April 18, 2026

Siri Realme 16 Pro Dilancar Pada Harga Bermula RM1,599 Dengan Skrin 144Hz, Kamera 200MP dan Bateri 7000mAh

realme-16-pro-series

Realme kini rasmi melancarkan Siri Realme 16 Pro di Malaysia, membawakan dua model baharu dalam segmen pertengahan premium iaitu Realme 16 Pro+ dan Realme 16 Pro. Antara tarikan utama siri ini ialah kamera 200MP LumaColor Portrait Master, reka bentuk baharu hasil kolaborasi bersama Naoto Fukasawa, serta fokus kepada pengalaman prestasi yang lebih menyeluruh untuk pengguna harian, pencipta kandungan dan golongan muda. 

Kamera 200MP Jadi Tarikan Utama

Salah satu perkara yang paling menonjol pada Realme 16 Pro Series ialah penggunaan kamera 200MP LumaColor Portrait Master pada kedua-dua model. Realme meletakkan siri ini sebagai peranti yang memberi penekanan besar terhadap fotografi potret, dengan gabungan perkakasan dan perisian yang direka untuk menghasilkan ton kulit lebih semula jadi, kedalaman yang lebih menyerlah dan hasil imej yang lebih konsisten dalam pelbagai situasi. 

Realme 16 Pro+

Bagi model Realme 16 Pro+, ia hadir dengan kelebihan menerusi kamera periskop telefoto 3.5x, selain menyokong beberapa pilihan jarak fokus menerusi FullFocal Portrait Lens Kit. Model ini juga menyokong zum dekat 7x, tangkapan pentas 10x, sehingga 120x Super Zoom, serta rakaman 4K FullFocal HDR Video. Dalam masa sama, Realme 16 Pro turut mengekalkan kamera 200MP yang sama bersama Golden Portrait Lens Kit untuk pengalaman potret yang lebih fleksibel pada pelbagai tahap zum. 

Kedua-dua model ini turut disertakan dengan beberapa ciri perisian seperti Vibe Master Mode, AI Edit Genie, AI LightMe dan AI StyleMe, memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna yang gemar menghasilkan kandungan dengan gaya berbeza.

Reka Bentuk Baharu Dengan Sentuhan Naoto Fukasawa

Dari segi reka bentuk, Realme 16 Pro Series tampil dengan falsafah Urban Wild Design yang dihasilkan bersama Naoto Fukasawa. Pendekatan ini menggabungkan elemen inspirasi alam seperti tekstur gandum dan batu kerikil dengan gaya bandar yang lebih moden.

Untuk Realme 16 Pro+, ia menggunakan bahan “bio-based organic silicone back cover”, selain hadir dengan pilihan warna seperti Master Gold dan Master Grey. Peranti ini juga menggunakan Metal Mirror Camera Deco dan Volcanic Camera Deco, sambil mengekalkan profil nipis sekitar 8.49mm. Bagi Realme 16 Pro pula, ia ditawarkan dalam pilihan warna Master Gold, Pebble Grey dan Orchid Purple dengan kemasan velvet matte yang memberi rasa sentuhan lebih lembut. 

Siri ini turut menyokong penarafan IP69 untuk perlindungan air dan habuk, termasuk keupayaan menahan semburan air bertekanan tinggi dan suhu sehingga 80 darjah Celsius. 

Prestasi Lebih Menyeluruh Dengan Bateri 7000mAh

Realme 16 Pro+

Dalam aspek prestasi, Realme 16 Pro+ dikuasakan cip Snapdragon 7 Gen 4, digandingkan dengan Rocket LPDDR5X RAM. Ia  menggunakan skrin 6.8 inci 1.5K 144Hz HyperGlow 4D Curve+ dengan kecerahan puncak sehingga 6500 nits. 

Sementara itu, Realme 16 Pro pula menggunakan cip MediaTek Dimensity 7300-Max 5G, bersama skrin 6.78 inci 1.5K 144Hz AMOLED rata. Kedua-dua model berkongsi bateri 7000mAh Titan, sistem penyejukan AirFlow VC Cooling System dan Realme UI 7.0 dengan Flux Engine untuk pengalaman penggunaan yang lebih responsif. 

Selain itu, siri ini turut hadir dengan beberapa ciri AI seperti AI Framing Master, AI Recording, AI Translation, AI Gaming Coach dan Google Gemini Live. 

Harga di Malaysia dan Tawaran Pra-Tempah

Di Malaysia, Realme 16 Pro Series ditawarkan pada harga seperti berikut:

  • Realme 16 Pro+ (12GB + 512GB) – RM2,299
  • Realme 16 Pro (12GB + 256GB) – RM1,599
  • Realme 16 Pro (12GB + 512GB) – RM1,899

Siri ini boleh mula dipra-tempah melalui Realme Brand Store, pengedar sah dan kedai rasmi realme di Shopee, Lazada serta TikTok sehingga 10 April 2026. Jualan pertama untuk kedua-dua model pula akan berlangsung dari 11 April hingga 10 Mei 2026.

Untuk pra-tempahan, pembeli akan menerima realme Smart Band, waranti tambahan selama setahun, waranti retak skrin selama setahun dan rebat RM100. Bagi pembelian semasa tempoh jualan pertama pula, rebat RM100 tersebut digantikan dengan tawaran pembelian aksesori pada harga istimewa, iaitu realme Buds Air 8 pada harga RM249 berbanding harga asal RM299.

Secara keseluruhan, Realme 16 Pro Series dilihat cuba menawarkan pakej yang lebih seimbang dalam kelas pertengahan premium, khususnya untuk pengguna yang mahukan kamera resolusi tinggi, reka bentuk yang lebih menonjol dan bateri besar dalam satu peranti. 


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di platform media sosial rasmi kami! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp