April 21, 2026

Ulasan REDMI A7 Pro: Nampak Biasa Pada Luaran, Tetapi Masih Ada Tarikan Tersendiri

redmi-a7-pro-review

Dalam kategori telefon bajet, bukan mudah untuk menjumpai model yang benar-benar terasa lengkap. Kebiasaannya akan ada satu atau dua perkara yang nampak menarik pada spesifikasi, tetapi apabila digunakan, cepat juga nampak kekurangannya. REDMI A7 Pro pula hadir dengan pendekatan yang agak jelas. Ianya menumpukan kepada pengalaman harian yang stabil, bateri tahan lama, dan beberapa ciri tambahan yang biasanya sukar ditemui pada harga serendah ini.

Dilancarkan di Malaysia pada April 2026, REDMI A7 Pro merupakan model “Pro” pertama dalam siri A. Itu sendiri sudah memberi gambaran bahawa Xiaomi mahu meletakkan model ini sedikit berbeza daripada siri A sebelum ini. Dengan skrin besar 120Hz, bateri 6000mAh dan HyperOS 3, telefon ini kelihatan seperti sebuah pakej bajet yang cuba menawarkan lebih daripada sekadar fungsi asas.

Persoalannya, adakah ia sekadar nampak menarik atas kertas, atau memang benar-benar berbaloi untuk dibeli?

Harga dan Pilihan Yang Ditawarkan

Di Malaysia, REDMI A7 Pro hadir dalam dua varian:

  • 4GB + 64GB – RM399
  • 4GB + 128GB – RM449

Pilihan warna yang ditawarkan pula terdiri daripada Sunset Orange, Black dan Mist Blue.

Rekaan Besar Tetapi Tidak Terasa Menyusahkan

Redmi A7 Pro bukannya untuk mereka yang mencari sebuah peranti dengan saiz yang kompak. Sejak awal lagi, model ini jelas dibina untuk pengguna yang gemarkan skrin besar serta bateri berkapasiti tinggi. Dengan paparan 6.9 inci dan berat sekitar 208 gram, saiznya memang terasa agak besar sebaik sahaja dipegang.

Tetapi menariknya, ia tidak terasa terlalu menyusahkan. Bahagian sisi yang dibuat sedikit melengkung membantu cengkaman jadi lebih selesa, manakala rekaan belakangnya pula nampak ringkas dan bersih. Modul kamera belakang yang memanjang ke bawah memberi sedikit identiti tersendiri, walaupun secara keseluruhan rekaannya masih berpegang pada gaya minimal.

Binaan yang digunakan juga tidak terasa murah. Memang jelas ini bukan telefon premium, tetapi ia masih memberi rasa yang kemas dan kukuh untuk kelas harga ini. Xiaomi turut menyertakan sarung pelindung dalam kotak, sesuatu yang kecil tetapi tetap dihargai kerana tidak semua telefon bajet sekarang masih menawarkan perkara itu.

Skrin Besar Beri Kelebihan Pada Penggunaan Harian

Salah satu kekuatan REDMI A7 Pro yang paling mudah dirasai ialah paparan skrinnya. Untuk telefon dalam segmen bajet, skrin IPS LCD 6.9 inci dengan kadar segar semula 120Hz sememangnya memberi kelebihan yang nyata.

Apabila digunakan untuk menatal TikTok, Facebook atau Instagram, pergerakan pada skrin terasa licin dan menyenangkan. Pengalaman ini membuatkan telefon terasa lebih responsif walaupun spesifikasi dalamannya bukanlah yang paling berkuasa. Kadar segar semula yang tinggi ini sedikit sebanyak membantu dari segi rasa penggunaan yang lancar.

Saiz skrin yang besar juga menjadikan telefon ini selesa digunakan untuk menonton video, membaca artikel, atau sekadar membalas mesej dengan papan kekunci yang lebih luas. Untuk pengguna yang kerap menggunakan telefon bagi hiburan ringan, ini antara perkara yang pasti dihargai.

Dari segi kecerahan pula, paparan ini masih cukup baik untuk digunakan di luar rumah dengan kecerahan optimum sehingga 800nits. Ia tidak sempurna dalam semua keadaan, tetapi masih memadai untuk kegunaan harian. 

Prestasi Cukup Untuk Aplikasi Penting

REDMI A7 Pro menggunakan cip Unisoc T7250, dipadankan dengan 4GB RAM LPDDR4X dan storan UFS 2.2. Kalau melihat kombinasi ini, jelas telefon ini bukan dibina untuk prestasi berat. Namun untuk penggunaan yang sepadan dengan harganya, ia sebenarnya masih memberikan pengalaman yang memuaskan.

Untuk aplikasi harian seperti WhatsApp, Chrome, TikTok, YouTube, dan Facebook, telefon ini boleh menjalankannya dengan baik. Pergerakan dalam sistem serta pembukaan aplikasi terasa sedikit lambat, tetapi pengalaman keseluruhan masih terasa selesa selagi penggunaan tidak terlalu berat.

Multitasking asas juga masih boleh dilakukan, walaupun ada situasi di mana aplikasi akan dimuat semula apabila terlalu banyak aplikasi dibuka serentak. Itu perkara yang agak dijangka untuk telefon dengan RAM sebegini.

