Menu

Khairul Aming Hantar Surat Tuntutan Kepada Maxis Susulan Kebocoran Data, JPDP Turut Buka Siasatan

Alyaa 2 months ago

Isu kebocoran data peribadi melibatkan Khairul Aming kini bukan lagi sekadar pertikaian di media sosial. Kes itu kini telah memasuki fasa tindakan undang undang dan siasatan oleh pihak berkuasa.

Menerusi hantaran terbaharu di Threads, usahawan dan pencipta kandungan itu memaklumkan bahawa peguamnya telah menghantar surat tuntutan, atau letter of demand (LOD), kepada Maxis susulan kebocoran butiran akaun dan bil telefonnya. Menurutnya, kes tersebut kini akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak peguam sehingga selesai.

Selain menghantar surat tuntutan kepada Maxis, Khairul Aming turut memaklumkan bahawa beberapa laporan rasmi telah dibuat. Antaranya termasuk laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), laporan polis di IPD Dang Wangi bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap individu yang dipercayai terlibat, serta laporan mengenai kebocoran data kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

Beliau berkata, maklumat yang didedahkan bukan sekadar bil telefon, malah turut melibatkan butiran akaun telefon, sejarah pembayaran, langganan perkhidmatan serta nombor kad pengenalan. Menurutnya, pendedahan nombor kad pengenalan itu juga didakwa membolehkan maklumat MySara miliknya diakses.

Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) di bawah Kementerian Digital menerusi satu kenyataan media pada 22 Julai 2026 bahawa pihaknya memandang serius pendedahan tanpa kebenaran melibatkan butiran akaun dan bil telefon seorang pelanggan Maxis di media sosial.

Menurut kenyataan itu, JPDP sedang menjalankan siasatan di bawah Prinsip Prinsip Perlindungan Data Peribadi serta Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) yang berkaitan dengan pengumpulan atau pendedahan data peribadi secara menyalahi undang undang.

JPDP berkata tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil sekiranya siasatan mendapati wujud ketidakpatuhan terhadap Akta 709.

Pada masa sama, JPDP mengingatkan semua pengawal data supaya mematuhi tujuh Prinsip Perlindungan Data Peribadi, termasuk memastikan data pelanggan dilindungi daripada akses dan pendedahan tanpa kebenaran. Jabatan itu turut menggesa syarikat memperkukuh langkah keselamatan teknikal dan organisasi serta memastikan infrastruktur penyimpanan data dan sistem rangkaian sentiasa berada pada tahap keselamatan yang sewajarnya.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –