Peminat sukan permotoran tanah air boleh menarik nafas lega apabila MotoGP disahkan akan terus kekal dalam kalendar perlumbaan di Malaysia. Perkara itu diumumkan selepas Kabinet meluluskan kontrak baharu bagi penganjuran Malaysian Grand Prix di Petronas Sepang International Circuit (SIC) untuk tempoh 2027 hingga 2031.
Kelulusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 April 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi tetap dalam kalendar MotoGP dunia. Untuk makluman, Malaysia mula menganjurkan perlumbaan MotoGP pada 1991 di Litar Shah Alam sebelum acara itu berpindah ke Litar Antarabangsa Sepang pada 1999.
Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata pembaharuan kontrak ini bukan sahaja memastikan Malaysia terus menjadi tuan rumah MotoGP, malah menjadi pemangkin untuk memperkasa industri sukan permotoran tempatan.
“Lanjutan kontrak ini bukan sekadar penganjuran acara sukan antarabangsa, tetapi sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan ekosistem sukan permotoran negara. Ia juga antara inisiatif menjana peluang ekonomi yang luas,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysian Grand Prix kini merupakan acara sukan antarabangsa yang paling lama dianjurkan secara berterusan di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP, Carmelo Ezpeleta, turut menyambut baik pembaharuan kontrak tersebut. Menurut beliau, Malaysia kekal sebagai pasaran penting bagi MotoGP, didorong oleh sokongan peminat yang kukuh serta impak ekonomi yang terus berkembang dari tahun ke tahun.
Prestasi kehadiran penonton turut membuktikan populariti perlumbaan itu dengan Edisi 2025 mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah Malaysian Grand Prix dengan hampir 191,000 penonton, meletakkannya sebagai antara acara sukan terbesar di Asia Tenggara. Momentum tersebut diteruskan menerusi Pelancaran Musim MotoGP 2026 di Kuala Lumpur yang berjaya menarik puluhan ribu peminat.
Malaysian MotoGP Grand Prix 2026 dijadualkan berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November 2026 di Petronas Sepang International Circuit dengan jualan tiket kini telah dibuka kepada orang ramai.
Sumber: MotoGP / Gambar utama: Sepang Circuit (Facebook)
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

Selangor Umum Cuti Peristiwa 1 September Sempena Kejayaan Juara Keseluruhan SUKMA 2026
5 Taman Pilihan di Kuala Lumpur Untuk Jogging dan Latihan Larian
ART KL 2026: Karya Seni Generasi Baharu Asia Tenggara Bakal Warnai APW Bangsar Oktober Ini
HONOR Bawa Robot Humanoid ke Malaysia, Bakal Sertai Malaysia Marathon dan Perarakan Hari Kebangsaan
MPL Malaysia Musim 18 Kini Bermula, 8 Pasukan Rebut Kejuaraan dan Slot ke Kejohanan Dunia M8
Munchy’s Sambut Ulang Tahun Ke-35 dengan Sumbangan Produk RM500,000 Sempena HKHM 2026