Kota Baca 2026 Meriahkan Dataran Merdeka Dengan Pelbagai Aktiviti Literasi Sempena Hari Buku Sedunia
KOTA BACA 2026 bakal berlangsung dari 23 hingga 26 April 2026 sebagai acara literasi kebangsaan sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia. Dianjurkan secara hibrid, acara ini akan berlangsung dalam talian serta secara fizikal di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, dengan matlamat menggerakkan rakyat Malaysia dalam gelombang membaca berskala besar.
Berbanding acara buku biasa, KOTA BACA 2026 dibawakan dalam skala yang lebih luas dengan gabungan elemen literasi, pendidikan, budaya, komuniti dan gaya hidup. Penganjuran ini dilihat bukan sekadar untuk meraikan buku dan pembacaan, tetapi juga untuk menjadikan budaya membaca lebih dekat dengan masyarakat menerusi pendekatan yang lebih terbuka, interaktif dan inklusif.
Dengan semangat “Di Kota Ini, Semua Membaca”, acara ini menghimpunkan pelbagai aktiviti untuk pengunjung daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar, keluarga, pencinta buku, komuniti kreatif serta orang ramai yang ingin mendekati dunia pembacaan dengan cara yang lebih santai.
Bermula Dalam Talian Sebelum Diteruskan Secara Fizikal
KOTA BACA 2026 akan dimulakan pada 23 April 2026 secara dalam talian dan menerusi media sosial. Antara aktiviti yang bakal berlangsung termasuk jualan buku dalam talian melalui Book Capital dan TikTok Shop, kempen kandungan FYP menggunakan tanda pagar seperti #KotaBaca2026, #MalaysiaMembaca dan #BookTokMalaysia, serta sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2026.
Hari pertama itu juga akan melibatkan pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan dan Papan Pemuka Malaysia Membaca oleh Menteri Pendidikan di Perpustakaan Kuala Lumpur. Selain itu, turut djadualkan adalah siaran video pemimpin membaca bersama keluarga serta penyertaan global #MalaysiaMembaca dari luar negara seperti Dubai, London dan Jepun.
Selepas itu, acara akan diteruskan secara fizikal di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dari 24 hingga 26 April 2026, dengan pelbagai pengisian utama dan aktiviti sampingan yang disusun sepanjang tiga hari.
Pelbagai Aktiviti Utama Akan Memeriahkan Dataran Merdeka
Sepanjang pelaksanaan fizikal, pengunjung boleh menjangkakan beberapa komponen utama yang menjadi teras KOTA BACA 2026. Antaranya termasuk:
- Pentas Utama Kota Baca 2026
- Jualan buku
- Reruai kementerian
- Larian Karakter Buku 5KM
Selain itu, beberapa program khas turut dirancang bagi menjadikan acara ini lebih interaktif. Antaranya ialah Himpunan Tukar Buku Terbesar di ASEAN, BUKABUKU oleh Keretapi Sarong, Audio Siar Buku, Mr. Baca Malaysia, Kelah Buku, Temu & Mesra Penulis, Pameran Seni Buku, Stesen Derma Buku, Papan Petik Kata, Gemuruh Dalam Puisi, serta Majlis Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia 2025/2026.
Turut diadakan ialah program berkaitan bahasa asing, pameran dan jualan buku nadir atau langka, reruai kafe kopi dan buku, serta pelbagai aktiviti yang menyentuh minat pembaca moden termasuk kandungan digital menerusi TikTok @ Kota Baca.
Program Disusun Untuk Pelbagai Segmen Pengunjung
Salah satu kekuatan utama KOTA BACA 2026 ialah kepelbagaian pengisiannya. Acara ini tidak hanya tertumpu kepada jualan buku atau sesi pembacaan, sebaliknya cuba merangkul pelbagai segmen pengunjung melalui program yang lebih pelbagai.
Antara program utama yang diketengahkan termasuk pelancaran rasmi KOTA BACA 2026 di Pentas Utama, Malam Serumpun Irama, Tari dan Nyanyian, serta persembahan teater oleh Sekolah Seni Malaysia yang mengetengahkan nilai pembacaan melalui elemen seni persembahan.
Selain itu, acara seperti Kelah Buku & Acara Tukar Buku, Temu Mesra Sasterawan Negara: Budaya Membaca, Sembang Buku, Stars & Stories: Reading Aloud with a Celebrity, serta Program Memperkasakan Jawi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka menjadikan acara ini lebih menyeluruh dari sudut kandungan.
KOTA BACA 2026 juga menekankan elemen inklusif melalui penyediaan Zon OKU & Akses Buku, sekali gus memastikan bahan bacaan dan pengalaman literasi dapat diakses oleh lebih ramai lapisan masyarakat.
Bawa Aspirasi Jangka Panjang Untuk Budaya Membaca
Di sebalik pelbagai program yang dirancang, KOTA BACA 2026 turut membawa sasaran jangka panjang yang lebih besar, iaitu menjadikan 23 April sebagai Hari Buku Nasional setiap tahun di seluruh negara.
Aspirasi ini memperlihatkan usaha untuk meletakkan pembacaan sebagai sebahagian daripada identiti masyarakat Malaysia, bukan hanya dalam konteks pendidikan formal, tetapi juga dalam kehidupan seharian, ruang awam dan budaya komuniti.
Secara keseluruhan, KOTA BACA 2026 dilihat sebagai sebuah acara literasi berskala besar yang cuba menggabungkan buku, budaya, pendidikan, teknologi dan komuniti dalam satu platform. Dengan pelaksanaan secara hibrid, pengisian yang pelbagai dan pendekatan yang lebih mesra orang ramai, acara ini berpotensi menjadi antara inisiatif literasi paling menonjol di Malaysia tahun ini.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi serta ikuti media sosial rasmi mereka di Facebook (KOTA BACA) dan Instagram (@kotabaca.my).
Nak dapatkan berita, maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
