Kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan 1 September 2026 sebagai cuti peristiwa, susulan kejayaan kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sempena Majlis Penutup SUKMA Selangor 2026 selepas kontinjen tuan rumah mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang temasya yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos.
Berdasarkan kedudukan pingat, Selangor menamatkan saingan di tangga teratas dengan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 245 pingat. Pencapaian itu turut menyaksikan Selangor melepasi sasaran awal 80 pingat emas yang ditetapkan bagi temasya kali ini.

Wilayah Persekutuan berada di tempat kedua dengan 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa, manakala Terengganu menduduki tempat ketiga dengan 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa. Sarawak dan Pulau Pinang pula melengkapkan kelompok lima teratas dengan masing-masing meraih 41 dan 39 pingat emas.
Kejayaan kali ini cukup bermakna buat Selangor kerana ia merupakan kejuaraan keseluruhan kali ke-10 buat negeri tersebut sejak SUKMA mula dianjurkan pada 1986. Pencapaian itu sekali gus menjadikan Selangor sebagai negeri yang paling banyak menjuarai temasya berkenaan sepanjang 22 edisi yang telah berlangsung dalam tempoh 40 tahun.
Pengisytiharan Cuti Peristiwa Khas pada 1 September itu bukan sahaja dibuat bagi meraikan kejayaan kontinjen Selangor, malah sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan seluruh rakyat, sukarelawan, atlet, ibu bapa serta para petugas yang terlibat sepanjang penganjuran SUKMA 2026.
Selain pengumuman cuti tersebut, Kerajaan Negeri sebelum ini turut memaklumkan bahawa insentif khas akan diberikan kepada atlet Selangor yang berjaya meraih pingat, dengan pelaksanaannya akan dibuat selepas temasya berakhir.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

5 Taman Pilihan di Kuala Lumpur Untuk Jogging dan Latihan Larian
Fi Life Henti Jualan Polisi Insurans Baharu Mulai 26 Ogos 2026, Pemegang Polisi Sedia Ada Tidak Terjejas
Super El Nino Berpotensi Melanda Malaysia, Ini Fakta Terkini dan Tip Hadapi Cuaca Panas
HONOR Bawa Robot Humanoid ke Malaysia, Bakal Sertai Malaysia Marathon dan Perarakan Hari Kebangsaan
Harga Minyak 20–26 Ogos 2026: RON97, RON95 dan Diesel Naik Sehingga 20 Sen Seliter
Instagram Perkenal Logo Teks Baharu Selepas Lebih Sedekad, Cetus Pelbagai Reaksi Pengguna