February 12, 2026

Ulasan Xiaomi 15T Pro – Harga Mampu Milik, Prestasi Setaraf Flagship?

xiaomi-15t-pro

Xiaomi 15T Pro tiba di pasaran Malaysia sebagai model terkini dalam siri T, barisan peranti yang sejak awal dikenali dengan pendekatan pengalaman flagship pada harga lebih mampu milik. Dilancarkan pada September 2025 dengan harga bermula RM2,699, telefon ini diletakkan sebagai alternatif kepada peranti perdana yang jauh lebih mahal, namun membawa ciri-ciri terbaik seperti kamera Leica dan cip MediaTek Dimensity 9400+.

Dengan spesifikasi atas kertas yang kelihatan sangat kompetitif untuk kelas harganya, Xiaomi 15T Pro hadir dengan janji prestasi tinggi, keupayaan fotografi yang lebih serius, serta pengalaman penggunaan yang menyeluruh untuk kegunaan harian. Ulasan ini akan melihat sejauh mana telefon ini benar-benar memenuhi jangkaan tersebut, dan sama ada ia mampu mengekalkan identiti siri T sebagai pilihan bernilai tinggi dalam segmen flagship killer.

Harga dan Ketersediaan di Malaysia

Untuk pasaran Malaysia, Xiaomi 15T Pro ditawarkan dalam beberapa konfigurasi berikut:

  • 12GB RAM + 256GB: RM2,699
  • 12GB RAM + 512GB: RM2,999
  • 12GB RAM + 1TB: RM3,499

Pilihan warna termasuk Mocha Gold, Black, dan Grey.

Reka Bentuk dan Kualiti Binaan

Dari segi rekaan, Xiaomi 15T Pro menampilkan rekaan yang hampir sama dengan generasi sebelumnya, namun dengan pendekatan yang lebih matang. Modul kamera kini menggunakan bentuk segi empat yang lebih seragam, menjadikannya kelihatan lebih kemas dan profesional. Walaupun tidak terlalu menonjol, ia tetap memberikan identiti tersendiri apabila dilihat dari belakang.

Penggunaan bingkai aluminium aloi yang dipadankan dengan panel belakang gentian kaca memberikan rasa kukuh serta sentuhan premium apabila dipegang. Dengan berat sekitar 210 gram, peranti ini memang terasa sedikit besar, namun lengkungan pada bahagian sisi membantu mengekalkan keselesaan walaupun digunakan dalam tempoh yang lama.

Menariknya, walaupun hadir dengan kapasiti bateri yang lebih besar, Xiaomi berjaya mengekalkan profil yang lebih nipis berbanding generasi terdahulu. Perlindungan IP68 turut menambah keyakinan untuk penggunaan harian, khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Sebagai pelengkap, Xiaomi masih menyertakan sarung silikon hitam dalam kotak, satu ciri praktikal yang semakin jarang ditawarkan pada telefon pintar masa kini.

Paparan Skrin

Paparan merupakan antara aspek paling menyerlah pada Xiaomi 15T Pro. Skrin AMOLED bersaiz 6.83 inci dengan kadar segar semula 144Hz menawarkan pengalaman visual yang sangat memuaskan, sama ada untuk tugasan harian, hiburan mahupun sesi gaming.

Tahap kecerahan yang tinggi dengan kecerahan puncak 3,200 nits memastikan paparan kekal jelas walaupun digunakan di bawah cahaya matahari terik. Animasi kelihatan lancar, peralihan antara aplikasi terasa kemas, manakala pengalaman menatal media sosial pula selesa dan tidak memenatkan mata.

Sokongan Dolby Vision dan HDR10+ menambah kelebihan ketara ketika menonton kandungan penstriman. Warna yang dipaparkan kelihatan hidup dan realistik, disertai kontras yang seimbang. Untuk telefon dalam julat harga ini, kualiti paparan yang ditawarkan sememangnya berada pada tahap yang sukar ditandingi.

Prestasi dan Pengalaman Penggunaan

Dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 9400+, Xiaomi 15T Pro menawarkan tahap prestasi yang menghampiri kategori flagship. Sepanjang penggunaan, peranti ini terasa pantas dan responsif, tanpa sebarang lengah yang mengganggu.

Aplikasi dibuka dengan pantas, multitasking berjalan lancar, dan pertukaran antara aplikasi berat dapat dilakukan tanpa menjejaskan kelancaran sistem. Gabungan RAM LPDDR5X dan storan UFS 4.1 turut menyumbang kepada pengalaman yang konsisten dan stabil, walaupun digunakan secara intensif.

Dari segi gaming, Xiaomi 15T Pro memberikan prestasi yang sangat mengagumkan. Permainan berat seperti PUBG Mobile boleh dijalankan pada tetapan grafik tertinggi dengan kadar bingkai yang stabil. Suhu peranti kekal terkawal walaupun selepas sesi permainan yang panjang, hasil dari sistem penyejukan 3D IceLoop. Secara keseluruhan, telefon ini sesuai untuk pengguna yang gemar bermain permainan mudah alih tanpa perlu bimbang mengenai isu haba atau throttling.

Sistem Kamera

Sistem kamera Xiaomi 15T Pro menonjol dengan kamera utama 50MP Leica yang mampu menghasilkan foto setaraf flagship. Warna semula jadi dan perincian tajam membuatkan imej kelihatan profesional, manakala apertur besar dan OIS memastikan prestasi cahaya rendah tetap memuaskan. Mod Leica Authentic dan Vibrant memberi fleksibiliti untuk imej natural atau lebih tepu untuk media sosial.

Kamera telefoto 5x memberikan kelebihan besar bagi pengguna yang gemar memotret atau merakam subjek dari jarak jauh. Zum optikal 5x menghasilkan imej tajam, manakala 10–20x masih boleh digunakan untuk rujukan tanpa kehilangan terlalu banyak perincian. Kombinasi OIS dan pemprosesan pintar boleh menstabilkan imej pada jarak jauh.

Sebaliknya, kamera ultra-lebar 12MP menjadi titik kompromi sistem ini. Ia sesuai untuk landskap atau gambar berkumpulan, tetapi perincian lemah dalam cahaya rendah dan warna kadang-kadang tidak konsisten seperti kamera utama atau telefoto.

Kamera hadapan 32MP pula konsisten untuk swafoto dan panggilan video, dengan mod potret memberikan bokeh semula jadi. Rakaman video pula boleh dicapai sehingga 4K 120fps dengan EIS dan HDR10+, menghasilkan video siang dan malam yang jelas, serta audio spatial yang berkualiti.

Bateri dan Pengecasan

Xiaomi 15T Pro dilengkapi bateri 5,500mAh yang terbukti sangat tahan dalam penggunaan sebenar. Dalam penggunaan biasa, telefon ini mudah bertahan seharian penuh tanpa perlu dicas. Untuk penggunaan lebih ringan, ia boleh bertahan sehingga hari kedua.

Pengecasan pantas 90W membolehkan telefon dicas semula dalam masa yang singkat, sekitar 50% dalam masa 15 minit dan penuh dalam masa 45 minit. Walaupun tidak sepantas generasi terdahulu yang menyokong 120W, perbezaannya tidak begitu ketara dalam penggunaan harian. 

Perisian dan Sokongan

HyperOS menawarkan pengalaman yang kemas dan agak stabil. Sepanjang penggunaan, sistem terasa lancar dan tidak mengalami gangguan.

Apa yang menarik ialah komitmen sokongan jangka panjang, dengan lima kemaskini Android dan enam tahun kemaskini keselamatan. Ini memberikan nilai tambah besar untuk pengguna yang bercadang menggunakan telefon ini dalam tempoh yang lama.

Ciri unik seperti Xiaomi Offline Communication turut menambah nilai praktikal, terutama bagi pengguna yang aktif di kawasan luar atau lokasi dengan liputan rangkaian yang terhad.

Pandangan Keseluruhan

Bagi saya, Xiaomi 15T Pro menonjol sebagai antara telefon paling bernilai untuk tahun 2025. Ia menawarkan prestasi permainan cemerlang, kamera Leica yang berkualiti, paparan jelas dan hayat bateri yang sangat baik pada harga yang sukar ditandingi. Bagi pengguna yang mahukan pengalaman hampir setara telefon flagship tanpa membayar harga terlalu tinggi, 15T Pro adalah pilihan yang patut dipertimbangkan.

Dengan prestasi cemerlang dalam kebanyakan aspek, kamera Leica yang boleh diharap, skrin berkualiti tinggi serta bateri yang tahan lama, Xiaomi 15T Pro adalah pilihan yang sangat seimbang untuk pengguna yang mahukan telefon berprestasi tinggi tanpa perlu membayar harga flagship.

Untuk julat harga bawah RM3,000, Xiaomi 15T Pro antara telefon paling lengkap dan berbaloi untuk dimiliki buat ketika ini.

Alternatif Lain Xiaomi 15T Pro

Walaupun Xiaomi 15T Pro menawarkan pakej yang sangat lengkap, sesetengah pengguna mungkin memerlukan telefon yang lebih mampu milik. Untuk itu, beberapa model terkini daripada Xiaomi juga boleh dijadikan alternatif yang lebih mesra bajet.

1. POCO C85 (~RM439-RM499)

Sebagai salah satu model bajet terbaru dari POCO di Malaysia, POCO C85 menawarkan pakej asas yang sangat kompetitif untuk pengguna yang mahukan telefon harian tanpa membayar harga premium.

Ia dilancarkan pada harga rasmi RM439 untuk versi 6GB + 128GB dan RM499 untuk versi 8GB + 256GB. Ciri-ciri utama termasuk bateri 6,000 mAh yang tahan lama, skrin besar 6.9″ dengan kadar segar semula 120Hz yang lancar serta sistem kamera utama 50 MP yang memadai untuk foto dan gaming harian.

Dengan harga bajet dan ciri asas yang mantap, C85 sesuai untuk pengguna yang mahukan telefon yang boleh menangani tugasan asas, media sosial dan sambungan 5G tanpa perlu belanja besar.

2. Redmi 15 5G (~RM729)

Jika anda mahukan pengalaman 5G dalam bajet sederhana, Redmi 15 5G ialah model yang memberi nilai tinggi dengan harga pelancaran sekitar RM729 untuk varian 8GB + 256GB di Malaysia. 

Telefon ini menampilkan bateri 7,000 mAh yang boleh bertahan sehingga dua hari penggunaan ringan, skrin 6.9″ FHD+ dengan kadar segar semula 144Hz serta cip Snapdragon 6s Gen 3 yang sesuai untuk media sosial, video dan tugasan harian.

Kamera utama 50 MP turut menyokong rakaman harian dengan baik. Kombinasi prestasi, sambungan 5G dan bateri besar pada harga bawah RM800 menjadikan Redmi 15 5G satu pilihan menarik dalam kelas telefon mampu milik.

3. Redmi Note 15 5G (~RM849-RM949)

Sebagai model mid-range terbaru dari keluarga Redmi Note yang dilancarkan pada Januari 2026, Redmi Note 15 5G memberi pengalaman serba lengkap dengan harga bawah RM1,000.

Ia dijual pada harga RM849 untuk varian 6GB + 128GB dan RM949 untuk varian 8GB + 256GB di Malaysia semasa pelancarannya.  Peranti ini hadir dengan paparan AMOLED 6.77″ 120Hz yang cerah dan tajam, bateri 5,520 mAh dengan pengecasan pantas, serta kamera utama 108 MP yang memberi hasil gambar berkualiti untuk kegunaan harian dan media sosial.

Sokongan 5G memastikan sambungan internet generasi baharu, menjadikan Note 15 5G pilihan mid-range yang mantap jika anda inginkan telefon yang lebih seimbang daripada model bajet tetapi jauh lebih murah daripada flagship utama.

4. POCO M8 5G (~RM999–RM1,199)

Untuk yang mencari pengalaman mid-range dengan 5G tetapi masih dalam julat harga sederhana, POCO M8 5G menawarkan keseimbangan nilai yang baik. Model ini dilancarkan di Malaysia dengan harga sekitar RM999–RM1,199.

Telefon ini menampilkan paparan 6.77 inci Flow AMOLED 120Hz yang cerah dan lancar, serta bateri 5,520 mAh dengan pengecasan pantas 45W. Cip Snapdragon 6 Gen 3 menyokong prestasi lancar untuk tugasan harian, streaming dan media sosial, manakala kamera utama 50 MP dan kamera hadapan 20 MP sesuai untuk foto dan panggilan video.

POCO M8 5G ialah pilihan baik jika anda ingin telefon dengan 5G, skrin berkualiti dan prestasi seimbang tanpa keluarkan bajet yang  besar. 

5. POCO X7 5G (~RM1,199–RM1,399)

Bagi pengguna yang mahukan pengalaman mid-range lebih seimbang dengan prestasi stabil, POCO X7 5G ialah model yang sangat boleh dipertimbangkan. Semasa pelancarannya di Malaysia, harga asasnya sekitar RM1,199–RM1,1399 untuk varian 8GB/256GB atau 12GB/512GB.

Telefon ini dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 7300 Ultra, dipadankan dengan skrin AMOLED 6.67 inci 120Hz yang tajam dan bateri 5,110 mAh yang cukup untuk penggunaan seharian.

Kamera utama 50 MP dengan OIS membantu memberikan gambar yang lebih stabil dan jelas berbanding model mid-range biasa. Gabungan prestasi, paparan berkualiti dan sokongan 5G menjadikan POCO X7 5G satu pilihan menarik jika anda mahu telefon yang melangkaui kelas bajet biasa tanpa perlu harga flagship penuh. 


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp