May 31, 2026

The Music Run By AFFIN Kuala Lumpur 2026 Bakal Meriah Dengan Gabungan Larian 5KM Dan Festival Muzik

the-music-run-2026

The Music Run by AFFIN, Kuala Lumpur 2026 bakal berlangsung pada 18 April 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, membawakan gabungan acara larian 5km dan festival muzik dalam satu pengalaman yang lebih meriah. Edisi kali ini turut menampilkan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai antara nama utama, bersama barisan artis dan DJ lain yang akan menghidupkan suasana sepanjang acara.

Gabungan Larian 5KM Dan Festival Muzik

The Music Run terus mengekalkan identitinya sebagai acara yang menggabungkan kecergasan dan hiburan dalam satu platform. Laluan sepanjang 5km direka sebagai speaker-lined route, sekali gus menjadikan keseluruhan pengalaman lebih interaktif dan berbeza berbanding acara larian konvensional.

Berbeza daripada acara larian biasa, The Music Run menampilkan konsep yang lebih santai dan bertenaga dengan gabungan rekreasi, muzik serta elemen komuniti. Peserta bukan sahaja boleh berlari, malah turut boleh berjalan atau menari sepanjang laluan 5km yang dilengkapi sistem pembesar suara sebelum meneruskan pengalaman di festival muzik selepas larian.

Dato’ Sri Siti Nurhaliza Sertai Barisan Persembahan

Salah satu tarikan utama edisi kali ini ialah kehadiran Dato’ Sri Siti Nurhaliza, yang diumumkan sebagai antara figura besar yang akan memeriahkan acara. Kehadiran beliau menambah lagi kekuatan barisan persembahan yang merangkumi gabungan artis arus perdana, bakat baharu serta nama-nama yang aktif dalam dunia muzik dan hiburan semasa.

Selain Dato’ Sri Siti Nurhaliza, antara nama lain yang turut diumumkan termasuk:

  • Talitha.
  • Irene Catalina
  • Lil J
  • Jambu Jambu Asia
  • DJ Sam Withers
  • No Yeti
  • MC Jesse Lawrence
  • MC Bryan
  • DJ Jon
  • DJ Maffie
  • DJ Mike
  • DJ Reo
  • DJ Tio

Gabungan ini menunjukkan bahawa acara The Music Run 2026 ini bukan sekadar tertumpu kepada satu genre, sebaliknya cuba membawakan suasana yang lebih pelbagai dan sesuai untuk khalayak berbeza.

Jadual Acara Dan Waktu Persembahan

Menariknya, acara larian ini akan bermula pada sebelah petang, berbeza daripada kebanyakan acara larian lain yang lazimnya berlangsung pada waktu pagi atau malam, sebelum diteruskan hingga ke sebelah malam.

Jadual acara utama:

  • 3:00 petang – Pintu masuk dibuka
  • 4:15 petang – Laluan larian dibuka (flag-off pertama)
  • 7:30 malam – Laluan larian ditutup
  • 9:30 malam – Acara tamat

Sementara itu, persembahan langsung pula dijadualkan seperti berikut:

  • 3:15 petang – Talitha.
  • 3:45 petang – Jambu Jambu Asia
  • 5:00 petang – Irene Catalina
  • 5:45 petang – Lil J (Universal Music Takeover)
  • 6:30 petang – Dato’ Sri Siti Nurhaliza
  • 7:15 malam – No Yeti
  • 8:00 malam – Live The Beat Festival

Dengan susunan acara dan persembahan yang menarik seperti ini, suasana sepanjang hari dijangka kekal meriah hingga ke malam.

Pengambilan Run Pack Turut Dibuka Lebih Awal

Bagi peserta yang telah mendapatkan tiket, pengambilan Run Pack akan berlangsung pada:

Tarikh: 11 hingga 12 April 2026
Tempat: Menara AFFIN, TRX
Masa: 10:00 pagi hingga 8:00 malam

Peserta perlu membawa pengesahan tiket bersama kad pengenalan atau pasport asal semasa pengambilan. Sekiranya diwakilkan kepada rakan, dokumen yang diperlukan juga perlu disediakan mengikut syarat penganjur.

Bagi mereka yang tidak sempat mengambil run pack pada tarikh tersebut, pengambilan pada hari acara turut disediakan pada 18 April 2026 dari 12:00 tengah hari hingga 2:30 petang, namun tertakluk kepada caj tambahan sebanyak RM25 menerusi add-on yang disediakan.

Bagi yang berminat untuk menyertai, anda masih berpeluang untuk mendapatkan tiket akhir menerusi laman web rasmi The Music Run pada harga RM95 tidak termasuk SST dan caj transaksi portal tiket.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di platform media sosial rasmi kami! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp