Menu

5 Taman Pilihan di Kuala Lumpur Untuk Jogging dan Latihan Larian

Alyaa 3 hours ago

Kalendar acara larian 2026 semakin rancak, dengan pelbagai maraton dan perlumbaan bakal berlangsung dalam beberapa bulan terakhir tahun ini. Kalau rutin latihan anda masih belum konsisten, masih ada masa untuk mula menyusunnya dengan lebih teratur.

Selain jarak, pemilihan lokasi juga penting kerana jenis permukaan, panjang laluan dan tahap kecerunan boleh mempengaruhi latihan. Ada trek yang sesuai untuk easy run, long run atau latihan berbukit.

Jadi, kalau anda sedang mencari lokasi yang sesuai untuk berlatih, berikut ialah 5 tempat jogging terbaik di Lembah Klang yang boleh anda cuba.

5 Lokasi Jogging Pilihan di Kuala Lumpur

1. KLCC Park

Gambar: wei lui & GUHEE LEE/Google

Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, KLCC Park mempunyai trek joging sepanjang kira-kira 1.3 km bagi satu pusingan dengan pemandangan Menara Berkembar PETRONAS dan Lake Symphony. Laluan yang kebanyakannya rata menjadikan lokasi ini sesuai untuk larian santai atau mereka yang mahu mengekalkan pace dengan lebih konsisten.

Satu kelebihan trek ini ialah penggunaan permukaan getah EPDM yang lebih lembut dan membantu menyerap hentakan ketika berlari. Kemudahan seperti tandas dan pancuran air minuman turut tersedia di sekitar taman, manakala akses pengangkutan awam juga mudah menerusi LRT KLCC atau MRT Persiaran KLCC.

2. Taman Rekreasi Bukit Jalil

Gambar: gspyke & Tasha/Google

Jika anda mahukan laluan yang sedikit lebih mencabar, Taman Rekreasi Bukit Jalil menawarkan gabungan laluan berturap, tidak berturap dan beberapa bukit landai. Variasi ini sesuai untuk mereka yang mahu menambah sedikit latihan elevation dan stamina dalam rutin larian.

Dengan kawasan seluas sekitar 80 ekar, suasananya juga lebih hijau dengan tasik dan kawasan teduh di sepanjang laluan. Tandas, alat senaman dan kawasan parkir turut disediakan, tetapi taman biasanya lebih sesak pada waktu pagi dan lewat petang, terutama pada hujung minggu.

3. Taman Botani Perdana

Gambar: Rob the Nomad & Daphne/Google

Taman Botani Perdana menawarkan laluan utama sekitar tasik sepanjang kira-kira 2.3 km, dengan gabungan trek berturap, kawasan teduh dan sedikit laluan berbukit. Jika mahu berlari lebih jauh, laluan boleh dipanjangkan dengan meneroka kawasan sekitarnya sehingga sekitar 5 km.

Kawasan yang dipenuhi pokok dan taman menjadikan lokasi ini menarik untuk mereka yang mahukan suasana lebih tenang ketika berlari. Terdapat juga tandas, mesin layan diri dan kawasan parkir berhampiran pintu masuk utama.

4. Desa ParkCity

Gambar: CK Tan & Lim Chen Meng/Google

Desa ParkCity menjadi pilihan menarik jika anda sukakan laluan yang luas dan suasana sekitar tasik. The Central Park mempunyai laluan sekitar 2.2 km, manakala anda boleh meneroka laluan lain di kawasan sekitarnya jika mahu menambah jarak.

Laluan di sini juga mempunyai pencahayaan yang baik, menjadikannya popular untuk larian pada awal pagi dan malam. Cuma perlu diingat bahawa kawasan ini mesra haiwan peliharaan, jadi anda mungkin akan berkongsi laluan dengan pengunjung yang membawa haiwan peliharaan.

5. Taman Tasik Titiwangsa

Gambar: Amy Chin & Winai Sansuwan/Google

Taman Tasik Titiwangsa menawarkan laluan utama sekitar tasik sepanjang kira-kira 2.7 km, dengan pilihan untuk memanjangkan larian melalui laluan lain sehingga sekitar 4.6 km. Trek yang berturap dan kebanyakannya rata sesuai untuk larian santai mahupun sesi yang memerlukan pace lebih konsisten.

Tarikan lain di sini ialah pemandangan latar langit Kuala Lumpur, termasuk Menara KL dan Menara Berkembar PETRONAS dari beberapa bahagian taman. Kemudahan seperti tandas, kawasan parkir dan sewaan basikal turut tersedia.

Kesimpulan

Setiap lokasi di atas menawarkan laluan dan suasana yang berbeza, jadi anda boleh memilih mengikut jenis latihan yang ingin dilakukan. Sama ada mahu berlari santai, menambah jarak atau mencabar diri dengan laluan berbukit, yang penting pilih lokasi yang selesa dan sesuai dengan kemampuan anda.

Tidak kira trek mana yang menjadi pilihan, mulakan latihan secara berperingkat dan kekalkan rutin secara konsisten. Dengan persediaan yang baik, anda bukan sahaja lebih bersedia untuk acara larian akan datang, malah dapat menikmati setiap sesi larian dengan lebih selesa.


Nak dapatkan berita, maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads 

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –