Menu

MPL Malaysia Musim 18 Kini Bermula, 8 Pasukan Rebut Kejuaraan dan Slot ke Kejohanan Dunia M8

Lavania 5 days ago

Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia Musim 18 secara rasmi telah membuka tirai pada 14 Ogos 2026, menghimpunkan lapan pasukan dengan satu impian yang sama, iaitu menjulang trofi MPL Malaysia di CelcomDigi Dream Stage. Antara pasukan yang bakal berentap musim ini ialah AC Esports, Bigetron MY by VIT, Team Flash, Invictus Gaming, RRQ Tora, Selangor Red Giants, Team Rey dan Team Vamos.

Sebagai liga e-sukan profesional terbesar dan paling lama bertapak di negara ini, MPL Malaysia turut memasuki musim keduanya di bawah Program Perkongsian (Partnership Programme) yang diperkenalkan oleh MOONTON Games pada 2026. Program jangka panjang berkonsepkan francais ini menampilkan lapan pasukan rakan kongsi tetap tanpa sistem kenaikan atau penyingkiran selama empat tahun, dengan matlamat mewujudkan ekosistem liga yang lebih stabil serta memperkukuh pembangunan e-sukan tempatan.

Musim kali ini juga dijangka menyaksikan persaingan yang lebih sengit dan terbuka susulan keputusan mengejutkan pada pertandingan MLBB Mid Season Cup (MSC) di Paris baru-baru ini. Naib juara Musim 17, Team Vamos (VMS), muncul sebagai pasukan Malaysia dengan pencapaian terbaik apabila menjadi pasukan pertama mara ke peringkat kalah mati. Sebaliknya, juara lima kali MPL Malaysia yang juga juara MSC di EWC 2024, Selangor Red Giants (SRG), tersingkir lebih awal daripada jangkaan selepas gagal melepasi peringkat kumpulan.

Perbezaan prestasi kedua-dua pasukan ini bukan sahaja mencerminkan persaingan yang semakin sengit, malah turut menyuntik keyakinan baharu kepada pasukan-pasukan pencabar, menjadikan perebutan kejuaraan musim ini antara yang paling terbuka dalam sejarah MPL Malaysia. Mengangkat tema “8 Cerita”, Musim 18 meraikan perjalanan, cabaran dan impian tersendiri setiap pasukan yang memburu destinasi sama. Setiap perlawanan pastinya bakal mencipta cerita baharu untuk diikuti dan disokong oleh para peminat, dari minggu pembukaan hingga ke perlawanan akhir.

Selain merebut kejuaraan domestik, Musim 18 turut membuka laluan baharu ke pentas global. Perlawanan Regular Season akan berlangsung dari 14 Ogos hingga 18 Oktober 2026 di MPL MY Arena, Aras 6, Quill City Mall Convention Centre, Kuala Lumpur. Sepanjang lapan minggu persaingan, kelapan-lapan pasukan akan bersaing untuk merebut tempat ke Playoffs, dengan dua pasukan terbaik bakal mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia M8 di Istanbul, Türkiye, iaitu edisi Siri M pertama yang diadakan di Eropah.

Musim ini juga memperkenalkan laluan baharu ke M8 menerusi MLBB Championship Tour Southeast Asia (MCT SEA) yang baru diperkenalkan. Menerusinya, pasukan terbaik dari MLBB Academy League Malaysia (MAL MY) akan berentap dengan pasukan terbaik dari Filipina dan Indonesia bagi merebut tempat ke Peringkat Kalah Mati MCT SEA, serta peluang melangkah ke M8.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan aksi MPL Malaysia Musim 18 secara langsung, tiket untuk perlawanan Regular Season kini boleh didapati menerusi laman rasmi Ticket2u.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –