Sukan Malaysia (SUKMA) kembali menyalakan semangat perjuangan atlet muda negara apabila edisi ke-22 temasya dwitahunan ini bakal berlangsung di Selangor. Membawa tema ‘Rentak Kita, Aksi Kita.’ SUKMA XXII Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, manakala Para SUKMA pula diadakan dari 5 hingga 14 September 2026.
Penganjuran kali ini menandakan kembalinya SUKMA ke bumi Darul Ehsan buat kali kedua, selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada tahun 1998. Selepas hampir tiga dekad, Selangor sekali lagi tampil sebagai gelanggang pertemuan bakat-bakat muda terbaik dari seluruh negara.
Temasya Pembentukan Jati Diri Generasi Muda
SUKMA merupakan temasya sukan peringkat kebangsaan terbesar yang dianjurkan di bawah penyelarasan Majlis Sukan Negara (MSN). Ia bukan sekadar pertandingan merebut pingat, sebaliknya turut menjadi medan yang membentuk jati diri, disiplin, kepimpinan dan semangat kesukanan dalam kalangan atlet muda.
EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi, menyifatkan SUKMA sebagai medan perjuangan yang membentuk masa depan atlet negara. Menurutnya, temasya ini bukan sekadar gelanggang sukan, tetapi arena menanam keyakinan, memupuk ketahanan rohani dan fizikal, serta melahirkan insan berwibawa yang bakal mengharumkan nama Malaysia di persada sukan tanah air mahupun antarabangsa. Sejarah turut membuktikan bahawa ramai atlet negara yang kini bertaraf dunia pernah mengasah bakat mereka menerusi temasya ini.
Skala Penganjuran

Gambar: BERNAMA
SUKMA Selangor 2026 dianjurkan pada skala yang besar dengan mempertandingkan 37 jenis sukan dan 469 acara pingat, selain melibatkan penyertaan 15 kontinjen termasuk Brunei Darussalam sebagai kontinjen jemputan.
Antara sukan yang dipertandingkan termasuklah akuatik membabitkan sukan renang, terjun dan polo air, selain daripada olahraga, badminton, bola sepak, hoki, memanah, pencak silat, karate, wushu, sepak takraw dan e-sukan.
Manakala Para SUKMA 2026 pula mempertandingkan 316 acara merangkumi 10 jenis sukan, memberi ruang kepada atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk menyerlahkan bakat dan kecemerlangan mereka di pentas kebangsaan.
Venue Merentasi Sembilan Daerah
Bagi memastikan kelancaran penganjuran, pertandingan diadakan di pelbagai venue merentasi sembilan daerah di seluruh Selangor, iaitu Petaling, Klang, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam. Selain itu, acara berbasikal turut berlangsung di Nilai, Negeri Sembilan.
Upacara perasmian pembukaan bakal diadakan di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, manakala majlis penutupan berlangsung di Aneka Walk, Seksyen 14. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan bahawa kedua-dua lokasi itu dipilih atas faktor strategik dan pertimbangan teknikal, di samping menepati usaha penjimatan perbelanjaan.
Menariknya, pihak penganjur tidak membina infrastruktur sukan baharu bagi tujuan temasya ini. Sebaliknya, venue sedia ada hanya dinaik taraf dan diperbaiki agar menepati piawaian yang ditetapkan, satu pendekatan yang dilihat lebih efisien dari segi kos. Keseluruhan perbelanjaan penganjuran dianggarkan berjumlah kira-kira RM250 juta.
Simbol Semangat dan Kegemilangan

Gambar: SUKMA Selangor 2026/Facebook
SUKMA Selangor 2026 turut diperkenalkan dengan maskot rasmi berupa sepasang Helang Putih yang melambangkan kekuatan, aspirasi dan semangat juang atlet muda. Maskot lelaki (Satria) dan wanita (Seri) ini direka sebagai simbol perpaduan, keterangkuman serta sinergi dalam sukan, sambil menampilkan warna ikonik Selangor iaitu merah, kuning dan putih. Logo, maskot dan tema rasmi temasya ini telah dilancarkan pada 15 Ogos 2025, bersempena detik setahun menjelang penganjuran.
Dengan gabungan semangat juang atlet muda, sokongan padu daripada pelbagai pihak dan kesediaan Selangor sebagai tuan rumah, SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 dijangka menjadi satu lagi lembaran gemilang dalam sejarah sukan negara. Selaras dengan tema ‘Rentak Kita, Aksi Kita’, orang ramai dijemput untuk turut sama menyokong generasi baharu jaguh sukan tanah air dengan hadir ke lokasi pertandingan dan memberi semangat kepada para atlet yang beraksi.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

POCO Carnival 2026 Kembali Sempena Ulang Tahun Ke-8, Tawar Diskaun Peranti Hingga RM500
Parkson Malaysia Luggage Fair 2026 Himpunkan Pelbagai Jenama Bagasi dan Aksesori Perjalanan
CelcomDigi Raih Dua Rekod Dunia Guinness Menerusi Siaran Langsung Mega Gegar 20 Juta
MotoGP Malaysia 2026: Tiket K2 Hillstand Hanya RM49.90 Sempena Bulan Kemerdekaan
F1 Sah Kembali ke Malaysia, Litar Sepang Dipilih Sebagai Tuan Rumah Grand Prix Bahrain 2026
F1 Berpotensi Kembali ke Sepang Sebagai Perlumbaan Ganti Susulan Konflik Di Timur Tengah