Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) akhirnya bakal beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan bahawa majlis perasmian LRT3 akan diadakan pada Ahad ini dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum operasi rasmi bermula pada Isnin depan.
Memetik laporan Berita Harian, pengumuman itu dibuat oleh Anthony Loke pada sidang media sempena Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bandar Tasik Selatan di Cheras semalam.
“Majlis perasmian (LRT3) akan dibuat Ahad ini dan operasi akan mula berkuat kuasa keesokan harinya,” kata Anthony Loke.
Perkhidmatan LRT3 sepatutnya memulakan operasi tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan ekoran beberapa isu berkaitan kestabilan sistem dan perisian yang dikenal pasti semasa fasa ujian dan pentauliahan.
LRT3 menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya dengan Johan Setia, Klang melalui laluan sepanjang 37.8 kilometer. Laluan ini memberi akses rel kepada kawasan berpenduduk padat seperti Petaling Jaya, Shah Alam, dan Klang, sekali gus memperkukuh rangkaian pengangkutan awam di koridor barat Lembah Klang.
Bagi penduduk di sekitar kawasan laluan LRT3, perkhidmatan baharu ini dijangka menjadi alternatif pengangkutan awam yang lebih selesa dan menjimatkan masa, terutama bagi mereka yang berulang-alik antara Shah Alam, Petaling Jaya, dan Klang setiap hari.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

Netflix Naikkan Harga Langganan di Malaysia, Kini RM19.90 hingga RM69.90 Sebulan
Harga Minyak 10–16 September 2026: RON97, RON95 dan Diesel Melonjak 25 Sen, Brent Cecah AS$97.31
BEST Express Malaysia Sokong Peniaga Tempatan dengan Penyelesaian Penghantaran Fleksibel
Jangan Terburu-Buru Beli Kereta, Semak 6 Perkara Ini Sebelum Membuat Keputusan
Harga Minyak 3–9 September 2026: RON97, RON95 dan Diesel Turun 5 Sen, Had BUDI Dinaikkan Ke 300 Liter
Permohonan Sukarelawan Formula 1 di Sepang Dibuka dengan 500 Kekosongan untuk Diisi