Pos Malaysia secara rasmi melancarkan Pos ArRahnu Gold-i, sebuah platform emas digital patuh Syariah yang membolehkan rakyat Malaysia membeli dan memiliki emas dengan pelaburan permulaan serendah RM10. Platform yang dibangunkan dengan kerjasama Go Capital Growth Sdn. Bhd. itu menyasarkan untuk menjadikan pelaburan emas lebih mudah diakses, khususnya kepada penyimpan kali pertama, golongan muda yang baru bekerja serta pengguna dalam kumpulan B40 dan M40.
Menurut Pos Malaysia, Pos ArRahnu Gold-i telah menerima pensijilan daripada Salihin Shariah Advisory, manakala emas yang ditawarkan diiktiraf oleh London Bullion Market Association (LBMA), SIRIM serta Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM). Setiap pembelian emas digital menerusi platform ini turut disokong oleh emas fizikal 999.9 (24 karat) yang disimpan di dalam peti simpanan berkeselamatan tinggi, membolehkan pengguna memiliki emas tanpa perlu menyimpan emas secara fizikal di rumah.

Menerusi Pos ArRahnu Gold-i, pengguna boleh membeli, menjual serta menambah simpanan emas berdasarkan harga pasaran semasa. Pos Malaysia turut mendakwa platform ini menawarkan antara kadar susut nilai yang paling rendah di pasaran, selain membolehkan pengguna mengeluarkan nilai pegangan mereka pada bila-bila masa. Bagi mereka yang ingin memiliki emas dalam bentuk fizikal, pegangan emas digital boleh ditebus kepada jongkong emas dengan pilihan berat bermula 0.5 gram hingga 100 gram. Turut ditawarkan ialah pilihan 1 Dinar dan 5 Dinar, dengan penghantaran ke seluruh Malaysia.
Untuk membuka akaun, pengguna mestilah warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas dan tidak diisytiharkan muflis. Pos Malaysia menyasarkan sehingga 70,000 pengguna akan menggunakan platform Pos ArRahnu Gold-i dalam tempoh tahun pertama selepas pelancarannya. Sempena pelancaran platform tersebut, Pos Malaysia turut memperkenalkan jongkong emas edisi khas “Pos World” seberat 1 gram, yang terhad kepada hanya 500 unit. Jongkong edisi khas itu boleh didapati di cawangan Pos ArRahnu yang mengambil bahagian di seluruh negara.
Pos ArRahnu Gold-i kini boleh diakses menerusi cawangan Pos ArRahnu terpilih serta platform digitalnya.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

Netflix Naikkan Harga Langganan di Malaysia, Kini RM19.90 hingga RM69.90 Sebulan
Harga Minyak 10–16 September 2026: RON97, RON95 dan Diesel Melonjak 25 Sen, Brent Cecah AS$97.31
Harga Minyak 3–9 September 2026: RON97, RON95 dan Diesel Turun 5 Sen, Had BUDI Dinaikkan Ke 300 Liter
Permohonan Sukarelawan Formula 1 di Sepang Dibuka dengan 500 Kekosongan untuk Diisi
Program AI Untuk Rakyat Bakal Perkasa 100,000 Belia dengan Akses Teknologi AI Percuma
Yobe Malaysia Lancar Konsep Baharu Yobe Crafted, Tawar Koleksi Eksklusif untuk Peminat ALPHA