vivo V70 Dilancarkan di Malaysia: Kamera ZEISS, Bateri 6500mAh dan Harga Bermula RM1,999
vivo baru sahaja melancarkan telefon pintar terbaru mereka, vivo V70, yang hadir dengan reka bentuk premium, sistem kamera yang dipertingkatkan serta pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI). Telefon ini mula ditawarkan di Malaysia pada harga bermula RM1,999, menjadikannya antara model siri V yang membawa peningkatan ketara dari segi fotografi dan prestasi keseluruhan.
Spesifikasi vivo V70

Peranti ini dilengkapi Kamera Telefoto Super ZEISS 50MP dengan sokongan OIS yang mampu menghasilkan gambar lebih jelas walaupun dalam keadaan cahaya rendah. Reka bentuk periskop yang digunakan juga membolehkan tahap zum lebih tinggi tanpa menambah ketebalan peranti.
Selain kamera telefoto, sistem kamera belakangnya turut merangkumi kamera utama ZEISS 50MP dengan sensor bersaiz 1/1.56 inci serta kamera ultra lebar 8MP. Di bahagian hadapan pula terdapat kamera selfie 50MP dengan autofokus, membolehkan pengguna mengambil gambar selfie atau foto berkumpulan dengan lebih tajam. vivo turut memperkenalkan rakaman video 4K 60 fps bagi menghasilkan video yang lebih sinematik dan lancar.

Dari segi reka bentuk, vivo V70 menggunakan rangka aloi aluminium gred aeroangkasa dengan sudut peranti yang dibulatkan untuk penampilan lebih elegan. Di bahagian hadapan terdapat paparan OLED Ultra Jelas 6.59 inci dengan resolusi 1.5K dan kadar segar semula 120Hz, yang memberikan visual lebih lancar dan tajam. Paparannya turut disertakan dengan pengimbas cap jari ultrasonik 3D 2.0, yang membolehkan telefon dibuka dengan lebih pantas dan selamat walaupun tangan basah.
Panel belakang peranti menggunakan kaca AG berukir yang membantu mengurangkan kesan cap jari dan calar. vivo turut memperkenalkan warna baru Golden Hour dengan rekaan “Sunset Glow” yang menghasilkan pantulan cahaya unik pada permukaan belakang telefon. Selain itu, telefon ini juga ditawarkan dalam pilihan warna Alpine Gray dan Authentic Black. Dari segi ketahanan, vivo V70 mempunyai penarafan IP68 dan IP69 untuk perlindungan terhadap air dan habuk serta direka untuk menahan jatuhan sehingga sekitar 1.5 meter.

Peranti ini dikuasakan oleh OriginOS 6, sistem operasi terbaru daripada vivo yang menawarkan integrasi AI untuk meningkatkan produktiviti dan keselamatan pengguna. Antara ciri yang diperkenalkan termasuk AI Search untuk carian pintar menggunakan bahasa semula jadi, AI Creation untuk membantu tugasan penulisan, serta AI Captions yang menyediakan transkripsi dan terjemahan masa nyata semasa mesyuarat. Sistem ini juga menyokong perkongsian fail merentas peranti melalui fungsi seperti One-Tap Transfer dan vivo Office Kit.
Untuk prestasi, vivo V70 menggunakan memori LPDDR5X bersama storan UFS 4.1 bagi memastikan aplikasi dapat dilancarkan dengan lebih pantas. Ia juga dilengkapi ruang penyejukan wap besar bagi mengekalkan prestasi stabil ketika bermain permainan atau melakukan multitasking. Telefon ini turut dibekalkan dengan bateri BlueVolt 6500mAh yang menyokong pengecasan pantas 90W FlashCharge, membolehkan pengguna mendapatkan beberapa jam penggunaan hanya dengan pengecasan singkat.
Harga dan Ketersediaan di Malaysia

Di Malaysia, vivo V70 ditawarkan dalam tiga varian memori dengan harga seperti berikut:
- 8GB + 256GB — RM1,999
- 12GB + 256GB — RM2,199
- 12GB + 512GB — RM2,599

Untuk pelanggan yang membuat pratempah dari 24 Februari hingga 13 Mac 2026 di vivo Concept Stores, vivo Malaysia menawarkan beberapa ganjaran eksklusif. Antara hadiah yang ditawarkan termasuk wafer emas AU 999, vivo Buds, jaminan lanjutan vivo Care selama 365 hari, perlindungan skrin vivo Care selama 180 hari, serta pelan Perlindungan Cecair vivo Care selama 365 hari pada harga PWP RM17. Pelanggan juga berpeluang memenangi kotak hadiah edisi terhad V70 × PopMart.

Bermula 14 Mac hingga 30 Jun 2026, pelanggan boleh menikmati promosi ansuran dan kemudahan Buy Now, Pay Later. Untuk pelan ansuran, pelanggan boleh menikmati ansuran 0% sehingga 24 bulan bersama rebat segera RM100 apabila menggunakan bank rakan kongsi terpilih seperti Public Bank, OCBC Bank, UOB Bank dan Affin Bank. Tawaran rebat ini terhad kepada 300 pelanggan pertama dari setiap bank yang mengambil pelan ansuran sekurang-kurangnya 12 bulan.
Untuk pilihan Buy Now, Pay Later, SPayLater menawarkan pelan ansuran 0% selama 6 bulan, manakala PayLater by Grab menawarkan ansuran 0% selama 4 bulan. Caj bulanan sebanyak 1.5% akan dikenakan untuk pelan SPayLater selama 12 bulan atau lebih, serta untuk pelan PayLater by Grab bagi tempoh 8 atau 12 bulan.
Selain itu, dari 14 Mac hingga 30 Jun 2026, pelanggan yang menukar masuk telefon lama di vivo Concept Stores boleh menikmati rebat tambahan sehingga RM100 melalui Program Trade-In. Rebat tambahan RM100 ini terhad kepada 500 pelanggan pertama di seluruh negara.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
