Berita baik buat penduduk Petaling Jaya yang sudah lama berdepan dengan masalah banjir kilat. Kerajaan negeri Selangor mengumumkan pelan mitigasi banjir yang komprehensif dan kali ini, ia bukan sekadar janji di atas kertas.
Kerajaan negeri kini sedang melaksanakan Projek Pelan Mitigasi Banjir Langkah Segera dan Langkah Sederhana yang memberi tumpuan kepada kawasan hotspot serta kawasan berisiko tinggi di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Dengan peruntukan berjumlah RM40.563 juta, pelan ini bertujuan mengurangkan risiko banjir kilat menerusi pelaksanaan 39 skop kerja di lokasi yang dikenal pasti.
39 Projek Dilaksanakan Dalam Dua Fasa
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, pelan mitigasi ini dibahagikan kepada dua fasa pelaksanaan.
Sebanyak 26 projek dilaksanakan di bawah langkah segera dengan kos RM20.1 juta, manakala 13 projek lagi berada di bawah langkah sederhana melibatkan peruntukan RM20.4 juta.
Langkah segera merangkumi projek yang boleh disiapkan dalam tempoh kurang enam bulan, manakala langkah sederhana dijangka mengambil masa sehingga setahun kerana melibatkan penambahbaikan yang lebih menyeluruh dan mampan.
Ini bermakna penduduk di beberapa kawasan dijangka mula merasai kesan penambahbaikan sebelum penghujung tahun 2026.
Daripada keseluruhan 39 projek itu, lapan telah diberi keutamaan kerana dijangka memberikan impak paling besar dalam tempoh terdekat.
Apa Kerja Yang Akan Dilaksanakan?
Skop kerja yang dirancang merangkumi pelbagai penambahbaikan infrastruktur saliran, termasuk menaik taraf dan meningkatkan kapasiti sungai, pembinaan struktur outlet, penyelenggaraan sistem saliran, sungai dan kolam takungan banjir, serta pemasangan sistem siren amaran banjir di beberapa lokasi kritikal.
Daripada 12 kawasan hotspot yang dikenal pasti, tiga lokasi dikategorikan sebagai paling kritikal iaitu Seksyen 51A, Kampung Cempaka dan kawasan terowong FAS.
Bagi Seksyen 51A khususnya, lapan projek bernilai RM8.15 juta akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama MBPJ. Antaranya termasuk pembinaan parit monsun, pemasangan flap gate serta pembinaan kolam takungan sementara yang dijangka siap sebelum penghujung tahun ini.
Bantuan Untuk Peniaga Yang Terjejas
Selain menaik taraf infrastruktur, MBPJ turut melaksanakan beberapa langkah bantuan segera bagi membantu peniaga yang terjejas akibat banjir.
Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah pemasangan sistem penggera serta pengesan paras air longkang, penambahbaikan kemudahan awam, selain pengecualian sewa dan pengurangan kadar sewa premis perniagaan sebanyak 30 peratus bagi peniaga di Jalan 223 untuk tempoh Julai hingga Disember.
Jika anda tinggal di kawasan yang disenaraikan sebagai hotspot seperti Seksyen 51A, Kampung Cempaka, kawasan terowong FAS di Jalan PJU 1A/4F atau mana-mana daripada 12 kawasan fokus yang dikenal pasti, anda dijangka mula melihat penambahbaikan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, bermula dengan pelaksanaan projek di bawah langkah segera.
Setakat ini, lebih 200 projek tebatan banjir sedang dilaksanakan di seluruh negeri membabitkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan dengan nilai keseluruhan sekitar RM5 bilion.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

Harga Minyak 6–12 Ogos 2026: RON97, RON95 dan Diesel Masing-masing Turun 5 Sen
Perodua Turunkan Harga Axia Sehingga RM4,700, Berkuat Kuasa Serta-Merta
RapidKL Kemas Kini Status LRT Laluan Ampang, Operasi Sementara Diteruskan
Fungsi Username WhatsApp Kini Mula Diterima Oleh Sebahagian Pengguna
Harga Minyak 30 Julai–5 Ogos 2026: RON97, RON95 Dan Diesel Tanpa Subsidi Naik 20 Sen
Merdeka 118 Kini Ibu Pejabat Baharu Maybank, Dikenali Sebagai Menara Merdeka Maybank