Bagi permainan, REDMI A7 Pro lebih sesuai untuk game ringan dan kasual. Untuk permainan tanpa pergerakan yang banyak, ia masih boleh dimainkan dengan baik. Namun, untuk permainan yang agak berat dengan banyak pergerakan, ianya tidak sesuai untuk telefon ini.

Kekuatan Sebenar Terletak Pada Bateri

Kalau ada satu sebab utama yang membuatkan REDMI A7 Pro mudah menonjol, jawapannya ialah bateri. Kapasiti 6000mAh bukan sekadar nampak besar di atas kertas, tetapi memang memberi kesan yang jelas dalam penggunaan harian.

Telefon ini memang dibina untuk mereka yang tidak suka mengecas berkali-kali dalam sehari. Dengan penggunaan sederhana seperti menonton video, melayari media sosial dan bermain game ringan, ia boleh bertahan dengan sangat baik sehingga ke penghujung hari tanpa sebarang keresahan. Untuk penggunaan yang lebih ringan, tempoh penggunaan juga boleh mencapai dua hari.

Namun, dari segi pengecasan pula, REDMI A7 Pro hanya menyokong 15W, dan di sinilah satu lagi kompromi yang perlu diterima. Dengan bateri sebesar ini, proses pengecasan mengambil masa yang agak lama, sekitar 3 jam 30 minit. Jadi, ianya lebih sesuai untuk dicas ketika anda tidak tergesa-gesa untuk menggunakannya.

Walaupun begitu, untuk telefon bawah RM500, ianya masih boleh diterima, terutama apabila ketahanan baterinya sendiri sudah cukup baik untuk menutup kekurangan tersebut.

Kamera Yang Sesuai Untuk Keperluan Asas

Bahagian kamera pula tidak menjanjikan terlalu banyak. REDMI A7 Pro hadir dengan kamera utama 13MP dan kamera hadapan 8MP, iaitu konfigurasi yang sememangnya lebih tertumpu kepada penggunaan asas. Kamera hadapan pula memadai untuk swafoto biasa dan panggilan video. 

Dalam keadaan pencahayaan yang baik, hasil gambar daripada kamera utama boleh dianggap memuaskan. Imej yang diambil kelihatan cukup jelas, walaupun ada sedikit masa pemprosesan diperlukan selepas butang ditekan. Untuk perkongsian di media sosial, simpanan peribadi, atau kegunaan harian seperti mengambil gambar dokumen, resit dan makanan, kualitinya masih memadai. Warna yang dihasilkan juga kelihatan baik dan sesuai dengan kelas telefon ini.

Terdapat juga beberapa ciri tambahan seperti Night Mode, Document Mode dan AI Sky, yang sedikit sebanyak menambah fleksibiliti kepada pengguna. Cuma seperti dijangka, had sebenar kamera ini akan lebih mudah kelihatan apabila digunakan dalam keadaan cahaya malap. Di situ, butiran mulai berkurang dan “noise” juga menjadi lebih jelas.

HyperOS 3 Bantu Telefon Ini Terasa Lebih Moden

Satu perkara yang membantu REDMI A7 Pro terasa lebih menarik berbanding telefon bajet biasa ialah pengalaman perisiannya. Kehadiran HyperOS 3 menjadikan keseluruhan antaramuka terasa lebih segar, teratur dan moden.

Sepanjang penggunaan, sistem terasa stabil dan pergerakan dalam antaramuka juga nampak kemas dan interaktif. Kadang-kadang dalam telefon bajet, perkara seperti ini yang sebenarnya lebih memberi kesan kepada kepuasan pengguna.

Beberapa ciri tambahan seperti Google Gemini, Circle to Search, dan fungsi ekosistem Xiaomi turut menjadikan telefon ini nampak lebih lengkap. Bukan semua pengguna akan menggunakan setiap ciri ini setiap hari, tetapi kehadirannya memberi nilai tambahan buat pengguna.

Selain itu, ciri seperti NFC, pengimbas cap jari dan volume boost sehingga 200% juga menjadi antara perkara yang membuatkan REDMI A7 Pro lebih mudah dihargai untuk kegunaan harian.

Adakah REDMI A7 Pro Berbaloi?

Perlu diingat, REDMI A7 Pro merupakan sebuah telefon bajet. Ia tidak cuba menjadi telefon gaming bajet terbaik, tidak juga cuba menonjolkan kamera paling hebat dalam kelasnya. Sebaliknya, ia memfokuskan kepada perkara yang paling penting bagi ramai pengguna iaitu bateri tahan lama, skrin besar yang selesa digunakan, dan pengalaman harian yang cukup lancar.

Sudah tentu, ada beberapa kekurangan yang perlu diterima. Skrin masih HD+, pengecasan agak perlahan, dan prestasi pula terhad untuk tugasan berat. Tetapi jika jangkaan anda memang sejajar dengan kedudukan telefon ini dalam pasaran, semua kelemahan itu masih boleh difahami.

Secara keseluruhan, REDMI A7 Pro sangat sesuai untuk sesiapa sahaja yang lebih mengutamakan praktikaliti berbanding prestasi tinggi.

Kalau yang dicari ialah telefon mampu milik untuk panggilan, mesej, media sosial, video dan penggunaan harian tanpa perlu risaukan bateri, REDMI A7 Pro merupakan antara pilihan yang patut dipertimbangkan. Untuk telefon bawah RM450, ia adalah salah satu pilihan bajet yang paling berbaloi setakat ini.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp