatkan berita, maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
