Menu

HONOR Bawa Robot Humanoid ke Malaysia, Bakal Sertai Malaysia Marathon dan Perarakan Hari Kebangsaan

Alyaa 4 days ago

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bakal menyaksikan sesuatu yang luar biasa apabila HONOR bakal membawa dua robot humanoidnya, HONOR Robotics A1 dan D1, ke Malaysia untuk penampilan antarabangsa buat julung kali. Kedua-duanya akan membuat kemunculan pertama di Malaysia Marathon 2026 pada 30 Ogos sebelum menyertai perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos.

Ini merupakan satu pencapaian menarik, apabila Malaysia menjadi negara pertama di luar China yang menyaksikan robot tersebut beraksi. Penampilan ini turut menyusuli kejayaan robot D1 yang memenangi 2nd Beijing E-Town Humanoid Robot Half-Marathon pada April lalu, di mana ia mempamerkan keupayaan pergerakan dan ketahanannya di luar persekitaran makmal yang terkawal.

Pada Malaysia Marathon 2026, kedua-dua robot ini akan menyertai kategori perlumbaan yang berbeza. Robot D1 akan memulakan aksi dalam kategori larian 10KM, bertolak dari Pavilion Kuala Lumpur pada jam 12:00 tengah malam. Manakala robot A1 pula akan menyertai kategori 5KM bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bermula pada jam 7:30 pagi dari KLCC.

Buat anda yang ingin melihatnya secara dekat, HONOR akan mempamerkan kedua-dua robot ini di booth mereka di KLCC dan Pavilion Kuala Lumpur pada 29 hingga 30 Ogos. Di sini, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat serta merakam gambar bersama robot berkenaan. Booth tersebut turut mempamerkan peranti terkini HONOR, termasuk Magic V6, X9d dan siri 600, di samping pelbagai aktiviti interaktif bertemakan Hari Kebangsaan.

Selepas maraton, robot A1 dan D1 akan menuju ke Dataran Putrajaya pada 31 Ogos untuk menyertai perarakan Hari Kebangsaan. Ia juga menandakan penampilan pertama HONOR sebagai kontinjen perarakan, selain menjadikannya syarikat telefon pintar pertama yang menyertai sambutan Hari Kebangsaan negara. Sebuah booth HONOR turut akan dibuka di Dataran Putrajaya, memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat robot tersebut dengan lebih dekat, merakam gambar serta meneroka peranti dan aktiviti terkini jenama itu.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh mengikuti HONOR Malaysia di Facebook atau melayari laman web rasmi mereka.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –