Menu

Tirai Sukan Komanwel Glasgow 2026 Dibuka Secara Rasmi, 59 Atlet Galas Cabaran Malaysia

Alyaa 10 hours ago

Tirai Sukan Komanwel Glasgow 2026 secara rasminya telah dibuka, menandakan bermulanya saingan selama 11 hari yang menghimpunkan atlet terbaik dari seluruh negara dan wilayah Komanwel.

Berlangsung di The Hydro, Glasgow, temasya edisi ke-23 itu disempurnakan oleh Raja Charles III selaku Ketua Komanwel. Upacara tersebut turut dihadiri Ratu Camilla dan menjadi upacara pembukaan Sukan Komanwel pertama yang dianjurkan di dalam sebuah arena.

Kontinjen Malaysia Tampil Dengan Busana Batik

Gambar: Majlis Sukan Negara Malaysia/Facebook

Seramai 38 atlet dan pegawai kontinjen Malaysia melangkah masuk ke arena dalam perarakan pembukaan, termasuk Chef de Mission, Datuk Abdul Awalan Abdul Aziz. Kontinjen negara diketuai oleh jaguh lompat jauh para, Datuk Abdul Latif Romly, selaku pembawa Jalur Gemilang dan diiringi atlet boling padang, Emma Firyana Saroji, yang membawa King’s Baton. 

Penampilan kontinjen Malaysia turut mencuri perhatian menerusi busana batik yang diinspirasikan daripada bunga raya dan warna-warna Jalur Gemilang. Sentuhan abstrak batik lukisan tangan hasil ilham pereka tempatan itu melambangkan perpaduan, keberanian dan jati diri Malaysia di pentas antarabangsa.

59 Atlet Bawa Cabaran Malaysia

Gambar: Majlis Sukan Negara Malaysia/Facebook

Sepanjang temasya berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos 2026, Malaysia diwakili seramai 59 atlet, termasuk 22 atlet para. Mereka akan membawa cabaran negara dalam 64 acara melibatkan lapan daripada 10 jenis sukan yang dipertandingkan.

Antara sukan yang disertai kontinjen Malaysia ialah:

  • Angkat berat dan powerlifting
  • Renang dan para renang
  • Berbasikal trek dan para berbasikal trek
  • Bola keranjang 3×3 dan bola keranjang kerusi roda 3×3
  • Gimnastik artistik
  • Judo
  • Boling padang dan para boling padang
  • Olahraga dan para olahraga

Berdasarkan prestasi semasa atlet negara, Malaysia meletakkan sasaran membawa pulang, 5 pingat emas, 2 pingat perak dan 4 pingat gangsa.

Cara Tonton Sukan Komanwel Glasgow 2026

Rakyat Malaysia boleh mengikuti perkembangan dan aksi kontinjen negara menerusi saluran Sukan+ yang disediakan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Siaran tersebut boleh diakses melalui:

  • MYTV 111
  • RTMKlik
  • Astro 806
  • Platform media sosial rasmi RTM

RTM akan menyiarkan liputan bermula daripada Upacara Pembukaan sehingga Majlis Penutup dengan jumlah keseluruhan hampir 100 jam siaran.

Slot Tarikh Masa (Waktu Malaysia) Tempoh
Laporan harian (Sesi 1) 24 Julai – 2 Ogos 6.00 petang – 9.00 malam 3 jam
Laporan harian (Sesi 2) 25 Julai – 2 Ogos 1.00 pagi – 4.00 pagi 3 jam
Sorotan harian 25 Julai – 3 Ogos 2.00 petang – 3.00 petang 1 jam

Bagi yang tidak berkesempatan mengikuti siaran langsung, slot sorotan selama sejam turut disediakan untuk memaparkan aksi utama dan perkembangan terkini setiap hari.

Sokongan rakyat Malaysia pastinya menjadi pembakar semangat buat kontinjen negara sepanjang temasya berlangsung. Jadi, jangan lepaskan peluang mengikuti aksi mereka menerusi saluran Sukan+ dan platform rasmi RTM sepanjang Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Gambar utama: Majlis Sukan Negara Malaysia/Facebook


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –